Showing posts with label Bimbingan dan Kaunseling. Show all posts
Showing posts with label Bimbingan dan Kaunseling. Show all posts

11 February 2011

Lawatan Kerjaya di CUCMS

Satu lawatan kerjaya dan mesyuarat Majlis Guru Kaunselung (MGK) Putrajaya telah diadakan di Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) yang terletak di Cyberjaya. Program dua dalam satu ini berlangsung pada 26 Januari 2011 yang lalu dan saya berkesempatan untuk menghadirinya sebagai ahli dalam mesyuarat tersebut bersama dengan rakan Guru Bimbingan dan Kaunseling seluruh Putrajaya. Merupakan mesyuarat khas pertama MGK Putrajaya dalam tahun ini selepas kali pertama bertemu di Pejabat Pelajaran Daerah Putrajaya untuk urusan program bimbingan dan kaunseling Putrajaya bagi tahun 2011.

Mesyuarat ini dihadiri oleh dua orang pegawai dari PPD Putrajaya iaitu En. Kamaluddin dan En. Aris serta dipengerusikan oleh YDP MGK Putrajaya iaitu En. Saiful Effendi. Kehadiran ahli yang memberangsangkan dan di tempat yang kondusif membuatkan perjalanan mesyuarat terasa singkat. Agenda mesyuarat berkisar kepada pemilihan bendahari baru menggantikan bendahari lama yang telah menyambung pelajaran ke peringkat master, program2 untuk memantapkan bimbingan dan kaunseling di sekolah dan wilayah persekutuan, peranan kaunselor membantu murid2 KIA2M, Pembimbing Rakan Sebaya dan kaedah untuk menambahkan lagi dana MGK Putrajaya. Pelbagai reaksi dan pandangan diutarakan oleh ahli mesyuarat dan kata sepakat telah dibuat bagi tujuan tersebut untuk memastikan MGK Putrajaya lebih maju ke hadapan berbanding tahun sebelumnya.

Selepas mesyuarat para ahli diberikan sedikit taklimat oleh pihak pengurusan kolej universiti berkaitan bidang2 yang ditawarkan dan peluang2 pengajian yang boleh direbut oleh pelajar sekiranya berminat untuk belajar di sini. Selain itu sesi dialog bersama pentadbir juga turut diselitkan dalam taklimat tersebut. Ternyata apabila diberikan peluang ramai rakan guru yang teruja mendengar dan bertanyakan soalan bagi memastikan input berguna ini dapat disalurkan pula kepada anak didik di sekolah. Selesai mendengar taklimat kami dibawa untuk melawati sekitar kawasan kolej universiti melihat dan menziarahi fakulti2 dan fasiliti yang terdapat di dalamnya. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila berpeluang bersama dengan seorang rakan guru iaitu saudara Shaiful Shahrizam untuk melawat bilik mayat yang menempatkan mayat di universiti tersebut bagi tujuan ujikaji. Memandangkan universiti ini adalah universiti perubatan maka suasana sebegini adalah lumrah bagi pelajar2 tetapi bukan bagi saya. Seterusnya kami beredar ke meja santapan untuk menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh pihak kolej universiti.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak pengurusan kolej yang melayani kami sebaiknya dan pengalaman berada di CUCMS membuatkan kami Guru Bimbingan dan Kaunseling Putrajaya berasa begitu dihargai. Terima kasih juga kepada rakan guru yang mengaturkan perjalanan mesyuarat dan lawatan kerjaya ini. Sememangnya sebagai guru yang belum banyak pengalaman saya memang begitu dahagakan pengalaman dan perkongsian ilmu sebegini. Semoga kesudahan yang baik ini dapat saya curahkan semula kepada pelajar agar mereka juga turut merasai impak daripada lawatan ini.
'
MutiaraMinda2u:
"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik dari masa ke semasa."
'
:

20 December 2010

Memanfaatkan Cuti Mendalami Ilmu Kaunseling


Teori kaunseling kepada seorang kaunselor ibarat peta petunjuk kepada pemandu yang ingin menuju ke satu destinasi. Tanpanya, destinasi yang akan ditujui itu menjadi kabur dan berkemungkinan tidak sampai ke tempat tujuan malah mungkin menyukarkan lagi keadaan. Begitulah lebih kurang kata2 seorang pensyarah saya dan ia masih terngiang2 di benak fikiran berkaitan antara kaunselor dan teori kaunseling. Diakui kebanyakan kaunselor atau guru bimbingan dan kaunseling (GBK) di sekolah mempunyai teori kaunseling yang dipegang dan mempunyai asas kenapa teori tersebut menjadi pengangannya. Oleh yang demikian, saya juga mempunyai teori yang dipegang dan alasan tertentu mengapa menggunapakai teori tersebut. Adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya terdapat kaunselor atau GBK yang langsung tidak mempunyai teori dan menggunapakai teori semasa sesi kaunseling dijalankan olehnya. Ternyata itu belum boleh dinamakan sebagai sesi kaunseling tetapi mungkin sesi nasihat atau perkongsian namanya.
Memandangkan cuti persekolahan ini agak panjang maka saya mengambil kesempatan untuk mengulangkaji semula teori2 kaunseling yang telah dipelajari dan dipraktekkan semasa membuat sesi dahulu. Mendalaminya semula membuatkan saya lebih memahami berbanding sewaktu mempelajarinya di maktab atau di universiti dahulu. Mungkin disebabkan kerana ketika ini apa yang dibaca, saya dapat kaitkan dengan situasi semasa mengadakan sesi bersama klien dan masalah mereka. Selain teori, kemahiran kaunseling dan teknik juga dapat dipelbagaikan untuk membantu klien mendapat celik akal.
Pelaburan saya sewaktu ke pesta buku antarabangsa dahulu tidak sia2 kerana kini saya memiliki beberapa buah koleksi pelbagai jenis buku kaunseling dan ia sememangnya menjadi gedung ilmu buat saya. Lebih manis koleksi yang dimiliki adalah daripada penulis tersohor dalam bidang tersebut serta dari penerbit yang sukar ditemui di kedai2 buku biasa. Dengan sesi mentelaah ilmu kaunseling sewaktu cuti persekolahan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk kembali ke sekolah dan mengaplikasikannya dalam sesi2 kaunseling akan datang. Semoga pembelajaran dan pencarian ilmu ini tidak terhenti setakat ini sahaja dan diharapkan impian saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Semoga dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan untuk menggali sebanyak mungkin ilmu dalam bidang ini bagi membantu insan yang memerlukan pertolongan.
'
MutiaraMinda2u:
Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu berkurangan apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah apabila dibelanjakan.
-Saidina Ali bin Abi Talib-
'
'

02 November 2009

Bengkel Mengenal Minat Kerjaya


Hari ini di sekolah saya berkesempatan bersama dengan murid tahun enam mengadakan Bengkel Mengenal Minat Kerjaya. Satu program yang dirancang untuk memenuhi takwim program pasca UPSR dan sebagai pendedahan kerjaya untuk mereka. Perancangan awal adalah dengan menjemput seorang kaunselor cemerlang dari sekolah menengah berhampiran tetapi disebabkan beliau tidak dapat menghadirinya maka program tersebut hanya menjadi program peringkat dalaman sahaja. Menggantikan beliau tidak lain tidak bukan iaitu saya sendiri sebagai penceramah undangan.
Sebenarnya sudah agak lama saya tidak memberikan ceramah baik motivasi atau tazkirah pada khalayak umum. Rasa seakan diri ini kosong apabila agak lama tidak berkongsi ilmu dan berbincang secara ilmiah. Kesempatan dari kesempitan yang ada ini tidak saya lepaskan. Semalaman saya menyediakan bahan termasuk inventori dan video untuk paparan sewaktu ceramah kelak dan disesuaikan untuk aras murid tahun enam. Saya mengambil keputusan untuk menggunakan modul yang saya dapat dari En. Ab. Aziz Mohd Yatim iaitu personaliti VPI. Sudah dua kali saya mengikutinya dan kali ini saya yakin mampu untuk mengendalikannya sendiri.
Bengkel bermula pada pukul 11.30 dan berakhir sekitar jam 1.15 tengah hari. Permulaan murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam personaliti VPI iaitu RIASEC. Kemudiannya mereka dikehendaki menjawab inventori berkaitan dan disusuli dengan penafsiran personaliti tersebut satu persatu. Melalui pengamatan, mungkin kaedah ini satu pengalaman baru bagi murid2 kerana apabila saya memberitahu bahawa personaliti yang mereka wakili ada kaitannya dengan kerjaya, didapati mereka seolah2 teruja dan sebahagiannya kebingungan. Terdapat juga beberapa persoalan yang ditanya kepada saya sepanjang bengkel ini dan ia menjurus kepada minat dan personaliti kerjaya yang akan diceburi. Setelah melaluinya hingga akhir saya membuat kesimpulan bahawa mereka memahami minat dan personaliti dapat membantu mereka untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang sekiranya memilih dengan tepat bidang pengajian dan mendapat pengetahuan sepenuhnya mengenai kerjaya yang akan diceburi.
Bengkel ini merupakan pengalaman pertama saya berkaitan dengan kerjaya. Alhamdulillah saya dapat mengendalikannya dengan baik walaupun saya sedar agak terlalu tinggi aras penyampaian yang digunakan memandangkan ini adalah inventori tetapi dari riak wajah murid2 saya tahu mereka mendapat satu ilmu baru. Ilmu yang akan membantu mereka untuk menjadi seorang yang lebih mengenali diri, berupaya untuk menerjah, meneroka, mengeluarkan dan memanfaatkan potensi diri secara optimum.
'
'

