31 December 2008

Iringkan Doa Kepada Saudaramu..


وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).
(Al-Baqarah Ayat: 120)



Benarlah sebagaimana dengan firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran. Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redho dengan agama Islam selama-lamanya sehinggalah kita mengikut telunjuk mereka. Hari ini masuk hari yang ketiga rejim Zionis mengganas dengan membedil penempatan penduduk di Genting Gaza sehingga mengakibatkan angka korban terus meningkat dari masa ke semasa serta beratus-ratus yang lain tercedera. Lebih menyedihkan apabila yang terkorban dan tercedera itu ialah orang awam di kalangan orang tua, wanita dan kanak-kanak. Satu kejadian yang paling buruk dilaporkan sejak 60 tahun yang lalu.

Kejadian ini merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku tatkala umat Islam di Malaysia menyambut sambutan Maal hijrah 1430H dengan aman tetapi umat Islam di bumi Palestin menyambutnya dengan dihujani bom mortar, peluru berpandu dan berbagai lagi senjata canggih oleh tentera Israel. Entah apa lagi yang akan dilakukan oleh rejim Zionis untuk menindas umat Islam Palestin selepas ini. Sahabat-sahabat sekalian, sedarlah bahawa rejim Zionis semakin mengganas, saudara kita di Palestin dibunuh tanpa belas kasihan. Sebagai umat Islam kita sepatutnya mempunyai sensitiviti dan turut sama merasai kesakitan yang dideritai oleh rakan seagama kita di bumi Palestin kini. Disebabkan kemampuan kita yang tidak seberapa dan keberadaan kita yang jauh dari mereka maka lakukanlah apa yang termampu sebagai tanda kita bersama dengan mereka. Setidak-tidaknya kita menadah tangan memohon agar Allah s.w.t. mendatangkan pertolongan membantu mereka kerana doa merupakan senjata mukmin yang paling ampuh. Jangan pula kita hanya bertindak sebagai pemerhati. Koreksi diri dan cuba r
enungkanlah sabda Rasulullah s.a.w di bawah ini:

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai dan mengasihi di antara mereka adalah seperti satu tubuh, Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam.” [HR. Bukhari]
'
'
'

27 December 2008

Salam Maal Hijrah 1430H..


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430H kepada semua sahabat-sahabat, muslimin serta muslimat tidak kira samada anda mengenali diri ini atau tidak. Bugarkan semangat, bulatkan tekad, gantungkan azam setinggi langit dan lakukanlah perubahan dari sekarang agar tahun mendatang menjadikan kita insan yang cemerlang. Semoga jalinan ukhuwwah antara kita kekal berpanjangan dan didoakan agar kita sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan kasih sayangNYA.. Ameen.
'
'
'

Iktibar Dari Bencana Tsunami..

Pagi ini agak terkesima saya bila menatap muka hadapan akhbar Utusan Malaysia dimana terpampang gambar mangsa-mangsa tsunami memohon doa di bawah kapal yang tersangkut di bumbung sebuah rumah di Kampong Lampulo, Banda Aceh. Perasaan itu hadir mungkin disebabkan alam bawah sedar saya telah dirangsang tatkala melihat gambar tersebut. Ia menyebabkan minda terus mengimbas saat-saat berada di sana menyaksikan sendiri kapal tersebut yang betul-betul tersangkut di atas sebuah rumah. Dalam jaraknya jauh beberapa kilometer dari laut adalah mustahil untuk kapal tersebut berada di atas bumbung rumah. Tetapi dengan kekuasaan Allah s.w.t. kapal nelayan ini telah dilambung ombak dan berada di atas rumah ini akibat tsunami. Lebih menginsafkan apabila mendapat tahu 59 nyawa telah terselamat dari musibah tersebut disebabkan berada di atas kapal ini. Tiada kata apa yang dapat dilafazkan melainkan “Maha Suci Allah” yang menjadikan semua ini.
Peristiwa tsunami yang berlaku pada tanggal 26 Disember 2004 memang memberikan makna yang cukup mendalam kepada saya. Sebagai mahasiswa tahun akhir IAIN Ar-Raniry Aceh pada tahun tersebut rasa kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t. kerana pada masa kejadian saya tidak berada di bumi Aceh kerana menjalani praktikum di Pemadam Negeri Pulau Pinang. Berbeza dengan rakan-rakan saya yang masih menuntut di Aceh ketika itu semuanya dapat merasai bencana tsunami ini. Walaupun keadaan agak gawat ketika itu, Alhamdulillah kesemua pelajar Malaysia terselamat.
Pada hemat saya, walau sebesar mana sekalipun tragedi, musibah, malapetaka, bencana, atau ujian berlaku ia tidak akan memberi kesan sekiranya kita masih seperti dahulu iaitu tidak mahu mengambil iktibar. Lebih dahsyat lagi sekiranya perkara itu benar-benar berlaku di depan mata sendiri tetapi kita masih tidak mahu berubah. Saya tinggalkan coretan ini dengan satu mutiara minda untuk direnungkan bersama:
'
'
'
"Orang pandai belajar daripada kesilapan sendiri, Orang bijaksana belajar daripada kesilapan orang lain, Orang yang bebal enggan ataupun gagal belajar daripada setiap kesilapannya."


