Showing posts with label Pandangan. Show all posts
Showing posts with label Pandangan. Show all posts

07 December 2009

Orang Malaysia Kurang Senyum?


Sekiranya ditanya soalan ini kepada anda apakah jawapan yang akan diberikan. Sekiranya ditanya kepada saya pula semestinya saya akan memberikan jawapan Ya! orang Malaysia sememangnya kurang senyum. Tetapi bagaimana pula ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Malaysia adalah mesra dan peramah. Semua jawapan akan anda dapati apabila membaca akhbar hari ini kerana kerajaan sendiri berhasrat melancarkan Kempen Senyum-senyum Satu Malaysia tidak lama lagi. Terfikir juga saya kenapa kempen senyum ini perlu diadakan sekiranya orang Malaysia sudah dikenali sebagai rakyat yang mesra dan peramah oleh para pelancong yang datang ke Malaysia.
Hakikat sebenarnya rakyat negara ini sememangnya peramah namun apa yang dikesali sikap itu hanya ditonjolkan kepada pelancong asing tetapi tidak begitu di kalangan mereka sendiri. Anda sendiri mungkin pernah mengalami keadaan sedemikian. Baiklah, di sini saya ceritakan pengalaman terbaru berkaitan dengan situasi ini iaitu sewaktu saya sekeluarga ke Zoo Negara baru2 ini. Apabila sampai di sana dan bagi memberikan pendedahan kepada anak saya menganai haiwan2 yang terdapat di zoo saya membuat keputusan untuk menaiki tram yang mengangkut penumpang mengelilingi zoo. Menaiki tram pertama tiada masalah kerana kami duduk di bahagian belakang dan pemandunya membawa kami dengan perlahan. Dapat jugalah melihat aksi haiwan dan pemandangan sekitar zoo.
Setibanya di hentian untuk pertukaran tram kami membuat keputusan untuk duduk di bahagian hadapan pula iaitu di belakang pemandu. Berkebetulan pada waktu tersebut sepasang pasangan dari timur tengah mahu duduk di tempat yang sama tetapi apabila melihatkan kami terlebih dahulu duduk dan membawa anak kecil mereka mengalah dan duduk di belakang kami. Apa yang menjadi masalahnya ialah sikap pemandu tram yang menjeling dan terus bermasam muka atas tindakan kami seolah2 kami menganggu beliau untuk berinteraksi dengan pelancong terbabit. Bukan itu sahaja ia ditambah dengan tindakannya yang pantas meminta tiket selepas saya duduk untuk kepastian membuatkan saya kurang selesa. Memandangkan kami mempunyai tiket dia tidak dapat berkata apa2 tetapi lagak tidak puas hatinya terserlah apabila tram tersebut dibawa dengan laju sehinggakan anak kecil saya tidak dapat melihat apa2 dan saya sendiri tidak dapat merakam sesuatu walau membawa video kamera bersama.
Apa yang lebih menarik dan berkaitan dengan tajuk entri di atas ialah, setibanya di satu kawasan haiwan tram tersebut diberhentikan dan pemandu turun bertanya kepada pasangan timur tengah tadi sama ada mahu mengambil gambar atau tidak. Pasangan tersebut menolaknya kerana mungkin tidak mahu penumpang yang lain menunggu lama. Cuba anda bayangkan si pemandu sanggup berhenti dan ke tempat duduk pasangan terbabit tanpa sepatah pun bertanya kepada kami di belakangnya. Senyum atau tidak usah di tanya kalau muka sudah masam mencuka seolah2 kami ini bukan penting baginya. Entah mengapa sikap double standard sebegini berlaku di kalangan warga kita. Sanggup melebihkan pelancong asing tetapi mengabaikan warga negara sendiri. Perbuatan mereka sebenarnya tidak lebih dari berselindung di sebalik topeng sedangkan hakikat sebenarnya mereka ini tidaklah begitu peramah.
Kisah tersebut adalah sebahagian catatan saya mengenai sikap orang Malaysia yang kurang senyum. Banyak lagi cerita di luar sana dan saya yakin anda pernah melaluinya. Adalah diharapkan dengan adanya kempen ini kelak akan memberikan kesedaran kepada golongan ini untuk tidak bertindak seperti kata pepatah iaitu ‘Talam dua muka’ atau ‘Kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan’. Bertambah bagus lagi sekiranya kempen ini juga mengaitkan amalan senyum tersebut dengan sebuah hadis Nabi SAW. Secara tidak langsung ia memberikan gambaran kepada non muslim bahawa Islam menggalakkan umatnya bermanis muka kerana ‘Senyum itu adalah sedekah’.
'
'

03 December 2009

Apo Nak Dikato?

Menatap muka hadapan akhbar Kosmo! pagi ini membuatkan saya menyorot kembali artikel berkaitan perkara yang sama saya baca beberapa hari lepas di mana perihal seorang mak nyah warga Malaysia bernama Fatine @ Mohammed Fazdil Min Bahari yang sudah berkahwin dengan seorang lelaki warga Britain iaitu Ian Young dalam satu majlis sivil di London Mei lepas.
Sebenarnya pada hari tersebut lagi saya sudah mahu menulis berkaitan perkara ini tetapi tidak berkesempatan. Apabila sudah dua kali terpampang di dada akhbar rasanya saya juga tidak mahu terlepas dari memberikan pandangan saya terhadap situasi yang berlaku. Hari ini di akhbar yang sama, diceritakan pula tentang perihal kakaknya yang merayu agar adiknya pulang sahaja ke Malaysia tambahan pula ibunya kini sedang sakit. Membaca kata2 kakaknya yang begitu tabah menghadapi situasi sebegini (menyebabkan nama dan maruah keluarga tercemar) membuatkan saya bertambah yakin hanya akal dan fikiran yang rasional sahaja mampu menjadikan manusia itu menerima segala apa yang berlaku terhadap diri dan individu sekelilingnya.
Banyak persoalan yang ditanya wartawan kepadanya dan itulah persoalan yang bermain di fikiran saya apabila mengetahui perkara ini dahulu. Antara persoalan yang ditanya ialah berkaitan dengan status agama adiknya kini. Melalui perbualan dengan kakaknya, Fadil mengakui yang dia masih berpegang kepada ajaran Islam. Sememangnya sudah diketahui umum yang agama Islam melarang umatnya berkahwin sesama jenis dan ia dikategorikan sebagai haram di sisi agama bahkan undang2 Malaysia. Manusia memang pelik kerana sudah mengetahui tetapi mahu juga melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Kesalahan tetap satu kesalahan dan dikuatkan lagi dengan kata2 kakaknya iaitu;
'
“Berani buat berani tanggung. Agama sah2 menolak perkahwinan sebegitu dan kami juga tak menghalalkannya. Salah tetap salah. Tentang hal berpisah dia kena juga berpisah, minta petunjuk daripada Allah.”
'
Menariknya mereka sekeluarga tetap menerima dirinya seperti dahulu sebagai sebuah keluarga. Begitulah sebaiknya dilakukan oleh keluarga apabila terdapat anggota keluarga yang bermasalah janganlah dibuang tetapi dekatilah mereka kerana saat tersebut mereka amat memerlukan perhatian daripada keluarga.
Kisah ini merupakan sebahagian daripada kisah pelik dan unik di Malaysia kerana ia melibatkan soal pertukaran jantina dan kaitan perkahwinan dengan agama yang dianuti. Bertambah malang lagi kerana ia telah menjadi sensasi dan bualan orang ramai. Harus difikirkan juga di sini, bagaimana pula dengan ramai lagi anak gadis di luar sana yang bercinta dengan orang bukan Islam kemudiannya keluar daripada agama Islam akibat berkahwin dengan pasangannya. Mohon agar dijauhi kaum keluarga kita daripada ada yang mahu melakukan perkara tersebut. Sesungguhnya bala dan azab Allah SWT itu tidak mengenal ahli maksiat atau ahli ibadah.
Hal ini sekiranya difikirkan dengan lebih mendalam, ia merupakan jarum halus musuh2 Islam untuk memurtadkan umatnya melalui perkahwinan. Semoga terbuka pintu hati golongan ini untuk kembali semula ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah SWT Tuhan Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Mengetahui. Saya catatkan semula kata2 kakak lelaki ini sebagai renungan kepadanya dan panduan kita bersama;
'
“Kepada Fadil, kasih kami tak berbelah bagi. Jauh di sudut hati, kami kasihan dengan Fadil dan kami berjanji tak akan marah atau berkasar dengan Fadil. Istiqamah dan mohon pertolongan daripada Allah. Kalau betul perkahwinan tu ‘cinta sejati’ kena berkorban. Kami merindui Fadil dan kami tak mahu Fadil jadi pelarian.”
'
Ilmuwan Hati: Adakah sama menjadi pelarian di dunia dengan menjadi pelarian di akhirat. Renung2kan.
'
'

31 August 2009

Salam Kemerdekaan, Salam Perjuangan

Hari ini kita semua menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke-52. Sambutan yang berlangsung kira2 40 minit di Dataran Parlimen hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan penglibatan kontinjen kanak2 sekolah seperti tahun2 sebelumnya berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A (H1N1) dan bagi menghormati bulan Ramadhan. Satu usaha terpuji diambil oleh kementerian berkaitan dan kerajaan dalam menyambut hari kemerdekaan negara pada kali ini.
Kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita terlepas dari belenggu penjajahan yang bersifat fizikal semata2 tetapi kita juga perlu memerdekakan seluruh aspek dalam diri kita termasuk dari segi pemikiran. Tidak ada gunanya kemerdekaan yang dikecapi hari ini sekiranya kita masih lagi dijajah dari segi minda dan fikiran yang berpaksikan barat. Sedih melihat muda-mudi sekarang berpelesiran ke sana ke mari tanpa arah tujuan apatah lagi untuk mempertahankan negara dari ancaman luar sedangkan datuk nenek kita dahulu ramai yang terkorban lantaran sibuk untuk menentang penjajah bagi mendapatkan kemerdekaan negara.
Pada hemat saya, kita boleh belajar sesuatu daripada negara jiran dalam menonjolkan pejuang2 yang membela negara. Penonjolan pejuang ini amat perlu di kalangan muda mudi ini agar mereka benar2 insaf bahawa bukan mudah untuk mendapat kemerdekaan. Sekiranya anda perhatikan di Indonesia anda akan dapati bahawa mereka benar2 menghargai tokoh2 negara mereka baik pemimpin mahu pun ulama. Terdapat banyak buku di toko dan pustaka yang menceritakan perjuangan tokoh mereka dari segenap segi dan uniknya mereka membaca dan menghayatinya. Kebanggaan mereka terhadap tokoh ini juga dapat dilihat dengan terdapatnya makam2 yang masih dipulihara sehingga kini. Selain itu pada wang kertas mereka juga, untuk setiap nilai akan terdapat gambar2 tokoh mereka yang berbeza. Ia sedikit sebanyak membuatkan mereka kenal dan bangga akan perjuangan tokoh ini. Berbeza dengan kita di mana boleh dikatakan tiada tempat dan daerah yang betul2 menonjolkan pejuang tempatan sepenuhnya melainkan Melaka dengan laksamana Hang Tuah lima bersaudara. Bayangkan sekiranya semua daerah menonjolkan tokoh masing2 seperti Dato’ Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato Maharaja Lela, Mat Kilau, Panglima Mat Salleh, Rosli Dhoby, Tok Janggut, Tok Kenali dan ramai lagi yang menentang penjajah yang saya sendiri sudah lupa lantaran mereka kini sudah tidak lagi disebut di dalam buku teks dan media massa. Alhamdulillah terdapat sedikit perubahan pada wang kertas 50 yang baru kerana sudah ada gambar Bapa Kemerdekaan kita iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Adalah diharapkan banyak lagi tokoh yang menentang penjajahan dan pejuang kemerdekaan akan ditonjolkan selepas ini. Semoga dengan penonjolan tersebut anak muda masa kini akan menjadikan mereka ikon seterusnya turut diresapi semangat perjuangan mereka menentang penjajahan dan mempertahankan kemerdekaan.
Mendapat kemerdekaan adalah sesuatu yang sukar tetapi hendak menjaga kemerdekaan itu adalah jauh lebih sukar. Berapa banyak negara di dunia ini yang sudah lama merdeka tetapi masih lagi terjajah dan tidak mendapat kebebasan sepenuhnya. Sebagai warga pendidik saya menyeru bersamalah kita menyemai semangat kecintaan kepada negara ke dalam dada anak didik kita kerana cintakan negara adalah sebahagian daripada iman. Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara yang ke-52 buat semua.
'
'
'

29 August 2009

Mereka Kelak, Akan Mencerca Tuhan Kita

Masih terngiang kata-kata seorang pensyarah berkaitan perkara yang menghalang proses dakwah dalam tazkirah sempena ramadhan sewaktu masih menuntut di fakulti syariah dahulu. Antara bait-bait katanya yang masih menjadi pegangan saya dalam menyampaikan dakwah hingga kini ialah:
'
“Kadang-kadang orang tidak suka kepada Islam bukan kerana agama Islam itu sendiri tetapi kerana individu-individu yang menyampaikan Islam dengan cara yang salah dan tidak sepatutnya membuatkan orang yang tidak kenal Islam bertambah benci dan seterusnya menjauhi agama Islam yang benar lagi suci ini.”
'

Penulisan kali ini, saya kiaskan kata-kata ustaz tersebut dengan demonstrasi yang dianjurkan semalam oleh sekumpulan penduduk seksyen 23 Shah Alam dan beberapa NGO Melayu yang membantah pembinaan kuil hindu di tempat mereka. Sebenarnya artikel ini bukanlah hendak menyalahkan mereka berdemonstrasi berkaitan pembinaan kuil tersebut tetapi cara mereka berdemonstrasi pada saya agak keterlaluan apabila menggunakan kepala lembu sebagai lambang ketidakpuasan hati mereka.
Sememangnya kita orang Melayu mengetahui yang haiwan lembu disifatkan sebagai simbol kebodohan tetapi apakah orang India akan mentafsirkan perkara yang sama sedangkan umum mengetahui haiwan yang dinamakan lembu ini merupakan haiwan suci pada agama mereka. Ternyata sedikit sebanyak perbuatan tersebut telah mencalarkan imej Islam itu sendiri. Jijiknya perbuatan mereka yang sanggup memijak-mijak kepala lembu yang masih berdarah sambil mengangkat-angkat sepanduk bertulis “Take Beeer!!!” yang sepatutnya tertulis perkataan “Takbir” dalam Islam iaitu takrifannya kalimat Allahuakbar. Apakah mesej yang hendak mereka sampaikan hanya mereka sahaja yang mengetahui. Hendak marah pun jagalah adab dan batasnya kerana marah yang tidak berbatas boleh mengundang marah yang tidak berbatas juga kemudiannya.
Perbuatan dan tindakan kita janganlah sampai boleh melukakan hati penganut agama lain kerana Islam tidak mengajar kita sedemikian. Sedangkan kita sepatutnya berdakwah menyeru mereka kepada agama kita dengan mempamerkan keindahan dan kebaikan Islam. Atas sebab itu ada dalil tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Apa akan jadi sekiranya mereka juga selepas ini turut mempersendakan Tuhan kita ekoran dari tindakan kita terlebih dahulu menghina simbol ketuhanan mereka. Pastinya kita semua tidak inginkan perkara ini terjadi. Bersamalah kita mengajak dan menyeru manusia ke jalan kebenaran dengan hikmah dan kebijaksanaan bukan dengan nafsu dan kemarahan tambahan pula sekarang kita berada di bulan Ramadhan iaitu bulan penuh keberkatan dan keampunan. Saya tinggalkan penulisan ini dengan dua petikan kalam suci Al-Quran dari surah An-Nahl ayat 125 dan dari surah Al-An'am ayat 108 sebagai renungan dan panduan kita bersama:
'
“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbantahlah (berbahaslah) dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.”
'
“Janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
'
'

20 May 2009

Guru Ibarat Suria Menyinari Alam Tanpa Menyusahkan Dirinya

Walaupun tanggal 16 Mei sudah berlalu tetapi saya masih lagi berada dalam mood hari guru tambahan pula majlis sambutan hari guru peringkat sekolah masih belum diadakan. Hal ini adalah kerana guru-guru di sekolah sekarang sedang sibuk menyiapkan kertas soalan memandangkan peperiksaan pertengahan tahun akan diadakan pada minggu hadapan iaitu pada 25 hingga 28 Mei ini. Oleh yang demikian sambutan hari guru yang sepatutnya diadakan dalam minggu ini terpaksa dilewatkan dan akan diadakan pada 29 Mei 2009 iaitu hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan tahun.
Ahli-ahli psikologi berpendapat sekiranya sesuatu perkara difikirkan secara positif maka hasilnya juga akan menjadi positif. Begitulah juga sekiranya sesuatu perkara difikirkan secara negatif maka hasilnya juga akan turut menjadi negatif. Bertitik tolak dari pendapat tersebut, penulisan saya kali ini akan berkisar kepada perumpamaan atau bidalan orang2 dahulu terhadap guru. Pastinya kita sudah acapkali mendengar perumpamaan yang mengatakan “Guru ibarat lilin, membakar diri menyinari yang lain”. Pada hemat saya perumpamaan ini buat masa kini, sudah tidak lagi relevan. Guru sebenarnya bukanlah lilin sebaliknya adalah sang suria yang menyinari alam semesta. Sekiranya guru diibaratkan sebagai lilin maka sudah pasti ruang untuk guru berbakti adalah terhad berdasarkan kemampuannya yang tidak seberapa. Apalah sangat yang diharap pada lilin kerana cahayanya tidaklah secerah mana malah lebih tragis apabila habis sumbunya maka jasadnya pun entah ke mana. Sekiranya guru diibaratkan sebagai lilin maka guru tersebut sudah pasti tidak berkemampuan untuk menyebarkan ilmunya malangkaui batas kemampuannya yang terhad dan seperti lilin juga apabila sudah habis umurnya maka tiada siapa lagi akan mengenangkan jasanya. Sungguh malang nasib guru yang diibaratkan sebagai lilin.
Guru alaf baru perlu dijenamakan semula. Cubalah anda bayangkan sekiranya guru diibaratkan sebagai suria maka sudah pasti ruang lingkup khidmatnya untuk berbakti adalah luas. Cahaya sang suria menyinari alam di waktu pagi, dinihari dan petang. Apa yang menarik untuk difikirkan, walaupun pada waktu senja cahayanya tetap lebih cerah daripada cahaya lilin. Ini bermaksud, guru sebagai pemberi ilmu dapat menyampaikan ilmunya dan diguna pakai oleh sekalian ummat di atas muka bumi ini. Kehadiran sang suria dinantikan setiap pagi oleh makhluk bernyawa kerana memberikan harapan baru untuk mereka mencari rezeki. Begitulah juga kehadiran seorang guru di sekolah pasti dinantikan oleh anak didiknya yang dahagakan ilmu pengetahuan. Guru laksana suria tidak perlu untuk menyusahkan dirinya kerana dengan kemampuan yang sedia ada dia mampu untuk menjaga dirinya sendiri disamping terus memberikan cahaya ilmu kepada jiwa. Apabila suria telah tiada di muka bumi maka bererti kiamatlah dunia ini beserta dengan isinya. Itulah gambaran seorang guru atau murabbi yang sebenarnya apabila dia meninggalkan dunia.
Kesimpulan dari penulisan ini, ternyata bahawa guru ibarat lilin adalah guru yang biasa-biasa sahaja tetapi guru ibarat suria adalah guru yang luar biasa baik dari segi perilaku mahu pun ilmunya. Pilihan di tangan anda wahai insan yang bernama guru. Bersamalah kita menjenamakan semula profesion yang mulia ini agar tidak dipandang sebelah mata.
'
'
'

15 May 2009

Belum Pasti Di Atas Atau Di Bawah, Pastinya Akan Ke Bawah Tanah

Terdapat ramai rakan bloggers yang meminta saya untuk memberikan respon berkaitan situasi politik yang melanda negara terutamanya kemelut yang berlaku di negeri Perak. Sebenarnya bukan tujuan blog ini diadakan untuk membahaskan hal-hal politik kerana ia lebih kepada pengalaman dan isu-isu pendidikan berdasarkan bidang dan pengetahuan saya. Kenyataan tersebut tidaklah bermakna saya cuba untuk mengasingkan antara agama dan politik kerana sememangnya saya mengakui agama dan politik tidak dapat dipisahkan. Sebagai seorang pendidik blog ini akan terus memberikan fokus kepada bidang pendidikan disamping tidak mengabaikan tanggungjawab untuk mengajak dan menyeru pembaca agar berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu situasi dan kondisi berdasarkan ilmu dan fakta. Penulisan kali ini bukan bertujuan untuk menentukan siapa yang benar dan yang salah tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang sepatutnya berlaku dan dilakukan sebagai seorang pemimpin. Berpegang kepada tangline “Melihat Dari Mata Burung Bukan Dari Mata Tempurung” maka saya mengajak pembaca sekalian untuk melihat situasi ini dari sudut yang berbeza.
Sebagai pemimpin yang berjiwa besar sudah tentulah mereka perlu menyakini bahawa harta, pangkat dan kekayaan tidak memberikan erti kepada kehidupan yang abadi kerana apa yang lebih penting adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t. disamping amal kebajikan yang dilakukan. Tidak penting samada di dunia ini anda berada di atas atau di bawah tetapi yang lebih penting adalah sewaktu anda berada di bawah tanah iaitu di alam barzakh untuk menuju satu kehidupan yang kekal abadi. Pemimpin yang sedar akan bertemu dengan Tuhannya pasti akan melakukan sesuatu yang baik dengan mengutamakan orang bawahan disamping cuba mendapatkan keredhaan dari Tuhannya. Hal ini kerana setiap perbuatannya akan dipertanggungjawabkan di hadapan mahkamah yang lebih adil iaitu mahkamah yang berhakimkan Robbul Jalil. Mengakhiri penulisan ini saya memilih lirik lagu Pemimpin Yang Adil dendangan Hijjaz yang sarat dengan maksud tersirat untuk difikirkan bersama.

Pemimpin yang adil sangat dikehendaki
Memakmurkan umat dunia dan akhirat
Tiada keadilan negara huru-hara
Pemimpin membela nasib rakyatnya

Pemimpin yang adil sifatnya amanah
Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya
Keadilannya tanpa pilih kasih pada siapa
Kepentingan rakyat lebih utama

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya
Kasih sayang terserlah di wajahnya
Sombong dan takbur tidak ada pada dirinya
Rakyat hormat bukan takut padanya

Pemimpin yang adil mengutamakan amanah
Wang rakyat dan negara tidak disalah guna
Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya
Rakyat diseru mentaati Allah

Terdapat pemimpin di dunia kini
Seringkali mencetus huru-hara
Demi melindungi kepentingan dirinya
Rela membiar rakyatnya derita

Pemimpin yang adil mengutamakan rakyatnya
Melepaskan mereka dari sengsara
Akhlak yang mulia pakaian dirinya
Rakyat taat dan sayang padanya
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang begini
'
'
'

28 April 2009

Dalam Dok Kata.. Malapetaka Melanda Jua

Semalam saya ada memberi respon berkaitan "Budaya Nabil & Aril" iaitu trend baru artis2 kita yang sudah tidak segan silu berpelukan dengan perempuan yang bukan mahram kemudiannya memberikan alasan yang membelakangkan agama atau dengan kata lain alasan yang hanya layak diungkapkan oleh budak pra-sekolah sahaja. Hari ini laporan akhbar kosmo muka hadapan membuktikan gejala ini sudah mula menular ke sekolah. Berikut petikan akhbar yang menunjukkan gejala ini sudah semakin parah dan perlu dibendung segera;-
'
Pesta ponteng Teluk Chempedak - Pelajar lelaki, perempuan berpeluk-pelukan dalam air
'
KUANTAN - Di Kuala Lumpur, kompleks beli-belah, kafe siber dan taman rekreasi kerap dijadikan tempat tumpuan ponteng sekolah. Rupa-rupanya pelajar di sini lagi hebat. Mereka berkumpul di sekitar pantai Teluk Chempedak bagaikan ada satu pesta di situ. Lebih berani pelajar lelaki dan perempuan tanpa segan silu dipandang pengunjung lain sama-sama mandi-manda dan berpeluk-pelukan dalam air.
Tidak dinafikan pusat peranginan itu memang popular sebagai destinasi 'pesta ponteng' terutama di lokasi yang terlindung di sebalik Bukit Pelindung. Tinjauan Kosmo! semalam, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai mendapati tidak kurang 15 pelajar lelaki dan perempuan lengkap berpakaian sekolah sedang asyik berpesta ponteng dan mandi-manda.
Kebanyakan pelajar lelaki membuka baju masing-masing manakala yang perempuan berseluar panjang ketat dan berbaju kemeja T. Mereka kelihatan begitu riang sekali sambil menjerit-jerit kegembiraan lebih-lebih lagi apabila si lelaki cuba memeluk.
Di pantai pula, beberapa pelajar yang tidak mandi hanya melepak sambil menghisap rokok atau tidur di pondok rehat yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di situ. Kumpulan pelajar tersebut dilihat datang ke pusat perkelahan itu secara beransur-ansur sejak pukul 7.30 pagi dengan menunggang motosikal kapcai yang diletakkan di satu sudut tempat letak kereta MPK.
'
Ilmuwan Hati: Kepada ibu bapa yang mempunyai anak2 adalah diharapkan agar anda dapat memantau ke mana anak anda berada. Sekurang2nya mengetahui siapakah kenalan anak anda dan apakah aktiviti yang mereka lakukan apabila bersama. Sekiranya anda sendiri gagal untuk menjaga anak anda yang sekadar 2, 3 orang itu maka jangan diharap untuk guru2 menjaganya kerana mereka sendiri terpaksa menjaga hampir 40 orang anak dalam satu2 masa. Itupun belum termasuk anak mereka sendiri yang jumlahnya lebih kurang sama dengan anak anda. Apakah anda hanya akan memberikan perhatian apabila anak anda pulang memberikan seorang cucu yang tiada berbapa kepada anda.
Ingatlah yang tanggungjawab menjaga anak sendiri terletak di tangan ibu bapa bukannya orang lain. Sebab itu anak disebut sebagai amanah Allah kepada kita.
Sama-samalah mewujudkan kembali perasaan ambil peduli di kalangan kita sebagaimana orang2 tua dahulu melakukannya. Anak2 dahulu tidak berani melakukan sesuatu yang mencarik adat kerana perbuatannya akan ditegur oleh orang sekeliling dan disampaikan kepada ibu bapanya. Nahaslah anak tersebut apabila ibu bapa mereka menerima aduan. Tetapi situasi kini amat berbeza kerana orang yang menyampaikan pula akan nahas dimarahi oleh ibu bapa anak tersebut. Janganlah disebabkan anak kita disambar oleh api Neraka. Na’uzubillahi min zaalik!! Berpesan2 dengan kebenaran, berpesan2 dengan kesabaran.
'
'
'

