28 April 2009

Program Turun Padang Bersama Murid


Kelihatan murid khusyuk memberikan tumpuan pada sesi ceramah motivasi belajar.
'
Kalau pemimpin2 sekarang sibuk turun padang secara mengejut maka hari ini saya juga berkesempatan turun padang secara mengejut iaitu untuk bersama2 dengan semua murid tahun 5 di sekolah saya. Satu ceramah motivasi belajar (bimbingan kelompok) selama tiga waktu pembelajaran diadakan untuk mengisi ruang disebabkan ketiadaan ramai guru di sekolah kerana ada urusan lain di luar. Hasil perbincangan dengan pentadbir dan guru bertugas saya mencadangkan untuk bersama murid tahun 5 sebagai alternatif. Pandangan saya diterima dan saya memilih tajuk “Bagaimana Menjadi pelajar Cemerlang” untuk disampaikan kepada murid2 terlibat.
Walaupun merupakan program yang tidak dirancang pada awalnya tetapi ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna hasil komitmen yang diberikan oleh guru dan murid. Permulaannya saya agak risau kerana murid secara kebiasaannya tidak boleh memberi tumpuan dalam tempoh masa yang lama tetapi tidak sangka pula mereka tekun mendengar celoteh saya dari awal hingga akhir. Satu pengiktirafan kepada saya dari mereka secara tidak sedar dan sebagai guru saya menyedarinya. Terima kasih anak didikku sekalian.
Sesi dimulai dengan senaman ringan, seterusnya teknik senyuman 1,2,3. Kemudian disusuli dengan penerangan mengapa perlu cemerlang, penentuan matlamat, punca gagal, sifat belajar, ciri2 pelajar cemerlang, sambil disulami video2 berkaitan dan diakhiri dengan nyanyian lagu motivasi dan zikir. Melalui pemerhatian dan maklum balas kebanyakkan murid menyukainya dan saya dapat lihat dari riak wajah serta reaksi mereka apabila ceramah disampaikan dan sesudah ceramah disampaikan. Benarlah kata peribahasa “Hanya jauhari yang mengenal manikam.”
Buat anak muridku sekalian sekiranya kamu melayari blog ini, Amalkanlah apa yang cikgu ajar dan sebarkanlah ilmu tersebut kepada rakan-rakan yang lain ataupun kepada adik-adik kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang berguna dan dimuliakan Tuhan atas sikap kamu yang memuliakan ilmu dan memuliakan guru. Teruskan belajar dan jangan lupa untuk senyum 1.. 2.. 3… yea!!

'
'
'

Dalam Dok Kata.. Malapetaka Melanda Jua

Semalam saya ada memberi respon berkaitan "Budaya Nabil & Aril" iaitu trend baru artis2 kita yang sudah tidak segan silu berpelukan dengan perempuan yang bukan mahram kemudiannya memberikan alasan yang membelakangkan agama atau dengan kata lain alasan yang hanya layak diungkapkan oleh budak pra-sekolah sahaja. Hari ini laporan akhbar kosmo muka hadapan membuktikan gejala ini sudah mula menular ke sekolah. Berikut petikan akhbar yang menunjukkan gejala ini sudah semakin parah dan perlu dibendung segera;-
'
Pesta ponteng Teluk Chempedak - Pelajar lelaki, perempuan berpeluk-pelukan dalam air
'
KUANTAN - Di Kuala Lumpur, kompleks beli-belah, kafe siber dan taman rekreasi kerap dijadikan tempat tumpuan ponteng sekolah. Rupa-rupanya pelajar di sini lagi hebat. Mereka berkumpul di sekitar pantai Teluk Chempedak bagaikan ada satu pesta di situ. Lebih berani pelajar lelaki dan perempuan tanpa segan silu dipandang pengunjung lain sama-sama mandi-manda dan berpeluk-pelukan dalam air.
Tidak dinafikan pusat peranginan itu memang popular sebagai destinasi 'pesta ponteng' terutama di lokasi yang terlindung di sebalik Bukit Pelindung. Tinjauan Kosmo! semalam, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai mendapati tidak kurang 15 pelajar lelaki dan perempuan lengkap berpakaian sekolah sedang asyik berpesta ponteng dan mandi-manda.
Kebanyakan pelajar lelaki membuka baju masing-masing manakala yang perempuan berseluar panjang ketat dan berbaju kemeja T. Mereka kelihatan begitu riang sekali sambil menjerit-jerit kegembiraan lebih-lebih lagi apabila si lelaki cuba memeluk.
Di pantai pula, beberapa pelajar yang tidak mandi hanya melepak sambil menghisap rokok atau tidur di pondok rehat yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di situ. Kumpulan pelajar tersebut dilihat datang ke pusat perkelahan itu secara beransur-ansur sejak pukul 7.30 pagi dengan menunggang motosikal kapcai yang diletakkan di satu sudut tempat letak kereta MPK.
'
Ilmuwan Hati: Kepada ibu bapa yang mempunyai anak2 adalah diharapkan agar anda dapat memantau ke mana anak anda berada. Sekurang2nya mengetahui siapakah kenalan anak anda dan apakah aktiviti yang mereka lakukan apabila bersama. Sekiranya anda sendiri gagal untuk menjaga anak anda yang sekadar 2, 3 orang itu maka jangan diharap untuk guru2 menjaganya kerana mereka sendiri terpaksa menjaga hampir 40 orang anak dalam satu2 masa. Itupun belum termasuk anak mereka sendiri yang jumlahnya lebih kurang sama dengan anak anda. Apakah anda hanya akan memberikan perhatian apabila anak anda pulang memberikan seorang cucu yang tiada berbapa kepada anda.
Ingatlah yang tanggungjawab menjaga anak sendiri terletak di tangan ibu bapa bukannya orang lain. Sebab itu anak disebut sebagai amanah Allah kepada kita.
Sama-samalah mewujudkan kembali perasaan ambil peduli di kalangan kita sebagaimana orang2 tua dahulu melakukannya. Anak2 dahulu tidak berani melakukan sesuatu yang mencarik adat kerana perbuatannya akan ditegur oleh orang sekeliling dan disampaikan kepada ibu bapanya. Nahaslah anak tersebut apabila ibu bapa mereka menerima aduan. Tetapi situasi kini amat berbeza kerana orang yang menyampaikan pula akan nahas dimarahi oleh ibu bapa anak tersebut. Janganlah disebabkan anak kita disambar oleh api Neraka. Na’uzubillahi min zaalik!! Berpesan2 dengan kebenaran, berpesan2 dengan kesabaran.
'
'
'

27 April 2009

Berpelukan: Lu Pikirlah Sendiri!!

Aril: Pelukan Kepada Pengajar Wanita Sebagai Tanda Hormat
'
KONSERT Akademi Fantasia ke-7 minggu lalu bukan sahaja mengundang tanda tanya oleh sesetengah penonton, tenaga pengajar, dan pengkritik malah turut menimbulkan kontroversi kecil apabila pelajar yang tersingkir, Aril telah memeluk beberapa orang tenaga pengajar wanita tanpa segan silu. Apabila meminta Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 24, menjelaskan keadaan tersebut, dalam nada yang bersahaja dia menjawab pelukan itu berlaku disebabkan hubungan kekeluargaan yang dibina selama ini.
'

Kami punya perasaan selama 61 hari dalam Akademi sudah seperti keluarga yang erat terutama Cikgu Fatimah dan Cikgu Siti Hajar yang saya anggap sudah seperti ibu saya sendiri manakala Cikgu Ida Nerina seperti kakak saya.”
Pelukan itu sebagai tanda hormat kerana susah saya hendak bagi tanda hormat memandangkan orang luar tak faham situasi kami di dalam,” jelas Aril.


Ilmuwan Hati: Artikel diatas merupakan sebahagian petikan akhbar mstar online yang saya ambil untuk menunjukkan satu lagi pengakuan ikhlas, tulus mulus yang mencerminkan tahap pengetahuan agama generasi muda masakini. Nak dikatakan bodoh tidak molek bunyinya tetapi bolehlah dikatakan sebagai tidak pandai. Melalui pemerhatian, inilah budaya yang sedang dipopularkan oleh artis kita. Bermula dengan Nabil Raja Lawak dan kini diikuti oleh Aril AF7. Selepas ini entah siapa pula yang akan mengikuti budaya ini. Kepada artis2 ini saya ingin berpesan, janganlah bertindak membelakangkan agama.

'
Kalau difikirkan logiknya jawapan kamu iaitu atas perasaan seperti keluarga dan tanda hormat maka bolehlah lepas ini murid2 berpelukan dengan kami guru2nya seperti mana kamu lakukan kepada tenaga pengajar kamu. Kamu tentu faham, al-maklumlah baru 61 hari sudah merasai seperti ibu dan kakak sedangkan kami sememangnya perasaan kekeluargaan sudah sebati kerana telah 6 tahun kami bersama mereka. Jangan marah dan melatah pula apabila yang memeluknya adalah adik2 kamu yang masih bersekolah. Ibu bapa kamu tentu suka dan bersorak keriangan kerana anaknya memeluk dan dipeluk .

'
Tidak tahu lagi apa yang hendak saya tulis kerana saya betul2 muak dengan gelagat para artis yang sudah mula pandai bercakap tanpa menghiraukan agamanya. Kepada pemimpin yang menjaga media diharapkan program2 melalaikan seperti ini dikaji semula atau ditiadakan terus kerana terbukti ia tidak menyumbang kepada pembudayaan ilmu sebaliknya lebih kepada pembudayaan gejala negatif. Sebab itulah masyarakat kita masih bermentalitikan kelas ketiga walaupun prasarananya kelas pertama. Disini juga saya ingin menyatakan kebimbangan saya sekiranya “Budaya Nabil & Aril” ini menular ke sekolah maka ia merupakan satu malapetaka yang amat menyedihkan. Buat mana2 individu yang mempunyai keinginan melakukan sedemikian dan sudah melakukannya saya sertakan mutiara minda dari ayat Al-Quran untuk difikirkan:

'
“Barang siapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah,

akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barang siapa yang

mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu.”
(Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)

'

'

'

Ceritera Ceria: Terbatal Wudhuk!

'
Di sebuah surau, beberapa orang sedang mendirikan solat Isyak berjemaah dengan diimami oleh seorang imam kampung. Dalam rakaat ketiga, ahli jemaah tersebut mendengar satu bunyi yang kuat bukan sahaja sekadar memecah keheningan malam malah turut menggangu kekhusyukkan solat ahli jemaah semuanya. Selesai sahaja memberi salam, si imam terus berkata: “Siapa yang kentut tadi, sila solat semula kerana wudhuknya batal.” Seorang pemuda dengan cukup berani dan telus memberi respon; “Tapi tuan imam, bagaimana boleh terbatal pula sedangkan saya dari awal lagi tidak berwudhuk?”
'
Ilmuwan Hati: Sengaja saya paparkan kisah ini walaupun melucukan tetapi ada mesej tersirat yang perlu difahami terutamanya kepada golongan ibu bapa, agamawan dan pendidik. Dalam sesetengah keadaan tahap pengetahuan generasi muda terhadap ibadah asas dan agama Islam sendiri sangatlah cetek. Maka tidak hairanlah baru2 ini ada kenyataan yang jujur dan ikhlas dari seorang selebriti iaitu dia tidak menyesal berpelukan dengan kekasihnya kerana padanya ia bukanlah satu kesalahan yang besar sehingga boleh menjejaskan ekonomi negara. Sememangnya ungkapan ini ikhlas kerana pada saya itulah sahaja pengetahuan agama yang dia ada sama seperti pemuda yang terdapat dalam cerita di atas. Iktibar dari kisah ini, sewajarnya pengetahuan mengenai perkara-perkara asas yang dituntut oleh agama dan batas2 yang diizinkan perlu diberi perhatian oleh semua ibu bapa, guru2, ustaz, ustazah sejak dari bangku sekolah lagi. Adalah diharapkan apabila asasnya sewaktu kecil sudah kuat maka individu ini apabila dewasa kelak akan terus istiqamah memperdalamkan ilmu pengetahuannya berkaitan agama dan mengamalkannya.
'
'
'