'
'

23 December 2008

Ciri-Ciri Dakwah Yang Efektif

Akibat dakwah tanpa hikmah

Dengan meminjam teori komunikasi, suatu dakwah dinilai efektifnya apabila menimbulkan lima tanda. Lima tanda yang dimaksudkan ialah:

  1. Melahirkan pengertian. Iaitu apa yang disampaikan dimengertikan oleh yang menerimanya.

  2. Menimbulkan kesenangan. Yakni orang yang menerima pesanan iaitu mad’u merasakan seruan dakwah yang disampaikan oleh da'ie menimbulkan rasa senang, tenang dan menghiburkan, tidak memuakkan atau menyakitkan walaupun sifat tegurannya boleh jadi tajam dan mendasar. Walaupun demikian dakwah bukanlah seperti pertunjukkan hiburan, dan seorang da'ie tidak seharusnya berperanan sebagai pelawak.

  3. Menimbulkan pengaruh pada sikap mad’u. Maksudnya, ajakan dan seruan da’ie dapat mempengaruhi sikap mad’u dalam masalah-masalah tertentu. Misalnya dari sikap sinis kepada upacara keagamaan menjadi neutral, simpati atau empati, dari stereotaip terhadap ajaran Islam berkaitan wanita menjadi ingin mengetahui ajaran yang sebenarnya. Dari sikap eksklusif (merasa dirinya benar) menjadi menghargai golongan lain dan sebagainya.

  4. Menimbulkan hubungan yang makin baik. Maksudnya, semakin sering berkomunikasi dengan mad’u, samada melalui ceramah, konsultasi, bermuamalah atau pergaulan biasa membuatkan hubungan antara kedua belah pihak semakin dekat dan semakin akrab serta saling memerlukan. Bermula dari sekadar penceramah yang diundang untuk berceramah berkembang menjadi guru, sahabat, tempat mengadu, perunding dan orang yang dihormati oleh masyarakat.

  5. Menimbulkan Tindakan. Maksudnya dengan dakwah yang dilakukan terus menerus, mad’u kemudiannya terdorong bukan hanya untuk merubah sikapnya tetapi sehingga mahu melakukan apa yang dianjurkan oleh da'ie. Dari seorang yang tidak mengerjakan solat kepada patuh mengerjakan solat, dari kedekut kepada pemurah, dari berkelakuan kasar kepada lemah lembut, dari pemalas menjadi rajin dan sebagainya. Tindakan kelima inilah yang merupakan tanda konkrit dari keberhasilan sesuatu dakwah.

Dengan demikian, jika seorang da’ie berdakwah setiap hari tetapi masyarakat masih tidak memahami malah membenci dirinya, mereka tidak membantu program-programnya, jurang pemisah semakin melebar, seruan-seruannya tidak mendorong mereka melakukan sesuatu, itu semua merupakan indikasi bahawa dakwah dari da’ie tersebut tidak efektif.

Penggunaan psikologi dakwah oleh da’ie adalah agar dakwahnya efektif. Sebenarnya, komunikasi dakwah membuatkan kedua belah pihak iaitu da’ie dan mad’u sama-sama belajar menjadi manusia. Ini adalah kerana keperibadian manusia terbentuk secara perlahan-lahan melalui interaksi dengan orang lain di sekitarnya.


18 December 2008

Helah Bela Diri

Merupakan proses psikologi bertujuan untuk mengurangkan tekanan dan ia juga boleh diibaratkan sebagai membohongi diri untuk berhadapan dengan realiti. Manusia menggunakan helah bela diri untuk melindungi dirinya apabila berada dalam keadaan terancam. Antara strategi yang digunakan untuk helah bela diri ialah:

Penyangkalan

  • Merupakan penafian atau penolakan tentang realiti. Sesuatu peristiwa yang traumatik yang tidak tertanggung oleh fikiran dan perasaan. Contohnya seseorang yang tidak dapat menerima berita kematian orang yang penting di dalam hidupnya.
Reaksi Formasi
  • Mempertahankan diri dari satu ancaman dengan menunjukkan reaksi yang bertentangan. Contohnya seorang yang selalu makan rasuah sering bercakap tentang gejala rasuah.

Penyaluran

  • Melepaskan desakan-desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat. Contohnya kemahiran terhadap ketua jabatan di pejabat dilepaskan kepada anak-anaknya di rumah.

Rasionalisasi

  • Memberi alasan-alasan terhadap kegagalan. Contohnya, seorang murid yang gagal dalam peperiksaan menyalahkan gurunya yang sering tidak masuk kelas sedangkan dirinya sendiri tidak mampu menguasai pelajaran yang diajar oleh guru tersebut.

Represi

  • Menyingkirkan semua pemikiran dan perasaan yang mengancam dari alam sedar. Kebanyakan pengalaman yang menyakitkan pada 5 tahun pertama kehidupannya telah terpendam di alam bawah sedar. Contohnya rasa marah dan kebencian yang tidak boleh dijelaskan dan dinyatakan sebab-sebabnya.

Projeksi

  • Membalikkan desakan dan keinginan yang tidak dapat diterima oleh dirinya sendiri dengan cara meletakkan kesalahan kepada orang lain bukan pada diri sendiri. Contohnya, apabila berlaku sesuatu pertengkaran maka orang lainlah yang menjadi puncanya walhal dialah yang memulakannya.

Sublimasi

  • Satu cara untuk melepaskan tenaga di khalayak ramai dengan cara yang dapat diterima. Contohnya, seseorang yang berjaya di dalam sesuatu bidang adalah disebabkan melarikan diri dari tenaga yang boleh memalukannya seperti agresif atau keinginan seksual yang keterlaluan.

Introjeksi

  • Mengambil ciri-ciri atau nilai orang lain menjadi dirinya. Contohnya, seorang yang sering meniru gaya seseorang yang terkenal dan akhirnya menjadi sebahagian dari dirinya.

Pampasan

  • Usaha untuk mengimbangkan sesuatu kelemahan dengan cara mencari pampasan atau kekuatan lain. Contohnya, seorang yang tidak dapat berkomunikasi dengan baik mencari pekerjaan yang tidak memerlukan komunikasi yang banyak.

Regresi

  • Sorot kembali kepada peringkat perkembangan yang lebih awal untuk rasa selamat. Contohnya, seorang dewasa yang menangis seperti kanak-kanak disebabkan ketakutan kehilangan sesuatu.

Keluarga Bahagia

"Kebahagiaan dicipta bukan dicari..." kata-kata ini pernah aku ungkapkan kepada seorang rakan semaktabku yang hendak melangsungkan perkahwinannya tidak lama dahulu dan dengar khabarnya sekarang sudah pun mempunyai cahaya mata. Melihat kepada situasi masyarakat sekarang yang institusi kekeluargaannya seakan terumbang ambing disamping berlaku banyak kes perceraian di kalangan pasangan yang baru berkahwin serta yang sudah lama mendirikan rumahtangga, ada baiknya jikalau kata-kata diatas dijadikan renungan bersama. Kebahagiaan sememangnya perlu dicipta di dalam rumahtangga. Penciptanya pula tidak lain dan tidak bukan ialah pasangan pernikahan itu sendiri. Perbincangan dari hati ke hati, kesabaran yang tinggi, bertolak ansur serta menerima pasangan seadanya adalah kunci bagi menyelamatkan perhubungan. Ramai orang hanya mahu menerima kelebihan tetapi tidak mahu menerima kelemahan pasangan. Suami yang baik dan isteri yang solehah pastinya akan mencipta kebahagiaan mereka sendiri kerana bagi mereka pasangan hidup bukan hanya di dunia tetapi pasangan ini juga pastinya akan dipertemukan di akhirat.

'

30 November 2008

Inspirasi dari yang tercinta

Lirik dan lagu ini amat bermakna bagi diriku. Ia ditujukan oleh isteriku semasa aku masih menuntut di salah sebuah pusat pengajian. Seakan pengubat jiwa apabila keseorangan dan berjauhan dari keluarga.. sekarang aku masih menjadikannya sebagai sumber inspirasi buat diriku. Terima kasih sayang...



PERANTAU

Perantau Musafir Perjuangan
Tabahkanlah Hatimu
Berjuang Di Rantau Orang
Sedih Pilu Hanya Engkau Yang Tahu
Ingatan Anak Dan Isteri
Janganlah Menghiris Hatimu
Kerinduan Desa Nan Permai
Janganlah Melemahkan Semangat Juangmu
Di Waktu Ujian Badai Terus Melanda
Engkau Tetap Gigih Berjuang
Membenarkan Sabda Junjungan
Terus Memburu Menuntut Janji
Pastilah Islam Gemilang Lagi
Tapi Pejuang Kembara Perjuangan
Ujian Bukan Batu Penghalang
Kerana Itulah Syarat Dalam Berjuang
Oh Pejuang Di Manapun Ada Ketenangan
Di Manapun Ada Kebahagiaan
Bila Insan Kenal Pada Tuhan
Kasih Sayang Dan Pembelaan-Nya
Bagi Insan Yang Menyerahkan Jiwa Dan Raga,
Anak Dan Isteri Kepada Allah

'

Pengantar

Alhamdulillah... rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana sudah lama berhasrat baru sekarang berkesempatan membinanya. Laman mutiaraminda2u merupakan satu laman blog yang akan berkongsi dengan anda segala macam mutiara kata dan kata-kata yang mampu memberikan ransangan kepada minda dan jiwa agar kita dapat menjadikannya sebagai pemangkin untuk melakukan sesuatu yang lebih baik. Di samping itu juga laman ini akan dijadikan sebagai satu platform untuk saya berkongsi segala pemikiran dan pengalaman saya sebagai seorang pendidik. Salam perkenalan buat semua.

'