27 April 2009

Berpelukan: Lu Pikirlah Sendiri!!

Aril: Pelukan Kepada Pengajar Wanita Sebagai Tanda Hormat
'
KONSERT Akademi Fantasia ke-7 minggu lalu bukan sahaja mengundang tanda tanya oleh sesetengah penonton, tenaga pengajar, dan pengkritik malah turut menimbulkan kontroversi kecil apabila pelajar yang tersingkir, Aril telah memeluk beberapa orang tenaga pengajar wanita tanpa segan silu. Apabila meminta Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 24, menjelaskan keadaan tersebut, dalam nada yang bersahaja dia menjawab pelukan itu berlaku disebabkan hubungan kekeluargaan yang dibina selama ini.
'

“Kami punya perasaan selama 61 hari dalam Akademi sudah seperti keluarga yang erat terutama Cikgu Fatimah dan Cikgu Siti Hajar yang saya anggap sudah seperti ibu saya sendiri manakala Cikgu Ida Nerina seperti kakak saya.”
“Pelukan itu sebagai tanda hormat kerana susah saya hendak bagi tanda hormat memandangkan orang luar tak faham situasi kami di dalam,” jelas Aril.


Ilmuwan Hati: Artikel diatas merupakan sebahagian petikan akhbar mstar online yang saya ambil untuk menunjukkan satu lagi pengakuan ikhlas, tulus mulus yang mencerminkan tahap pengetahuan agama generasi muda masakini. Nak dikatakan bodoh tidak molek bunyinya tetapi bolehlah dikatakan sebagai tidak pandai. Melalui pemerhatian, inilah budaya yang sedang dipopularkan oleh artis kita. Bermula dengan Nabil Raja Lawak dan kini diikuti oleh Aril AF7. Selepas ini entah siapa pula yang akan mengikuti budaya ini. Kepada artis2 ini saya ingin berpesan, janganlah bertindak membelakangkan agama.

'
Kalau difikirkan logiknya jawapan kamu iaitu atas perasaan seperti keluarga dan tanda hormat maka bolehlah lepas ini murid2 berpelukan dengan kami guru2nya seperti mana kamu lakukan kepada tenaga pengajar kamu. Kamu tentu faham, al-maklumlah baru 61 hari sudah merasai seperti ibu dan kakak sedangkan kami sememangnya perasaan kekeluargaan sudah sebati kerana telah 6 tahun kami bersama mereka. Jangan marah dan melatah pula apabila yang memeluknya adalah adik2 kamu yang masih bersekolah. Ibu bapa kamu tentu suka dan bersorak keriangan kerana anaknya memeluk dan dipeluk .

'
Tidak tahu lagi apa yang hendak saya tulis kerana saya betul2 muak dengan gelagat para artis yang sudah mula pandai bercakap tanpa menghiraukan agamanya. Kepada pemimpin yang menjaga media diharapkan program2 melalaikan seperti ini dikaji semula atau ditiadakan terus kerana terbukti ia tidak menyumbang kepada pembudayaan ilmu sebaliknya lebih kepada pembudayaan gejala negatif. Sebab itulah masyarakat kita masih bermentalitikan kelas ketiga walaupun prasarananya kelas pertama. Disini juga saya ingin menyatakan kebimbangan saya sekiranya “Budaya Nabil & Aril” ini menular ke sekolah maka ia merupakan satu malapetaka yang amat menyedihkan. Buat mana2 individu yang mempunyai keinginan melakukan sedemikian dan sudah melakukannya saya sertakan mutiara minda dari ayat Al-Quran untuk difikirkan:

'
“Barang siapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah,

akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barang siapa yang

mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu.”
(Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)

'

'

'

13 February 2009

Konsultan Oh Konsultan..

'
Baru-baru ini saya berpeluang dan berpengalaman berurusan dengan konsultan yang berminat untuk menjalankan kursus kepimpinan untuk pengawas sekolah saya. Kursus pada kali ini dicadangkan diadakan di luar sekolah memandangkan setelah sekian tahun ianyanya diadakan secara dalaman sahaja. Untuk mendapatkan harga dan pengisian terbaik maka panggilan dibuat kepada mana-mana konsultan yang berminat untuk menghantar kertas kerja dan sebut harga program. Hasilnya ada dua konsultan yang menghantar dan terdapatlah berbezaan antara keduanya dari segi harga walaupun pengisian, tempat dan modul seakan-akan sama sahaja. Ikutkan hati mahu saja saya menetapkan sendiri mana konsultan yang layak memandangkan saya bukan tidak berpengalaman dalam gerak kerja sebegini. Ditambah lagi sebahagian peruntukan adalah datang daripada duit pcg kaunseling iaitu dari unit saya sendiri. Maka saya lebih mempunyai autoriti menentukannya.
Tetapi memandangkan sebuah konsultan ini adalah kenalan rapat kepada seorang guru maka hasil perbincangan secara tidak langsung dipilih konsultan yang pada hemat saya akan mudahlah segala urusan selepas ini. Hari berlangsungnya program hampir tiba sehinggalah saya membuat panggilan pada hari ini dan mendengar nada seolah-olah pihak konsultan yang dipilih tidak berminat untuk menjalankan program yang telah dirancang dengan alasan tempat tersebut telah ditempah oleh konsultan yang lain. Maksudnya terdapat dua program dan dua konsultan yang menjalankan program pada satu tempat yang sama. Konsultan terlibat pula adalah konsultan yang sama membida untuk kursus ini dahulu. Tidak setakat alasan tersebut, diberikan pula pilihan-pilihan lain kepada saya iaitu menukar lokasi program ke tempat yang lain, menyerahkan kepada konsultan pesaing menjalankannya atau kami guru-guru sendiri menjalankan aktiviti sekiranya mempunyai tenaga. Dari jawapan diberikan saya simpulkan bahawa konsultan tersebut tidak berminat menjalankan program. Kenapa saya berkata demikian adalah kerana latarbelakang saya sebagai seorang guru bimbingan. Bukan saya ini naif sangat tentang program dan modul. Semua ini adalah mainan dan asam garam kami di sekolah. Guru bimbingan atau kaunselor adalah guru yang belajar ilmu pendidikan, ilmu kaunseling dan ilmu psikologi. Masakan tidak mengetahui apa yang tersirat dan tersurat di sebalik jawapan diberikan. Bahkan telahan saya anda sedang menggunakan teknik helah bela diri.
Terkini dan lebih mendukacitakan apabila program tersebut dibatalkan dengan pihak kem tanpa merujuk kepada saya. Alasan yang diberikan kepada pihak kem pula kerana saya adalah seorang guru yang cerewet. Wahai konsultan sekiranya kita boleh berkonsultansi, ingin saya bertanya sekiranya harga yang dirundingkan sama, tempat pun sama, modul tidak berbeza, tetapi konsultan yang lagi satu lebih profesional dalam menjalankan perniagaannya adakah saya tidak berhak untuk meminta sebagaimana pesaing anda dapat memberikan. Minta untuk diadakan insuran kelompok kepada peserta pun sudah keberatan apatah lagi hamper untuk kumpulan. Itu belum termasuk perbincangan pengisian agar bersesuaian dengan objektif program diadakan. Kalau tidak berani mengikut kemahuan pelanggan janganlah membida pada harga yang sama. Bila hendak dibandingkan melatah pula. Perlu diingatkan bahawa murid-murid saya bukanlah bahan kajian yang boleh dilakukan secara kaedah cuba jaya. Sebagai guru bimbingan saya tahu mana terbaik dan tidak baik kepada anak murid saya. Saya lebih mengenali mereka berbanding anda. Jangan pula disebabkan bisnes, kalian hentam kromo menjalankan program sehingga membuka kunci permasalahan dalam diri peserta kemudian kami sebagai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah terpaksa pula mengadakan sesi untuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat dari tindakan kalian. Berniagalah menggunakan kekuatan dan kelebihan sendiri bukan berniaga menggunakan proksi serta takut disaingi. Zaman sekarang orang sudah celik pemikiran, yang bagus akan dikatakan bagus begitulah juga sebaliknya.
'
'
'

28 January 2009

Catur, Mencatur Dan Percaturan

Persoalan mencatur satu percaturan kebiasaannya adalah persoalan yang berlegar di sekitar pemimpin. Ini kerana secara kebiasaannya hanya pemimpin berhak mencatur kerana mereka mempunyai kuasa dan pengaruh walaupun sebaliknya penentuan sebenar dibuat oleh ahli atau majoriti. Baru-baru saya berhadapan dengan realiti yang telah saya sebutkan. Pada asasnya pemimpin yang memegang jawatan terdahulu dilihat berlapang dada menerima kepimpinan baru tetapi timbul pula masalah di kalangan ahli dan kepimpinan baru yang merasakan mereka tidak serasi untuk bersama memikul jawatan yang diamanahkan. Sebenarnya sesiapa sahaja sekiranya diberi peluang memegang amanah memang hanya akan berkolaborasi dengan orang yang disukainya sahaja. Tetapi mana mungkin berlaku demikian di dalam sebuah organisasi besar yang diwakili oleh pelbagai watak dan karakter manusia. Pastinya setiap individu ini mempunyai cara berfikir dan tindakan yang berbeza-beza. Alangkan di dalam sesebuah rumahtangga yang majoritinya kecil pun sudah mempunyai perbezaan sehingga kadangkala berlaku perceraian.
Antara kehendak dan kemahuan, harus diingat ketentuan Illahi sebenarnya melebihi segalanya. Sebagai makhluk yang diciptakan kita kena menerima hakikat bahawa kita boleh merancang dan mencatur tetapi hakikat dan ketentuan adalah dari Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Yakinlah bahawa segala yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Belajarlah berlapang dada untuk menerima segala ketentuan yang ditentukanNYA. Lupakan sebentar titik perbezaan, bergandinglah di atas titik persamaan dan atas nama perjuangan. Sebahagian kata-kata perjuangan seorang mujahid agung untuk direnungkan bersama;
'
“Sekiranya kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, tentu sekali kita akan merasa sempit dada kerana terlalu banyak perkara yang belum dapat kita selesaikan. Tetapi sekiranya kita mengetahui bahawa ini adalah sebahagian daripada perjuangan para nabi, sahabat dan generasi terdahulu tentu kita akan berlapang dada kerana kita adalah sebahagian daripada mata-mata rantai perjuangan mereka dan pastinya mata rantai ini akan terus bersambung sehingga ke hari kiamat.”
'
'
'