26 April 2009

Ulat Buku Berpesta Dengan Buku Di Pesta Buku Antarabangsa

Kebiasaannya apabila melihat ulat yang banyak pasti akan membuatkan tekak kita meloya kerana tidak tahan dengan telatahnya yang melentik2 bergerak ke sana ke mari menghurungi sesuatu. Tetapi apa yang ingin dikongsi hari ini adalah perasaan kagum dan gembira apabila terdapat ramai ulat buku ke sana ke mari untuk mendapatkan buku yang mereka ingini. Alhamdulillah, hari ini saya dan keluarga berkesempatan ke PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Pesta ini bermula pada 17 dan akan berakhir 26 April iaitu pada esok hari. Ketibaan saya dan keluarga di sana sekitar pukul empat petang dan ketika itu terlalu ramai orang sehinggakan hendak berjalan dari satu gerai ke gerai yang lain terpaksa berhimpit2. Bilangan orang ramai pula semakin bertambah dari masa ke semasa. Tak sangka pulak orang Malaysia ini rajin juga ke tempat-tempat ilmu seperti ini kerana sangkaan saya mereka hanya ramai ke konsert Jom Heboh atau AF sahaja. Tahniah kerana sudah ada perubahan minda ke arah pembudayaan ilmu sesuai dengan tema pesta buku kali ini iaitu: "Buku: Lakaran Masa Depan."
Seronok tengok gelagat orang ramai yang datang dengan berbagai ragam. Ada yang datang seorang diri, ada yang berdua dengan pasangan dan tidak kurang yang datang dengan keluarga beserta anak-anak. Sudah tentu tujuan mereka ke sini adalah untuk membeli buku. Tidak dinafikan memang banyak buku yang dipamerkan disini dan inilah pameran buku terbesar pernah saya hadiri. Untuk itu saya tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan buku2 yang dihajati kerana amat sukar sebenarnya untuk mendapatkan buku2 ilmiah di pasaran. Setelah ditawaf beberapa kali gerai-gerai yang terdapat di situ maka dapatlah saya beberapa buah buku ilmiah seperti yang dihajati. Kebanyakannya adalah buku-buku dalam bidang pendidikan, psikologi dan kaunseling. Buku2 ini saya dapatkan di gerai MAPIM, DAWAMA dan Utusan. Boleh dikatakan semua judul terbaru dan lama berkaitan pendidikan, psikologi dan kaunseling yang terdapat di gerai itu saya beli selagi ia tiada dalam koleksi. Ikutkan hati mahu saja setiap gerai dilawati dan diteliti satu2 buku yang ada tetapi disebabkan mengejar masa untuk pulang ke rumah dan waktu solat saya pergi mana yang sempat sahaja. Terima kasih buat isteri tersayang yang sangup menjaga anak yang dah mula meragam akibat kekurangan tidur dan melayan kerenah saya yang sudah kelabu mata melihat buku2 tersebut ditambah pula dengan diskaun yang diberikan.
Peribahasa Melayu ada mengatakan "Melentur buluh biarlah dari rebungnya." Tidak dilupakan untuk anak kesayangan Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah, saya belikan dia satu set buku pembelajaran dalam bahasa inggeris bertajuk “Gogo’s Adventures With English” terbitan Pearson yang didatangkan beserta pen yang boleh bersuara, buku aktiviti, DVD animasi, CD nyanyian dan kad imbasan. Boleh tahan juga harganya iaitu hampir mencecah RM2.2K untuk seunit. Harap dia menyukainya dan memanfaatkan set pembelajaran tersebut.
Membeli dan membaca buku sebenarnya satu pelaburan yang tidak akan dapat dilihat dalam masa yang singkat. Saya begitu yakin sekiranya tabiat ini diteruskan akan ada perubahan minda dari generasi ke generasi seterusnya menjadikan kita warga berilmu pengetahuan dan membentuk satu tamadun bangsa yang unggul. Saya tinggalkan penulisan ini dengan satu mutiara minda dari kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah berkaitan ilmu dan harta untuk difikirkan bersama:

'
"Ilmu itu lebih baik daripada harta,
sebab ilmu itu selalu menjagamu
dan sedangkan engkau selalu yang menjaga harta."
'
'
'

22 April 2009

Pembantu Rumah Yang Berhati Binatang

' video

'

http://www.youtube.com/watch?v=93QQVzQmpbk

'

Setelah dicuba dapat juga saya memasukkan video yang terdapat pada laman youtube mengenai kejadian pembantu rumah mendera seorang kanak-kanak. Untuk memudahkan lagi carian saya paparkan juga alamat URL seperti diatas. Terdapat ramai rakan blogers yang memberikan respon terhadap video ini. Oleh yang demikian saya merasakan tidak mahu terkecuali untuk menghebahkannya supaya menjadi pengajaran dan pengalaman buat kita semua yang mempunyai anak kecil terutamanya yang mempunyai pembantu rumah. Berderau darah saya apabila melihat video ini apatah lagi bila membayangkan sekiranya anak saya yang diperlakukan sedemikian. Nauzubillahi min zaalik!

Sememangnya perbuatan pembantu rumah ini terlalu kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Budak kecil seumur tiga tahun disepak, diterajang, ditengking dan dipijak-pijak sesuka hati. Astaghfirullahal ‘azim… apa sangat kesalahan yang telah dilakukan oleh budak tersebut sehinggakan diperlakukan sedemikian rupa. Walaupun dia mempunyai akal tidak layak dirinya digelar manusia kerana perbuatannya lebih teruk daripada binatang yang sememangnya tidak mempunyai akal untuk berfikir. Kepada ibu bapa yang mempunyai pembantu rumah berhati-hatilah dengan tidak tanduk mereka mereka ini kerana di depan kelihatan baik seolah-olah "pijak semut pun tak mati". Tetapi dibelakang kita mereka menjadi buas seperti "singa betina".

Mohon agar anak-anak kita diselamatkan dari dipelihara dari dijaga oleh haiwan bertopengkan manusia seperti ini. Semoga Allah membalas dengan balasan yang setimpal terhadap perbuatan kejamnya terhadap kanak-kanak kecil yang tidak mengerti apa-apa.

'

*Pesanan: Video ini tidak sesuai ditonton oleh individu yang sensitif.

'

'

'

21 April 2009

Mesyuarat Pengurusan Modul B&K Kebangsaan Di MITC Melaka.

Minggu lepas merupakan minggu yang membuatkan saya agak keletihan. Keletihan yang saya maksudkan bukanlah keletihan fizikal tetapi keletihan minda. Akibat daripada keletihan minda tersebut maka sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada fizikal saya pada hari-hari berikutnya. Untuk makluman pada minggu lepas selama 4 hari 3 malam saya berada di Hotel Ancasa MITC Melaka dalam rangka menyiapkan modul bimbingan dan kaunseling sekolah rendah. Keberadaan saya di sana adalah dalam rangka kerja memenuhi tuntutan Mesyuarat Pengurusan Modul Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Rendah Bil 2/2009. Mesyuarat kali ini adalah kesinambungan daripada mesyuarat kali pertama yang telah dianjurkan di Kuala Lumpur dahulu.
Mesyuarat anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia ini bermula pada 13 hingga 16 April 2009. Walaupun nama yang tertera pada surat panggilan adalah mesyuarat tetapi saya lebih suka memanggil mesyuarat ini sebagai bengkel disebabkan pengisian di dalamnya yang memerlukan kami Guru Bimbingan Dan Kaunseling yang terpilih dari seluruh Malaysia menggempur otak masing-masing untuk menghasilkan modul bimbingan untuk murid sekolah rendah. Modul yang dihasilkan ini kelak akan dibukukan dan diguna pakai oleh semua Guru Bimbingan Dan Kaunseling di sekolah sewaktu masuk ke kelas untuk aktiviti bimbingan kelompok.
Agenda mesyuarat kali ini agak padat disebabkan kami dikehendaki menyiapkan semua modul yang telah ditetapkan mengikut kumpulan sebelum hari terakhir mesyuarat. Tugasan pertama yang diterima ialah menilai modul mengikut kumpulan yang telah dibahagikan kepada enam sub topik iaitu akademik, kerjaya, psikososial dan kesejahteraan mental, keibubapaan, perkembangan diri murid, dan pendidikan pencegahan dadah. Seterusnya disusuli dengan pembentangan modul setiap tahun dan penggabungan modul mengikut bidang. Apabila sudah selesai maka modul tersebut akan dinilai semula oleh ahli kumpulan dan menyediakan isi kandungan mengikut tahun. Di sini juga kami dikehendaki menyediakan ujian pra dan pos kemudian menyediakan senarai semak pelaksanaan. Selain aktiviti yang melibatkan kumpulan terdapat aktiviti yang diberikan kepada individu untuk melaksanakannya seperti menyediakan kulit modul dan menyediakan kata aluan. Walaupun kurang berpengalaman saya mengambil tanggungjawab untuk menghasilkan kulit modul dengan harapan adalah sedikit jasa yang saya curahkan dan dapat ditatap dengan mata kasar. Sedikit mendukacitakan sebenarnya kerana laptop saya tidak mempunyai perisian Adobe Photoshop untuk membuat grafik bagi kulit modul tersebut. Berdasarkan perbincangan dengan pegawai maka saya meminta izin untuk melakukannya di rumah dan menghantarnya melalui email. Alhamdulillah permohonan saya diterima.
Secara ringkas di sini dapatlah saya simpulkan bahawa untuk menghasilkan sebuah buku bukanlah satu kerja yang amat mudah. Walaupun bilangan kami ramai dan semuanya berkemahiran tetapi ia masih memerlukan penelitian dan kesabaran yang tinggi. Kepada semua guru yang terlibat syabas dan tahniah diucapkan. Bertemu lagi kita pada perjumpaan yang akan datang. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini dapat menjadi ilmu yang bermanfaat untuk diamalkan dan terus diamalkan.
'
'
'

