08 June 2009

Menunggu Untuk Menjadi Suami Yang Soleh

“Untuk menjadi isteri yang solehah dia perlu menunggu suaminya menjadi soleh, tetapi untuk menjadi suami yang soleh dia tidak perlu menunggu isterinya menjadi solehah.” Satu ungkapan yang dikeluarkan oleh seorang ustaz dari seberang juga merupakan kenalan kepada seorang ustaz tempatan yang sekarang ini sedang menghadapi masalah rumah tangga.
Saya sebenarnya tidak mahu untuk membicarakan tentang masalah rumah tangga ustaz yang dimaksudkan tetapi lebih kepada ungkapan al-fadhil ustaz yang telah mengeluarkan kalam di atas. Pada saya ungkapan tersebut merupakan satu ungkapan yang tulus mulus dari seorang sahabat kepada sahabatnya. Ungkapan yang pendek tetapi mempunyai maksud tersirat, tersimpul rapi dan padat. Hanya orang2 yang mahu berfikir sahaja akan dapat menyelami maksud tersebut seterusnya melaksanakan dalam kehidupan berumah tangga.
Sememangnya diakui bahawa untuk menjadi seorang isteri yang solehah dia perlu untuk menunggu suaminya terlebih dahulu menjadi suami yang soleh kerana segala tindak tanduk seorang isteri terikat dengan keizinan dari suaminya. Untuk berpuasa sunat pun perlu mendapatkan izin suami apatah lagi untuk keluar pergi menuntut ilmu yang sememangnya perlu mendapat keizinan dari suami. Sekiranya tidak berbuat demikian, maka dia akan digelar seorang isteri yang nusyuz. Banyak pantang larang yang menyekat seorang isteri dari menjadi isteri yang solehah apabila suaminya tidak soleh. Seandainya ada di kalangan isteri yang mampu menjadi isteri solehah dalam keadaan suaminya tidak soleh maka satu penghormatan perlu diberikan kepadanya kerana berjaya memecah tradisi dan mencarik adat perjalanan sebagai isteri solehah.
Menjadi suami yang soleh pula tidak memerlukan seorang suami itu menunggu isterinya menjadi isteri solehah kerana suami tidak memerlukan perkenan atau keizinan dari isteri untuk melakukan sesuatu. Sang suami boleh berbuat apa sahaja untuk menjadikan diri sebagai seorang lelaki yang soleh kerana dia berkeupayaan melakukannya. Menuntut ilmu agama, bersolat jemaah di masjid dan surau, berbakti kepada kedua orang tuanya, mendekatkan diri dengan alim ulama, bersedekah, memberi makan anak yatim dan sebagainya boleh dilakukan sekiranya dia mahu melakukannya. Kesemua perkara yang dinyatakan dan perkara kebaikan yang lain dia mampu lakukan tanpa perlu mendapat keizinan dari isterinya. Cukup sekadar memberitahu kepada isteri akan perbuatan yang hendak dilakukannya sudah memadai walaupun isteri tidak memberikan persetujuan kerana kata pemutus adalah hak suami.
Memandangkan sekarang merupakan musim cuti sekolah atau lebih sinonim musim kenduri kahwin, maka kepada pasangan yang sudah berkahwin berusahalah untuk menjadi suami dan isteri yang soleh dan solehah dalam keluarga anda. Di sini juga suka saya ingatkan kepada individu yang belum mendirikan rumah tangga terutamanya wanita, carilah pasangan anda yang mempunyai potensi untuk menjadi suami yang soleh sekiranya anda bercita-cita untuk menjadi isteri solehah kepadanya. Sekiranya tidak, maka janganlah anda impikan untuk menjadi isteri solehah seterusnya memiliki zuriat yang dinamakan sebagai anak soleh dari keturunan anda. Hal ini kerana, anak yang soleh akan lebih mudah lahir dari keluarga yang ibu dan ayahnya juga soleh dan solehah walaupun tidak semestinya demikian. Fikir-fikirkan..
'
'
'

No comments: