01 February 2010

Pengalaman Ceramah Kemahiran Keibubapaan (MUAFAKAT ‘10)


Satu program yang dinamakan sebagai Permuafakatan Ibu Bapa Murid Tahun Enam dan Guru 2010 atau singkatannya (MUAFAKAT ‘10) telah diadakan pada tanggal 28 Januari 2010 di Dewan Kompleks Sekolah Presint 9 Putrajaya. Program yang objektifnya untuk menjalinkan kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa ini adalah program tahunan khas untuk murid2 tahun enam yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Tahun ini saya diberikan amanah oleh Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR untuk menjadi pengurus program bagi melaksanakannya. Selain tugas tersebut terdapat satu lagi tugas mencabar yang menanti saya.
Untuk pengetahuan, pada tahun lepas program yang sama juga telah dianjurkan dan penceramah jemputan untuk mengisi slot kemahiran keibubapaan adalah Dr Ridhuan Tee Abdullah iaitu seorang penceramah bebas yang tidak asing lagi di Malaysia. Berdasarkan mesyuarat dan persetujuan semua guru yang menjadi jawatankuasa, tahun ini sedikit pembaharuan akan dilakukan iaitu dengan menggunakan tenaga dalaman sahaja sebagai penceramah. Justeru itu, saya secara tidak langsung telah diberi kepercayaan untuk menyampaikan ceramah kemahiran keibubapaan kepada ibu bapa yang hadir pada program ini. Satu tugas yang berat tetapi atas kehendak dan kepercayaan rakan guru terutamanya pentadbir saya akur dan menerima tanggungjawab ini. Bermula dari mesyuarat tersebut saya mula membuat persiapan kerana telah menjadi prinsip saya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang saya lakukan.
Hari yang dinantikan telah pun tiba dan segalanya berjalan dengan lancar sebagaimana dirancang. Majlis dimulakan dengan aluan pengerusi kemudiannya ucapan wakil Guru Besar dari GPK Akademik Pn. Nik Sabariah dan disusuli ucapan YDP PIBG En. Jamaludin Bin Nawi. Seterusnya majlis penyerahan mentor mentee di hadapan ibu bapa dan sesi ramah mesra. Tepat pukul 3:30 petang slot saya bermula dan di permulaan ceramah saya menyentuh beberapa kesilapan lazim yang dilakukan ibu bapa berdasarkan pembacaan dan pemerhatian. Seterusnya saya memberi fokus kepada kemahiran komunikasi PAC. Satu kemahiran yang saya rasakan cukup penting untuk difahami dan digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar dapat mewujudkan satu suasana kekeluargaan yang harmoni. Secara tidak langsung ia dapat membantu melonjakkan pencapaian akademik anak2. Masa selebihnya saya tayangkan beberapa video yang boleh memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang peranan dan kasih sayang terhadap anak. Alhamdulillah walaupun berceramah pada waktu petang dan sebagai seorang yang baru dalam arena pendidikan ini, ibu bapa tetap tidak berganjak mendengarnya. Setelah selesai ceramah, majlis diteruskan dengan taklimat UPSR oleh penyelaras kecemerlangan iaitu Pn. Rozilah Md. Khir dan diakhiri dengan testimonial dari dua ibu bapa murid cemerlang UPSR 2009.
Terima kasih kepada tuan puan kerana memberikan perhatian kepada isi penyampaian saya. Selamat beramal dengan kemahiran tersebut dan harapan saya semoga anak tuan puan berjaya dalam akademik dan menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tuanya. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada sifu saya iaitu En. Ab. Aziz Mohd Yatim kerana memberikan modul ini kepada saya walaupun saya bukanlah anak didik rasmi beliau. Tunjuk ajar beliau selama ini membuatkan saya berani untuk tampil ke hadapan mengekplorasi diri untuk menjadi seorang kaunselor yang unggul. Semoga kelak, ia akan menjadi ilmu yang bermanfaat buat Tuan dan buat saya juga sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang masyhur apabila kita sudah meninggalkan dunia.
Pengalaman ini tidak akan saya lupakan kerana ia merupakan pengalaman baru saya berdepan dengan ibu bapa. Banyak yang saya dapat pelajari sepanjang menyampaikan ceramah kepada ibu bapa ini. Selaku pengurus majlis saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang terlibat dan rakan guru yang membantu menjayakan program (MUAFAKAT ’10) kali ini. Saya sedar atas usaha gigih kalian jugalah program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih semua.. Uilove!
'
MutiaraMinda2u:
“Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya”.
(HR. Muslim)
'
'
'