12 April 2009

Ibu Bapa Mogok Tidak Membenarkan Anak Ke Sekolah


Hari minggu ini tiada apa aktiviti hendak dilakukan ditambah pula hujan lebat di luar membuatkan saya terpaku di hadapan komputer mencari-cari berita dan bahan untuk dibaca. Apabila buka sahaja laman malaysiakini saya agak terkejut apabila membaca berita yang mengatakan terdapat ibu bapa mogok dengan tidak membenarkan anak mereka ke sekolah. Isi laporan berita tersebut adalah seperti di bawah:
'
Ibu bapa di sebuah sekolah kebangsaan di Sabah melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pertukaran guru besar sekolah berkenaan. Ia berlaku di Sekolah Kebangsaan Pulau Mantani, di Kota Belud apabila rayuan untuk mengekalkan guru besar, Sabli Nanti yang tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Pelajaran Sabah. Sabli diarah bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud sebagai penyelia sekolah menengah. Ekoran itu mereka melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak ke sekolah, sehinggalah pada satu masa kehadiran hanya dua orang sahaja daripada 136 orang murid-murid, bermula 2 Mac lalu. Bagaimanapun, ia berjaya diselesaikan melalui majlis permuafakatan yang diadakan di dewan sekolah berkenaan Jumaat lalu.

Penolong Pengarah Pelajaran Sabah, Bongsu Gaga berkata ibu bapa telah memberi jaminan bahawa mereka akan menghantar semula anak ke sekolah mulai esok."Kita gembira isu ibu bapa mogok tidak hantar anak ke sekolah sudah selesai. Kita berterima kasih kepada mereka yang memberi jaminan kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud bahawa kehadiran seratus peratus pada Isnin ini," katanya kepada Bernama hari ini. Bongsu menjelaskan bahawa Sabli tidak layak lagi berkhidmat di sekolah berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) itu kerana beliau dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34. Menurutnya, Sabli hanya layak berkhidmat sebagai guru besar di sekolah gred A dan B atau menjawat jawatan penyelia pelajaran daerah.

Bagaimanapun Jabatan Pelajaran Sabah akan mempertimbang syarat PIBG agar Sabli dijadikan penasihat sekolah dan dibenarkan memantau untuk membantu meningkatkan prestasi sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan," katanya.Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud Abdul Bahkrin Mohd Yusof menyambut baik kesediaan ibu bapa bekerjasama, sekaligus menyedari kepentingan ilmu pendidikan. Beliau turut memaklumkan bahawa Sabli akan diberi peranan untuk membantu sekolah kebangsaan Pulau Mantanani meskipun tidak lagi bertugas di sekolah itu. "Sesungguhnya mereka faham bahawa tiada yang boleh mengubah kemiskinan keluarga selain kecemerlangan anak-anak dalam mengecapi ilmu pendidikan," katanya.
'
Macam-macam perkara yang berlaku dalam dunia pendidikan ini. Kalau dulu anak-anaklah yang mogok tidak mahu ke sekolah tetapi sekarang ibu bapa pula yang mogok tidak membenarkan anak mereka ke sekolah. Saya memandang perkara ini dari sudut yang positif bahawa kemungkinan guru besar tersebut sudah melakukan sesuatu yang terbaik sehinggakan ibu bapa terlalu sayang kepadanya dan merasakan kehilangan apabila dia tidak lagi berkhidmat di sekolah anak mereka. Apakah yang dilakukan dan bagaimana dia melakukan sehinga nampak sangat kuasa pengaruhnya kepada ibu bapa di sekolah tersebut perlulah kita selidiki dan pelajari. Syabas dan tahniah buat cikgu Sabli Nanti kerana anda telah membuka mata masyarakat bahawa betapa besarnya peranan seorang guru di sekolah. Buat guru-guru yang lain saya mengajak untuk berfikir sejenak adakah perkara yang sama akan dilakukan oleh ibu bapa kepada kita apabila kita bertukar dari sekolah sekarang samada disebabkan kenaikan pangkat, berpindah ke sekolah lain atau pulang ke negeri sendiri. Sama-samalah kita mengambil iktibar dari kisah ini.
'
'
'

Stress dan Personaliti..

Satu pengalaman yang amat beharga buat saya apabila dapat menganjurkan kursus dalaman kepada kakitangan sekolah sendiri. Ia menjadi lebih bermakna dan sukar dilupakan kerana penceramah yang memberikan ceramah serta mengadakan bengkel dalam kursus tersebut adalah saya sendiri. Sangat mengujakan apabila bercakap di hadapan orang yang mengenali diri kita tetapi masih mampu memberikan perhatian apabila kita bercakap dan melontarkan ide-ide seterusnya diterima dengan rasa senang hati. Rasa syukur dipanjatkan kehadrat Illahi kerana telah mempermudahkan saya untuk menganjurkan Kursus Mengurus Stress Melalui Pengurusan Personaliti pada 8 April yang lalu. Kursus ini diadakan di bilik mesyuarat SK Putrajaya Presint 9 (1) merupakan anjuran Unit Latihan Dalam Perkhidmatan. Kronologi kursus ini dianjurkan ialah apabila saya dijemput sebagai peserta kursus pengurusan stress yang diadakan di IPG Teknik kuala Lumpur pada 24-25 Mac 2009 lalu. Sehubungan dengan itu Guru Besar telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menganjurkan kursus kepada kakitangan sekolah dengan menggunakan peruntukan LDP.
Kursus Mengurus Stress Melalui Pengurusan Personaliti ini dirancang untuk membantu guru-guru dan staf agar dapat menguruskan stress yang mereka hadapi dengan sebaiknya. Kursus ini agak berbeza kerana menggunakan personaliti untuk menguruskan stress bukan seperti kursus lain yang menggunakan teknik pernafasan, regangan, senaman dan sebagainya. Kursus dimulakan dengan sesi ceramah berkaitan takrifan stress, fakta mengenai stress, punca stress, kesan stress dan strategi untuk menanggani stress secara berkesan. Sesi kedua pula guru dan staf menjawab soalan yang terdapat pada inventori personaliti warna dan sesi seterusnya penafsiran personaliti yang mereka wakili. Segalanya berjalan dengan lancar dan rata-rata peserta kursus nampaknya berpuas hati dengan kursus yang dianjurkan. Malah ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar kursus sebegini diadakan lagi selepas ini sebagai kesinambungan kepada kursus ini. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Guru Besar iaitu Pn. Nafishah yang memberikan kepercayaan dan tunjuk ajar kepada saya walaupun asasnya saya merupakan seorang guru baru di sekolah ini. Terima kasih juga kepada semua yang membantu menjayakan kursus terutamanya rakan kaunselor Pn Norlida, Cc Nasiam dan Kak Ana. Terima kasih kepada rakan guru-guru yang sudi meluangkan masa mengikuti kursus yang saya anjurkan ini. Semoga ilmu yang telah dicurahkan diamalkan dan dikembangkan kepada insan lain agar ia menjadi ilmu yang bermanfaat yang bakal membantu kita apabila bertemu dengan Robbul Jalil kelak. Bersama memartabatkan profesion perguruan.

'
'
'