23 January 2009

Guru Sebagai Pemeriksa Kutu Kepala

Agak melucukan dan menggelikan hati tetapi itulah hakikatnya apabila anda berada di dunia pendidikan atau alam perguruan. Tidak tertanggung dengan kerja yang bertimbun-timbun saban hari mahu ditambah pula dengan kerja yang titik bengik.
Asas penulisan kali ini adalah berdasarkan maklumat bahawa terdapat permintaan dari seorang ibu agar guru membuat pemeriksaaan kerana terdapat masalah kutu di kalangan murid. Sebenarnya soal guru memikul tugas orang lain adalah perkara lumrah bagi saya. Sewaktu di Institut Pendidikan Guru (IPG) dahulu para pensyarah telah pun memberikan pendedahan berkaitan hal ini termasuklah sewaktu mengikuti program Bina Insan Guru (BIG). Masih tergambar lagi saat saya bersama rakan-rakan berhempas pulas memikir dan menulis di atas kertas sebak peranan-peranan tidak rasmi guru di sekolah. Antara yang kami tulis ialah guru sebagai pengasuh, tukang cuci, tukang kebun, tukang gunting rambut, warden trafik, tukang kayu, pembuat garisan di padang, pengawal keselamatan dan bermacam-macam lagi. Boleh dikatakan penuh kertas sebak tersebut dengan peranan tidak rasmi guru telah kami tulis. Kejadian hari ini mengingatkan saya rupa-rupanya dalam banyak-banyak tugas yang telah ditulis kami terlupa bahawa guru juga adalah pemeriksa kutu kepala.
Buat ibu yang budiman, cukuplah guru dibebankan dengan tugas-tugas yang bukan tugas hakiki seorang guru. Sehinggakan ada guru yang terlalu menjaga kebajikan anak orang lain menyebabkan kebajikan anaknya terabai. Anak orang kemas bersih anak guru tidak terurus. Anak orang mendapat keputusan cemerlang, anak guru sekadar mendapat markah cukup makan. Dalam hal ini, tidak timbul isu kutu kepala sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing. Melatih anak berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri. Sentiasa mengingatkan anak agar menitik beratkan soal kebersihan dan penjagaan rambut yang sempurna. Membelikan alatan kebersihan seperti sabun dan syampoo untuk anak-anak serta mendapatkan rawatan sekiranya terdapat jangkitan kuman, kutu dan sebagainya. Apabila semua ini dilaksanakan saya rasa tidak timbul lagi isu kutu di kalangan pelajar. Maka secara tidak langsung tiada lagi guru yang akan memeriksa kutu kepala tetapi kembali kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan memeriksa lembaran kerja.
'
“Menyelesaikan masalah pelajar umpama memadamkan api yang marak membara, puncanya perlu dicari dan difahami, barulah masalah dapat diatasi."
'
'

18 January 2009

Tanggungjawab


Merupakan satu perkataan yang sinonim dengan kita dan mempunyai banyak maksud yang tersirat dan tersurat di dalamnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga tanggungjawab bererti kewajipan yang dipikul oleh seseorang. Ini bermaksud seseorang itu berkewajipan untuk memikul tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Pada pendapat saya pula, sebenarnya tanggungjawab adalah lebih daripada huraian tersebut. Ia bukan sahaja kewajipan untuk memikul amanah atau beban tugas tetapi si pemikul amanah ini perlu untuk menjawab dan dipertanggungjawabkan atas amanah yang telah diberikan. Sebab itu dalam ajaran Islam dititik beratkan soal kehidupan semula setelah mati. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyoal semula adakah amanah dan tanggungjawab yang diberikan telah dilaksanakan dengan sempurna atau sebaliknya. Amanah yang dimaksudkan disini adalah amanah yang merangkumi semua tanggungjawab kita. Baik amanah dengan Pencipta, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, agama mahupun alam semesta. Apa yang penting adalah adakah kita mempunyai jawapan kepada setiap persoalan yang diutarakan. Seperti jawapan seekor burung kecil yang pada dasarnya tidak mampu tetapi berusaha juga untuk memadamkan api yang membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim 'alaihissalam. ketika dibakar oleh Namrud. Sekiranya ada Alhamdulillah mungkin kita akan terlepas dari siksaan tetapi sekiranya yang ada hanya alasan bukan jawapan maka anda sendiri dapat menjangkakan apakah balasan yang selayaknya diterima. Saya tinggalkan penulisan ini dengan mutiara minda dari saya untuk difikirkan bersama;

"Kebiasaannya kita hanya asyik membahagikan masa kita supaya kita tidak terlalu sibuk tetapi kita terlupa untuk membahagikan dan mengagihkan tugas kita supaya tidak mengambil masa dan menyibukkan orang lain"
'
'
'