19 February 2009

Sehari Di Bengkel Motivasi UPSR

Alhamdulillah.. pada hari isnin yang lepas saya telah diberikan kesempatan oleh pihak ii Solution untuk mengendalikan satu bengkel UPSR di Sekolah Rendah Islam Al Ummah, Chemor, Perak. Seri Al Ummah merupakan sebuah sekolah swasta dan mempunyai seramai 65 orang murid tahun enam yang bakal menduduki UPSR pada tahun ini. Program bermula pada pukul 8.45 pagi dan tamat sekitar pukul 1.15 tengahari. Keseluruhan masa yang diambil adalah empat jam dan dijalankan dengan dua sesi. Inilah program yang memerlukan saya berceloteh paling lama kerana hanya saya seorang yang mengendalikannya. Walaupun begitu ia tetap menghiburkan dan memberikan banyak pengalaman beharga buat saya.
Pada peringkat awal peserta didedahkan dengan motivasi belajar melalui medium ceramah motivasi. Memang mengujakan apabila berceramah di hadapan audien yang terdiri dari murid sekolah rendah. Saya mengetahui bahawa kegagalan untuk menarik perhatian peserta dan kegagalan menyampaikan isi pembelajaran dengan baik serta ketidak upayaan untuk mengawal suasana akan membuatkan peserta hilang fokus dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada apa yang akan disampaikan. Pasti tidak ramai orang yang mampu untuk berhadapan dengan situasi ini apatah lagi dengan jarak masa yang terlalu lama. Walau bagaimana pun syukur alhamdulillah bengkel yang dianjurkan ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sepenuh perhatian daripada peserta. Sememangnya untuk mengendalikan bengkel ini saya telah melakukan penyediaan rapi dari segi kehendak penganjur, maklumat peserta, isi pengajaran dan kaedah penyampaian. Untuk menguatkan lagi penyampaian agar terkesan terdapat beberapa cerita motivasi yang diselitkan disamping mutiara minda dan beberapa video serta klip video telah ditayangkan kepada peserta. Sememangnya pendekatan yang telah diambil amat berkesan dan hasilnya peserta memberikan tumpuan dan respon yang terbaik.

Pada sesi kedua pula diadakan bengkel untuk mengenal pasti potensi dan minat belajar peserta. Dari maklum balas yang diterima, ternyata ada peserta yang sudah bersedia dan ada lagi yang masih belum bersedia menghadapi peperiksaan UPSR. Tindakan susulan telah dicadangkan kepada guru sekolah untuk mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya. Seterusnya program disusuli dengan ceramah kemahiran dan teknik belajar. Disini ditekankan peri pentingnya kepada peserta agar mengamalkan semua kemahiran belajar dalam usaha membantu melonjakkan pencapaiaan akademik mereka. Kesimpulannya peserta menginsafi akan kepentingan untuk berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak yang soleh serta solehah kepada kedua ibu bapa mereka. Terima kasih kepada pihak sekolah yang memberikan kesempatan untuk saya mengendalikan bengkel dan pihak ii Solution yang mengaturkan program ini untuk saya. Tidak dilupakan ucapan terima kasih buat isteri tercinta yang banyak memberikan sokongan moral untuk saya mengendalikan bengkel ini serta menjadi jurufoto sepanjang bengkel diadakan. Dengan melihat rakaman video yang telah diambil olehnya maka dapatlah saya mengkoreksi segala pengucapan dan kaedah penyampaian yang telah dilaksanakan. Sesungguhnya melalui program ini saya membuat kesimpulan bahawa;
'
"Apabila berkomunikasi, kedua-dua pihak sama-sama belajar. Peserta belajar daripada apa yang disampaikan oleh penceramah dan penceramah pula belajar dari reaksi serta tindak balas yang diberikan oleh peserta".
'
'
'

1 comment:

ainhusny said...

tHanx pada SemuA yang BekerJasaMa dan MembaNtu terutama darI seGi teNaga dan SokOngan Moral...