15 May 2009

Belum Pasti Di Atas Atau Di Bawah, Pastinya Akan Ke Bawah Tanah

Terdapat ramai rakan bloggers yang meminta saya untuk memberikan respon berkaitan situasi politik yang melanda negara terutamanya kemelut yang berlaku di negeri Perak. Sebenarnya bukan tujuan blog ini diadakan untuk membahaskan hal-hal politik kerana ia lebih kepada pengalaman dan isu-isu pendidikan berdasarkan bidang dan pengetahuan saya. Kenyataan tersebut tidaklah bermakna saya cuba untuk mengasingkan antara agama dan politik kerana sememangnya saya mengakui agama dan politik tidak dapat dipisahkan. Sebagai seorang pendidik blog ini akan terus memberikan fokus kepada bidang pendidikan disamping tidak mengabaikan tanggungjawab untuk mengajak dan menyeru pembaca agar berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu situasi dan kondisi berdasarkan ilmu dan fakta. Penulisan kali ini bukan bertujuan untuk menentukan siapa yang benar dan yang salah tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang sepatutnya berlaku dan dilakukan sebagai seorang pemimpin. Berpegang kepada tangline “Melihat Dari Mata Burung Bukan Dari Mata Tempurung” maka saya mengajak pembaca sekalian untuk melihat situasi ini dari sudut yang berbeza.
Sebagai pemimpin yang berjiwa besar sudah tentulah mereka perlu menyakini bahawa harta, pangkat dan kekayaan tidak memberikan erti kepada kehidupan yang abadi kerana apa yang lebih penting adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t. disamping amal kebajikan yang dilakukan. Tidak penting samada di dunia ini anda berada di atas atau di bawah tetapi yang lebih penting adalah sewaktu anda berada di bawah tanah iaitu di alam barzakh untuk menuju satu kehidupan yang kekal abadi. Pemimpin yang sedar akan bertemu dengan Tuhannya pasti akan melakukan sesuatu yang baik dengan mengutamakan orang bawahan disamping cuba mendapatkan keredhaan dari Tuhannya. Hal ini kerana setiap perbuatannya akan dipertanggungjawabkan di hadapan mahkamah yang lebih adil iaitu mahkamah yang berhakimkan Robbul Jalil. Mengakhiri penulisan ini saya memilih lirik lagu Pemimpin Yang Adil dendangan Hijjaz yang sarat dengan maksud tersirat untuk difikirkan bersama.

Pemimpin yang adil sangat dikehendaki
Memakmurkan umat dunia dan akhirat
Tiada keadilan negara huru-hara
Pemimpin membela nasib rakyatnya

Pemimpin yang adil sifatnya amanah
Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya
Keadilannya tanpa pilih kasih pada siapa
Kepentingan rakyat lebih utama

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya
Kasih sayang terserlah di wajahnya
Sombong dan takbur tidak ada pada dirinya
Rakyat hormat bukan takut padanya

Pemimpin yang adil mengutamakan amanah
Wang rakyat dan negara tidak disalah guna
Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya
Rakyat diseru mentaati Allah

Terdapat pemimpin di dunia kini
Seringkali mencetus huru-hara
Demi melindungi kepentingan dirinya
Rela membiar rakyatnya derita

Pemimpin yang adil mengutamakan rakyatnya
Melepaskan mereka dari sengsara
Akhlak yang mulia pakaian dirinya
Rakyat taat dan sayang padanya
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang begini
'
'
'

No comments: