26 December 2010

Mak dan Ayah datang Menziarahi


Bulan ini merupakan bulan yang penuh bermakna bagi saya kerana impian untuk membawa serta menjemput Mak dan Ayah datang ke rumah baru kami sekeluarga tercapai juga akhirnya. Perancangan awal dahulu ialah Mak dan Ayah akan datang bersama dengan abang2 dan kakak saya lebih kurang dalam tiga buah kereta dari Penang ke Putrajaya. Disebabkan perancangan tersebut juga membuatkan kami sekeluarga tidak pulang ke kampung pada Hari raya Aidiladha yang lalu kerana mahu bersama mereka di sini. Tetapi malangnya perancangan tersebut tidak menjadi kenyataan akibat kekangan waktu dan masalah2 lain yang berbangkit.

Mengambil kira niat saya yang berkobar-kobar untuk membawa Mak dan Ayah datang ke Putrajaya aka saya nekad untuk pulang ke kampung pertengahan bulan yang lalu untuk memujuk Mak dan Ayah untuk pulang bersama. Alhamdulillah Mak dan Ayah bersetuju untuk bersama kami tetapi timbul pula masalah apabila adik lelaki saya, kakak serta anak kesayangannya hendak ikut serta. Seramai enam orang dewasa dan 3 orang kanak2 tidak mungkin muat untuk duduk di dalam kereta saya yang hanya muat untuk 5 orang dewasa sahaja. Untuk mengatasi masalah tersebut terpaksalah Ayah dan Adik menaiki bas ke Putrajaya dan Mak serta Kakak bersama kami menaiki kereta pada hari yang sama.

Selain hadir untuk melihat rumah baru saya Mak, Ayah, Kakak serta Adik sangat teruja untuk pergi ke tempat2 menarik sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Banyak yang dirancang tetapi kesempatan yang ada saya sempat membawa mereka ke Aquaria KLCC, Petrosains, Tugu Negara, Pasar Malam Putrajaya, Alamanda, dan yang terakhir ialah rumah saudara yang terletak di Taman Medan. Kelihatan Ayah dan Mak sangat teruja apabila dibawa ke Aquaria menyaksikan pelbagai jenis ikan, Kakak pula seakan tidak puas berada di Petrosains KLCC tempat pilihannya sendiri pada hari kedua dan Adik pula sangat gembira ke pasar malam terbesar pernah disaksikannya. 'Atiiqah pula gembira kerana dapat bersama dengan sepupunya ke setiap tempat yang dilawati. Begitu juga kami sekeluarga apabila mengunjungi rumah saudara yang belum pernah dilawati sebelum ini. Dengan perantaraan Mak dan Ayah kali ini maka selepas ini bolehlah kami sekeluarga pergi ke sana kerana sudah mengetahuinya.

Kunjungan Mak dan Ayah kali ini juga cukup bermakna bagi saya apabila saya sempat untuk mempelajari beberapa jenis masakan utara daripada Mak. Antara yang sempat diajarkan kepada saya ialah gulai nangka, masak asam pedas, sayur lemak dan ikan tenggiri masak cuka. Alhamdulillah walaupun ada beberapa resepi tidak sempat diajar tetapi memadai kerana saya dapat secara langsung daripada Mak termasuk petua2 memasak. Kakak pula sepanjang barada di sini bertindak sebagai tukang masak memandangkan isteri saya bekerja. Berbagai jenis lauk-pauk dihidangkannya kepada kami dan boleh dikatakan semuanya sedap2 belaka dan habis dimakan.

Menerima kehadiran Mak dan Ayah di rumah sendiri merupakan saat yang paling indah dalam hidup. Kalau boleh seakan mahu Mak dan Ayah tinggal bersama kerana sebagai anak seakan tidak puas tinggal bersama dan ingin selalu menatap wajah mereka di depan mata. Mohon Allah panjangkan usia mereka untuk saya berbakti di kesempatan yang ada agar mereka merasa sekelumit jasa saya atas pengorbanan mereka yang selama ini telah bersusah payah membesar, menyara, memberikan kasih sayang dan memberikan pendidikan kepada saya sehingga saya menjadi sebegini seadanya. Sememangnya Mak dan Ayah adalah kekuatan dan sumber inspirasi saya dalam melayari hidup ini. Semoga saya dapat berbakti dan menjadi anak soleh yang mendoakan buat mereka berdua. Ameen.

MutiaraMinda2u:
"Alangkah ruginya bagi Ibu Bapa yang memiliki bilangan anak yang ramai tetapi tiada seorang pun yang menadah tangan memohon ampun dan menjadi anak soleh yang mendoakan buat mereka kerana doa dari anak yang soleh kepada kedua Ibu Bapanya menjadi salah satu daripada tiga amalan yang menyelamatkannya sesudah ketiadaannya."

20 December 2010

Memanfaatkan Cuti Mendalami Ilmu Kaunseling


Teori kaunseling kepada seorang kaunselor ibarat peta petunjuk kepada pemandu yang ingin menuju ke satu destinasi. Tanpanya, destinasi yang akan ditujui itu menjadi kabur dan berkemungkinan tidak sampai ke tempat tujuan malah mungkin menyukarkan lagi keadaan. Begitulah lebih kurang kata2 seorang pensyarah saya dan ia masih terngiang2 di benak fikiran berkaitan antara kaunselor dan teori kaunseling. Diakui kebanyakan kaunselor atau guru bimbingan dan kaunseling (GBK) di sekolah mempunyai teori kaunseling yang dipegang dan mempunyai asas kenapa teori tersebut menjadi pengangannya. Oleh yang demikian, saya juga mempunyai teori yang dipegang dan alasan tertentu mengapa menggunapakai teori tersebut. Adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya terdapat kaunselor atau GBK yang langsung tidak mempunyai teori dan menggunapakai teori semasa sesi kaunseling dijalankan olehnya. Ternyata itu belum boleh dinamakan sebagai sesi kaunseling tetapi mungkin sesi nasihat atau perkongsian namanya.
Memandangkan cuti persekolahan ini agak panjang maka saya mengambil kesempatan untuk mengulangkaji semula teori2 kaunseling yang telah dipelajari dan dipraktekkan semasa membuat sesi dahulu. Mendalaminya semula membuatkan saya lebih memahami berbanding sewaktu mempelajarinya di maktab atau di universiti dahulu. Mungkin disebabkan kerana ketika ini apa yang dibaca, saya dapat kaitkan dengan situasi semasa mengadakan sesi bersama klien dan masalah mereka. Selain teori, kemahiran kaunseling dan teknik juga dapat dipelbagaikan untuk membantu klien mendapat celik akal.
Pelaburan saya sewaktu ke pesta buku antarabangsa dahulu tidak sia2 kerana kini saya memiliki beberapa buah koleksi pelbagai jenis buku kaunseling dan ia sememangnya menjadi gedung ilmu buat saya. Lebih manis koleksi yang dimiliki adalah daripada penulis tersohor dalam bidang tersebut serta dari penerbit yang sukar ditemui di kedai2 buku biasa. Dengan sesi mentelaah ilmu kaunseling sewaktu cuti persekolahan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk kembali ke sekolah dan mengaplikasikannya dalam sesi2 kaunseling akan datang. Semoga pembelajaran dan pencarian ilmu ini tidak terhenti setakat ini sahaja dan diharapkan impian saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Semoga dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan untuk menggali sebanyak mungkin ilmu dalam bidang ini bagi membantu insan yang memerlukan pertolongan.
'
MutiaraMinda2u:
Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu berkurangan apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan.
-Saidina Ali bin Abi Talib-
'
'

15 December 2010

Mendekatnya Kematian..


Setiap yang bernyawa di dunia ini pastinya akan mati, begitu juga dengan manusia sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-'Imran ayat 185 "Setiap yang bernyawa pasti akan mati." Entri kali ini mungkin tidak disukai oleh kebanyakan orang yang hidupnya hanya berkisar kepada kebendaan dan dunia semata tetapi menjadi pengajaran dan pedoman kepada orang yang selalu bermuhasabah diri dan takutkan datangnya waktu penghijrahan dari alam fana ke alam baqa. Jujur saya katakan sewaktu kecil persoalan kematian hanya berlegar sambil lalu sahaja di dalam kotak pemikiran saya kerana mungkin pada waktu tersebut merasakan diri masih muda tetapi kini apabila dewasa terasa seakan mendekatnya kematian apabila orang yang dikenali sedikit demi sedikit telah tiada kerana dijemput Rabbul Jalil untuk menghadapNYA.
Dua minggu lagi genaplah tujuh bulan pemergian abah tercinta iaitu bapa mertua saya yang dikasihi. Pemergian yang mengejutkan kami sekeluarga kerana seakan mendadak walaupun abah diketahui sakit sebelumnya. Abah menderita hampir sebulan akibat jangkitan kuman pada paru2nya dan ternyata Allah lebih menyayanginya berbanding dengan kita semua. Kisah kedua yang saya ingin kongsikan disini pula ialah kegembiraan sahabat saya menyambut kelahiran kembar tiga anaknya pada awal tahun dahulu baru2 ini berakhir dengan kesedihan dan linangan airmata kerana isterinya yang berusia 35 tahun didapati jatuh di dalam bilik air rumahnya dan telah meninggalkan mereka sekeluarga bersama kembar tiga yang belum sampai setahun dilahirkannya dahulu. Pemergian saya untuk menziarahi jenazah dan sahabat ini membawa keinsafan mendalam bahawa kematian boleh berlaku pada bila2 masa dan di mana sahaja.
Kisah terbaru iaitu semalam saya menerima berita di mana bapa saudara saya sebelah ayah telah dijemput Ilahi dalam keadaan cukup tidak disangka iaitu helikopter yang dipandunya telah terhempas dan telah meragut nyawanya. Seperti yang terpampang di dada akhbar usia beliau baru 31 tahun dan meninggalkan balu serta anak yang baru berusia setahun lebih. Sekali lagi bermuhasabah saya bahawa kematian tidak mengira usia dan boleh berlaku di peringkat usia mana sahaja dan pada sesiapa sahaja.
Sedikit bingkisan sewaktu pulang ke kampung baru2 ini saya menyaksikan ketiga2 orang tua yang ada dalam keluarga saya iaitu tok (opah) sebelah ayah dan emak serta tok wan (atuk) sebelah emak tidak berapa lagi sihat seperti sediakala. Melihat tok sebelah emak yang selalu muntah darah dan tok sebelah ayah yang terbaring akibat tidak dapat berjalan serta mempunyai masalah dengan sistem pencernaannya membuatkan hati saya sayu untuk pulang. Kesedihan itu ditambah lagi dengan pesanan tok wan yang bersungguh2 mahu saya menjadi imam untuk mengimami jenazahnya kelak membuatkan saya kian sebak apabila mengenangkan ini semua. Sememangnya tok wan selalu sesak nafas dan saya belum bersedia untuk memikul amanahnya pada saat ini. Mohon dipanjangkan usia mereka untuk diberikan kesempatan agar saya bersedia tetapi dalam pada masa yang sama saya sedar tiada siapa yang dapat mengelak ajal maut dari menghampirinya walau sesaat. Kalau bukan mereka mungkin saya yang terlebih dahulu meninggalkan mereka. Mohon diberikan kesempatan untuk berbuat kebaikan. Amin.
Kesimpulan yang saya dapat buat dari entri ini ialah sedar tidak sedar kematian sebenarnya menghambat kita. Semakin bertambah bilangan usia sebenarnya bukan menjauhkan kematian dengan kita tetapi makin mendekatkan lagi kematian. Lupakanlah sebentar dunia buat seketika untuk bermuhasabah dan kenangilah insan tersayang yang sudah tiada di depan kita serta bagaimana penghidupan kita kelak di padang mahsyar. Sama2lah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang sudah pergi dan bersedialah kita pada bila2 masa sahaja untuk dijemput kesana. Ampun maaf dari saya atas segalanya. Akhirul kalam, siapkan bekalan, mantapkan amalan demi sebuah perjalanan yang kekal abadi.
'
'

14 December 2010

Selamat Pengantin Baru Sahabatku..

* Sahabat setia yang menemani saya di hari bahagia.

Tanggal 12 Disember 2010 merupakan tarikh yang paling berharga buat Zaki iaitu seorang teman baik dan kawan rapat saya di waktu persekolahan kerana beliau melangsungkan perkahwinan pada hari tersebut bersama dengan gadis pilihannya. Agak mendukacitakan bagi saya kerana lambat mengetahuinya sedangkan seminggu sebelum tarikh tersebut saya sudah pulang ke kampung. Zaki menelefon saya untuk memaklumkan berita gembira ini tetapi saya sudah berada di rumah sendiri. Hendak pulang semula almaklumlah bukannya dekat dari putrajaya ke penang malahan pula kali ini saya menbawa ibu bapa bersama untuk tinggal beberapa hari di rumah baru saya.
Untuk pengetahuan semua, sahabat saya Zaki ini merupakan pengapit saya ketika melangsungkan majlis perkahwinan bersama dengan isteri kira2 lima tahun dahulu. Banyak pengalaman yang kami tempuhi bersama ketika itu dan biarlah ia menjadi rahsia antara kami. Bergelar raja sehari merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kalau tiada Zaki rasanya gemuruh saya pasti bertambah kuat apabila berada di depan khalayak yang ramai ketika itu. Memang menjadi harapan saya agar saya juga ada bersama ketika dia pula melangsungkan perkahwinan tetapi apakan daya tiada jodoh untuk kami bertemu di saat hari bahagianya.
Buat sahabatku Zaki, mohon maaf kerana tidak dapat hadir di hari bahagiamu. Di kejauhan ku kirimkan doa agar pernikahanmu berlangsung dengan sempurna dan kalian beroleh kebahagiaan sehingga akhir hayat. Berusahalah memperolehi zuriat agar ia menjadi anak soleh/solehah penawar hati, penyejuk jiwa dan pendinding dari bakaran api neraka. Semoga murah rezeki dan mendapat keberkatan Ilahi dari ikatan pernikahan ini. Terima kasih atas jasamu menemani dan memeriahkan hari perkahwinanku dahulu. Selamat Pengantin Baru, semoga kekal ke akhir hayat dan bahagia selalu. Amin.
,
Mutiaraminda2U:
,
“Kebahagiaan itu sebenarnya perlu dicipta, bukan dicari.”
'
'