27 August 2009

Menempuh Ramadhan Dengan Kesabaran dan Ujian Kesihatan

Minggu ini merupakan minggu yang tenang buat warga pendidik kerana berada dalam cuti persekolahan selama seminggu ditambah lagi satu hari iaitu hari kemerdekaan yang jatuh pada isnin minggu hadapan. Minggu ini juga sebenarnya umat Islam serata dunia mengerjakan ibadah puasa bermula pada hari sabtu 22 Ogos 2009. Hari ini genaplah enam hari kita semua menunaikan ibadah puasa iaitu satu ibadah yang wajib kita menunaikannya. Sekejap sahaja masa berlalu seakan tidak terasa yang baki cuti persekolahan tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi sedangkan banyak perkara yang dirancangkan untuk dilaksanakan dalam cuti ini masih belum terusik untuk tindakan selanjutnya. Sememangnya ramadhan kali ini benar2 menguji kesabaran dan kemampuan saya untuk menghadapinya.
Masih teringat lagi saat berada di sekolah pada pagi 20 Ogos 2009 yang juga merupakan hari ulang tahun perkahwinan ke-4 saya bersama isteri. Sedang asyik berbual dengan guru besar, saya menerima panggilan dari isteri mengatakan kakak ada menelefonnya memberitahu ayah sakit di kampung. Terkelu lidah kerana melalui percakapan isteri situasi ayah sakit adalah sakit yang pernah menyerangnya suatu ketika dahulu sehinggakan terpaksa memasuki wad kecemasan (ICU). Untuk pengetahuan semua lima tahun lepas ayah saya pernah menjalani pembedahan besar di perutnya kerana usus besarnya telah pecah tetapi sempat diselamatkan kerana ayah masuk bilik pembedahan tepat pada masanya. Tiada apa yang dapat digambarkan ketika itu hanya pulang ke kampung menziarahi ayah ada di fikiran.
Semua program termasuk ceramah UPSR di SKPP11(3) yang sudah mendapat pelepasan saya batalkan. Dengan ihsan guru besar saya pulang awal hari itu untuk mengambil anak di taska dan menunggu isteri pulang bekerja untuk sama2 pulang ke kampung. Dalam keadaaan cemas tersebut abang kedua saya menelefon dan mengatakan ayah tidak kritikal cuma suspek batu karang. Untuk menguatkan lagi percakapannya abang menyerahkan telefon pada ayah dan melalui perbualan bersama ayah sedikit sebanyak melenyapkan kerisauan di hati tetapi perasaan mahu bertemu dan melihat ayah dengan mata sendiri membuak2 menyebabkan saya tekad untuk pulang juga. Alhamdulillah sesampainya kami di sana saya dapat melihat ayah terbaring di katil tetapi masih lagi boleh berbicara dan keadaannya nampak semakin stabil. Hanya pada Allah dipanjatkan kesyukuran kerana masih memanjangkan usia ayah. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana mendengar doa anak kepada ayahnya ini..
Sehari selepas kejadian itu ramadhan menjelma dan kesempatan pulang dapatlah kami bersahur dan berbuka bersama keluarga. Cuma ramadhan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran warga baru iaitu Nur Almira Batrisyia anak adik perempuan saya dalam keluarga besar kami. Memandangkan cuti masih panjang, kesempatan bersahur dan berbuka juga tidak dilepaskan di rumah mertua yang terletak di Chemor Perak. Alangkah indahnya bersahur dan berbuka bersama dengan keluarga sambil dihidangkan pula dengan keletah anak kecil saya yang sibuk hendak membaca doa.
Selepas ujian kesabaran ditempuhi kini tibalah pula ujian kesihatan. Semasa di kampung lagi saya sudah merasakan tidak sedap badan seakan hendak demam dan batuk serta selesema. Puasa pertama saya sudah dijangkiti demam, batuk dan selesema. Pulang ke Putrajaya anak saya pula dijangkiti penyakit yang sama dan hari ini isteri saya juga telah terkena jangkitan iaitu demam, batuk dan selsema. Cuma kami bernasib baik melalui ujian di klinik kesihatan Putrajaya ia cuma demam, batuk dan selesema biasa bukan virus yang digeruni masa kini iaitu H1N1. Mohon Allah jauhi penyakit tersebut daripada kita semua. Kepada semua pengikut dan pembaca budiman, kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada anda semua. Gunakan kesempatan yang ada ini untuk membuat amal ibadat sebanyak mungkin dan mengejar pahala 1000 bulan. Saya doakan kalian semua sihat walafiat dan doakan juga kami sekeluarga beransur sembuh dan sihat hendaknya.
'
'
'

No comments: