07 December 2009

Orang Malaysia Kurang Senyum?


Sekiranya ditanya soalan ini kepada anda apakah jawapan yang akan diberikan. Sekiranya ditanya kepada saya pula semestinya saya akan memberikan jawapan Ya! orang Malaysia sememangnya kurang senyum. Tetapi bagaimana pula ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Malaysia adalah mesra dan peramah. Semua jawapan akan anda dapati apabila membaca akhbar hari ini kerana kerajaan sendiri berhasrat melancarkan Kempen Senyum-senyum Satu Malaysia tidak lama lagi. Terfikir juga saya kenapa kempen senyum ini perlu diadakan sekiranya orang Malaysia sudah dikenali sebagai rakyat yang mesra dan peramah oleh para pelancong yang datang ke Malaysia.
Hakikat sebenarnya rakyat negara ini sememangnya peramah namun apa yang dikesali sikap itu hanya ditonjolkan kepada pelancong asing tetapi tidak begitu di kalangan mereka sendiri. Anda sendiri mungkin pernah mengalami keadaan sedemikian. Baiklah, di sini saya ceritakan pengalaman terbaru berkaitan dengan situasi ini iaitu sewaktu saya sekeluarga ke Zoo Negara baru2 ini. Apabila sampai di sana dan bagi memberikan pendedahan kepada anak saya menganai haiwan2 yang terdapat di zoo saya membuat keputusan untuk menaiki tram yang mengangkut penumpang mengelilingi zoo. Menaiki tram pertama tiada masalah kerana kami duduk di bahagian belakang dan pemandunya membawa kami dengan perlahan. Dapat jugalah melihat aksi haiwan dan pemandangan sekitar zoo.
Setibanya di hentian untuk pertukaran tram kami membuat keputusan untuk duduk di bahagian hadapan pula iaitu di belakang pemandu. Berkebetulan pada waktu tersebut sepasang pasangan dari timur tengah mahu duduk di tempat yang sama tetapi apabila melihatkan kami terlebih dahulu duduk dan membawa anak kecil mereka mengalah dan duduk di belakang kami. Apa yang menjadi masalahnya ialah sikap pemandu tram yang menjeling dan terus bermasam muka atas tindakan kami seolah2 kami menganggu beliau untuk berinteraksi dengan pelancong terbabit. Bukan itu sahaja ia ditambah dengan tindakannya yang pantas meminta tiket selepas saya duduk untuk kepastian membuatkan saya kurang selesa. Memandangkan kami mempunyai tiket dia tidak dapat berkata apa2 tetapi lagak tidak puas hatinya terserlah apabila tram tersebut dibawa dengan laju sehinggakan anak kecil saya tidak dapat melihat apa2 dan saya sendiri tidak dapat merakam sesuatu walau membawa video kamera bersama.
Apa yang lebih menarik dan berkaitan dengan tajuk entri di atas ialah, setibanya di satu kawasan haiwan tram tersebut diberhentikan dan pemandu turun bertanya kepada pasangan timur tengah tadi sama ada mahu mengambil gambar atau tidak. Pasangan tersebut menolaknya kerana mungkin tidak mahu penumpang yang lain menunggu lama. Cuba anda bayangkan si pemandu sanggup berhenti dan ke tempat duduk pasangan terbabit tanpa sepatah pun bertanya kepada kami di belakangnya. Senyum atau tidak usah di tanya kalau muka sudah masam mencuka seolah2 kami ini bukan penting baginya. Entah mengapa sikap double standard sebegini berlaku di kalangan warga kita. Sanggup melebihkan pelancong asing tetapi mengabaikan warga negara sendiri. Perbuatan mereka sebenarnya tidak lebih dari berselindung di sebalik topeng sedangkan hakikat sebenarnya mereka ini tidaklah begitu peramah.
Kisah tersebut adalah sebahagian catatan saya mengenai sikap orang Malaysia yang kurang senyum. Banyak lagi cerita di luar sana dan saya yakin anda pernah melaluinya. Adalah diharapkan dengan adanya kempen ini kelak akan memberikan kesedaran kepada golongan ini untuk tidak bertindak seperti kata pepatah iaitu ‘Talam dua muka’ atau ‘Kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan’. Bertambah bagus lagi sekiranya kempen ini juga mengaitkan amalan senyum tersebut dengan sebuah hadis Nabi SAW. Secara tidak langsung ia memberikan gambaran kepada non muslim bahawa Islam menggalakkan umatnya bermanis muka kerana ‘Senyum itu adalah sedekah’.
'
'

2 comments:

ninim said...

itulah...senyuman adalah penawar kekusutan...tapi ramai yang abaikan kepentingan senyuman

Ilmuwan Hati said...

tq ninim. senyuman boleh menbuatkan hati sesiapa sahaja tenang. paling penting senyuman itu adalah sedekah tanpa perlu mengeluarkan wang ringgit. paling mudah dilakukan tetapi sangat sukar dipraktikkan.