18 December 2008

Helah Bela Diri

Merupakan proses psikologi bertujuan untuk mengurangkan tekanan dan ia juga boleh diibaratkan sebagai membohongi diri untuk berhadapan dengan realiti. Manusia menggunakan helah bela diri untuk melindungi dirinya apabila berada dalam keadaan terancam. Antara strategi yang digunakan untuk helah bela diri ialah:

Penyangkalan

  • Merupakan penafian atau penolakan tentang realiti. Sesuatu peristiwa yang traumatik yang tidak tertanggung oleh fikiran dan perasaan. Contohnya seseorang yang tidak dapat menerima berita kematian orang yang penting di dalam hidupnya.
Reaksi Formasi
  • Mempertahankan diri dari satu ancaman dengan menunjukkan reaksi yang bertentangan. Contohnya seorang yang selalu makan rasuah sering bercakap tentang gejala rasuah.

Penyaluran

  • Melepaskan desakan-desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat. Contohnya kemahiran terhadap ketua jabatan di pejabat dilepaskan kepada anak-anaknya di rumah.

Rasionalisasi

  • Memberi alasan-alasan terhadap kegagalan. Contohnya, seorang murid yang gagal dalam peperiksaan menyalahkan gurunya yang sering tidak masuk kelas sedangkan dirinya sendiri tidak mampu menguasai pelajaran yang diajar oleh guru tersebut.

Represi

  • Menyingkirkan semua pemikiran dan perasaan yang mengancam dari alam sedar. Kebanyakan pengalaman yang menyakitkan pada 5 tahun pertama kehidupannya telah terpendam di alam bawah sedar. Contohnya rasa marah dan kebencian yang tidak boleh dijelaskan dan dinyatakan sebab-sebabnya.

Projeksi

  • Membalikkan desakan dan keinginan yang tidak dapat diterima oleh dirinya sendiri dengan cara meletakkan kesalahan kepada orang lain bukan pada diri sendiri. Contohnya, apabila berlaku sesuatu pertengkaran maka orang lainlah yang menjadi puncanya walhal dialah yang memulakannya.

Sublimasi

  • Satu cara untuk melepaskan tenaga di khalayak ramai dengan cara yang dapat diterima. Contohnya, seseorang yang berjaya di dalam sesuatu bidang adalah disebabkan melarikan diri dari tenaga yang boleh memalukannya seperti agresif atau keinginan seksual yang keterlaluan.

Introjeksi

  • Mengambil ciri-ciri atau nilai orang lain menjadi dirinya. Contohnya, seorang yang sering meniru gaya seseorang yang terkenal dan akhirnya menjadi sebahagian dari dirinya.

Pampasan

  • Usaha untuk mengimbangkan sesuatu kelemahan dengan cara mencari pampasan atau kekuatan lain. Contohnya, seorang yang tidak dapat berkomunikasi dengan baik mencari pekerjaan yang tidak memerlukan komunikasi yang banyak.

Regresi

  • Sorot kembali kepada peringkat perkembangan yang lebih awal untuk rasa selamat. Contohnya, seorang dewasa yang menangis seperti kanak-kanak disebabkan ketakutan kehilangan sesuatu.