20 December 2010

Memanfaatkan Cuti Mendalami Ilmu Kaunseling


Teori kaunseling kepada seorang kaunselor ibarat peta petunjuk kepada pemandu yang ingin menuju ke satu destinasi. Tanpanya, destinasi yang akan ditujui itu menjadi kabur dan berkemungkinan tidak sampai ke tempat tujuan malah mungkin menyukarkan lagi keadaan. Begitulah lebih kurang kata2 seorang pensyarah saya dan ia masih terngiang2 di benak fikiran berkaitan antara kaunselor dan teori kaunseling. Diakui kebanyakan kaunselor atau guru bimbingan dan kaunseling (GBK) di sekolah mempunyai teori kaunseling yang dipegang dan mempunyai asas kenapa teori tersebut menjadi pengangannya. Oleh yang demikian, saya juga mempunyai teori yang dipegang dan alasan tertentu mengapa menggunapakai teori tersebut. Adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya terdapat kaunselor atau GBK yang langsung tidak mempunyai teori dan menggunapakai teori semasa sesi kaunseling dijalankan olehnya. Ternyata itu belum boleh dinamakan sebagai sesi kaunseling tetapi mungkin sesi nasihat atau perkongsian namanya.
Memandangkan cuti persekolahan ini agak panjang maka saya mengambil kesempatan untuk mengulangkaji semula teori2 kaunseling yang telah dipelajari dan dipraktekkan semasa membuat sesi dahulu. Mendalaminya semula membuatkan saya lebih memahami berbanding sewaktu mempelajarinya di maktab atau di universiti dahulu. Mungkin disebabkan kerana ketika ini apa yang dibaca, saya dapat kaitkan dengan situasi semasa mengadakan sesi bersama klien dan masalah mereka. Selain teori, kemahiran kaunseling dan teknik juga dapat dipelbagaikan untuk membantu klien mendapat celik akal.
Pelaburan saya sewaktu ke pesta buku antarabangsa dahulu tidak sia2 kerana kini saya memiliki beberapa buah koleksi pelbagai jenis buku kaunseling dan ia sememangnya menjadi gedung ilmu buat saya. Lebih manis koleksi yang dimiliki adalah daripada penulis tersohor dalam bidang tersebut serta dari penerbit yang sukar ditemui di kedai2 buku biasa. Dengan sesi mentelaah ilmu kaunseling sewaktu cuti persekolahan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk kembali ke sekolah dan mengaplikasikannya dalam sesi2 kaunseling akan datang. Semoga pembelajaran dan pencarian ilmu ini tidak terhenti setakat ini sahaja dan diharapkan impian saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Semoga dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan untuk menggali sebanyak mungkin ilmu dalam bidang ini bagi membantu insan yang memerlukan pertolongan.
'
MutiaraMinda2u:
Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu berkurangan apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan.
-Saidina Ali bin Abi Talib-
'
'

No comments: