Showing posts with label Coretanku. Show all posts
Showing posts with label Coretanku. Show all posts

23 June 2014

Selepas 5 Tahun Anakku Kini Membaca Blog Dirinya..

Semalam secara tidak sengaja saya menunjukkan kepada anakanda tersayang akan blog dirinya iaitu http://nuuratiiqahmardhiyyah.blogspot.com yang telah saya bina pada tahun 2009. Ketika itu usianya baru sahaja sekitar 3 tahun. Dengan usia sebegitu untuk.membaca penulisan saya kepadanya adalah sesuatu yang mustahil.

Setelah 5 tahun saya seakan tidak percaya bahawa anak saya membaca kisah hidupnya yang saya tulis dahulu. Berada di sebelah saya semalam Atiiqah membaca dengan begitu fasih sekali. Lebih terharu apabila dia begitu teruja dengan blog tersebut dan bertanya kepada saya "Abi tak penat ke tulis tentang Kak Long?" jawapan ku pantas.. "Abi buat semua ni untuk anak Abi yang Abi sayang." Saya tahu yang dia kini mengerti apa yang telah saya ungkapkan padanya tambahan pula blog tersebut menceritakan segala yang kami lakukan ketika dia masih kecil.

Dengan bantuan isteri tercinta yang kini sedang berkursus di Melaka saya dapat semula email dan password untuk memasuki blog tersebut walau permulaannya seakan kecewa kerana tidak berjaya. Alhamdulillah sesuai dengan niat asal blog dirinya dibini kini blog tersebut saya serahkan pada anak saya kerana dialah yang berhak menguruskannya dan tak sabar menantikan penulisan pertamanya di alam maya. Selamat menjadi blogger muda anakku! Jom kita menulis sama2 dan jadikan menulis serta membaca amalan keluarga kita. Abi sayang Kak Long! :)

15 December 2011

Penangan Blog MutiaraMinda2U Masih Berbisa

Dua hari lepas saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang Guru Bimbingan Dan Kaunseling daripada sebuah sekolah yang terletak di Negeri Sembilan. Panggilan tersebut adalah untuk menjemput saya sebagai penceramah dalam sesi bersama ibu bapa untuk murid tahun enam sekolah tersebut yang akan diadakan pada hujung Januari tahun hadapan. Begitu awal perancangan guru ini dan alangkah terkejutnya saya kerana dia mendapati maklumat mengenai perkembangan saya melalui blog MutiaraMinda2U ini dan mendapat nombor telefon daripada sekolah saya sendiri. Sangkaan saya selama ini bahawa selepas kewujudan facebook blog ini sudah kurang fungsinya ternyata meleset sama sekali.


Berdasarkan perbualan guru ini tertarik dengan coretan peristiwa, pengalaman dan gambar2 yang dipaparkan di dalam blog ini. Seterusnya beliau menjejaki saya di laman maya dan terus menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan no telefon saya. Sememangnya beliau begitu bersungguh2 untuk mendapatkan khidmat saya yang pada pandangan saya tidaklah seberapa. Hal ini sebenarnya membuatkan saya berada dalam delima untuk menolak permintaannya memandangkan beliau sudah berusaha bersungguh2 untuk menjadikan majlis tersebut realiti dengan kewujudan saya sebagai penceramah. Dalam perbincangan itu juga beliau berharap agar ada perkongsian ilmu dari saya untuk memajukan perkhidmatan kaunseling di sekolah masing2. Terasa seakan kerdil dibuatnya saat itu kerana bila memikirkan prestasi saya di sekolah pun tidak seberapa tetapi harapan dan pandangan orang sekeliling menggunung tinggi. Bukan seorang dua tetapi ramai sebenarnya yang yakin dengan kemampuan saya antaranya adalah kedua ibu bapa, keluarga, sahabat karib, rakan2 seperjuangan, dan ramai lagi tetapi saya sendiri yang agak kurang yakin untuk menggalas dan menyahut cabaran tersebut. Satu alasan yang tidak sepatutnya keluar daripada seorang kaunselor. Apapun saya sedar saya hanyalah insan biasa yang tidak lekang dari kesilapan dan kelemahan tetapi akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik saban hari dan dari masa ke semasa.


Untuk makluman, dalam pada masa yang sama sebenarnya saya juga menerima undangan daripada pihak Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) untuk program orientasi pelajar baru mereka sekitar seminggu lagi. topik berkisar kepada etika dan sahsiah sebagai seorang mahasiswa. Bagaimana hendak dikhabarkan pun entahlah, di saat saya mula menguncup untuk program2 motivasi kerana memberi fokus kepada pengajian dan bisnes lain, dapat pula banyak undangan yang tidak dijangka2. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini. Koreksi diri saya simpulkan bahawa kudrat ini masih diperlukan untuk membangunkan ummah melalui medan dakwah kontemporari daripada pandangan seorang kaunselor sejati. Insya’Allah.. akan saya lakukan yang terbaik!!!


26 December 2010

Mak dan Ayah datang Menziarahi


Bulan ini merupakan bulan yang penuh bermakna bagi saya kerana impian untuk membawa serta menjemput Mak dan Ayah datang ke rumah baru kami sekeluarga tercapai juga akhirnya. Perancangan awal dahulu ialah Mak dan Ayah akan datang bersama dengan abang2 dan kakak saya lebih kurang dalam tiga buah kereta dari Penang ke Putrajaya. Disebabkan perancangan tersebut juga membuatkan kami sekeluarga tidak pulang ke kampung pada Hari raya Aidiladha yang lalu kerana mahu bersama mereka di sini. Tetapi malangnya perancangan tersebut tidak menjadi kenyataan akibat kekangan waktu dan masalah2 lain yang berbangkit.

Mengambil kira niat saya yang berkobar-kobar untuk membawa Mak dan Ayah datang ke Putrajaya aka saya nekad untuk pulang ke kampung pertengahan bulan yang lalu untuk memujuk Mak dan Ayah untuk pulang bersama. Alhamdulillah Mak dan Ayah bersetuju untuk bersama kami tetapi timbul pula masalah apabila adik lelaki saya, kakak serta anak kesayangannya hendak ikut serta. Seramai enam orang dewasa dan 3 orang kanak2 tidak mungkin muat untuk duduk di dalam kereta saya yang hanya muat untuk 5 orang dewasa sahaja. Untuk mengatasi masalah tersebut terpaksalah Ayah dan Adik menaiki bas ke Putrajaya dan Mak serta Kakak bersama kami menaiki kereta pada hari yang sama.

Selain hadir untuk melihat rumah baru saya Mak, Ayah, Kakak serta Adik sangat teruja untuk pergi ke tempat2 menarik sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Banyak yang dirancang tetapi kesempatan yang ada saya sempat membawa mereka ke Aquaria KLCC, Petrosains, Tugu Negara, Pasar Malam Putrajaya, Alamanda, dan yang terakhir ialah rumah saudara yang terletak di Taman Medan. Kelihatan Ayah dan Mak sangat teruja apabila dibawa ke Aquaria menyaksikan pelbagai jenis ikan, Kakak pula seakan tidak puas berada di Petrosains KLCC tempat pilihannya sendiri pada hari kedua dan Adik pula sangat gembira ke pasar malam terbesar pernah disaksikannya. 'Atiiqah pula gembira kerana dapat bersama dengan sepupunya ke setiap tempat yang dilawati. Begitu juga kami sekeluarga apabila mengunjungi rumah saudara yang belum pernah dilawati sebelum ini. Dengan perantaraan Mak dan Ayah kali ini maka selepas ini bolehlah kami sekeluarga pergi ke sana kerana sudah mengetahuinya.

Kunjungan Mak dan Ayah kali ini juga cukup bermakna bagi saya apabila saya sempat untuk mempelajari beberapa jenis masakan utara daripada Mak. Antara yang sempat diajarkan kepada saya ialah gulai nangka, masak asam pedas, sayur lemak dan ikan tenggiri masak cuka. Alhamdulillah walaupun ada beberapa resepi tidak sempat diajar tetapi memadai kerana saya dapat secara langsung daripada Mak termasuk petua2 memasak. Kakak pula sepanjang barada di sini bertindak sebagai tukang masak memandangkan isteri saya bekerja. Berbagai jenis lauk-pauk dihidangkannya kepada kami dan boleh dikatakan semuanya sedap2 belaka dan habis dimakan.

Menerima kehadiran Mak dan Ayah di rumah sendiri merupakan saat yang paling indah dalam hidup. Kalau boleh seakan mahu Mak dan Ayah tinggal bersama kerana sebagai anak seakan tidak puas tinggal bersama dan ingin selalu menatap wajah mereka di depan mata. Mohon Allah panjangkan usia mereka untuk saya berbakti di kesempatan yang ada agar mereka merasa sekelumit jasa saya atas pengorbanan mereka yang selama ini telah bersusah payah membesar, menyara, memberikan kasih sayang dan memberikan pendidikan kepada saya sehingga saya menjadi sebegini seadanya. Sememangnya Mak dan Ayah adalah kekuatan dan sumber inspirasi saya dalam melayari hidup ini. Semoga saya dapat berbakti dan menjadi anak soleh yang mendoakan buat mereka berdua. Ameen.

MutiaraMinda2u:
"Alangkah ruginya bagi Ibu Bapa yang memiliki bilangan anak yang ramai tetapi tiada seorang pun yang menadah tangan memohon ampun dan menjadi anak soleh yang mendoakan buat mereka kerana doa dari anak yang soleh kepada kedua Ibu Bapanya menjadi salah satu daripada tiga amalan yang menyelamatkannya sesudah ketiadaannya."

16 November 2010

Setahun Sudah Berlalu..


Sedar tidak sedar hari ini merupakan hari terakhir persekolahan dalam minggu ini bagi murid2 sekolah saya. Kami mengambil cuti peristiwa dan cuti berganti bagi memudahkan urusan guru dan ibu bapa untuk pulang ke kampung halaman menyambut hari raya aidiladha. Bagi saya tahun ini cukup sekadar beraya di rumah baru sahaja kerana makluman mengenai cuti dapat diketahui kesahihannya semalam menyukarkan saya untuk menukar jadual yang telah saya rancang. Ditambah dengan banyak lagi perkara yang belum disiapkan dengan sempurna iaitu dokumentasi pelaporan baik peringkat sekolah dan jabatan. Baru menyusul tadi ialah surat panggilan menghadiri satu program sebagai AJK pada 22-24 November ini di Hulu Langat. Semuanya seakan mahu diadakan pada bulan ini juga.
Dalam kesibukkan dan kepenatan sebenarnya ada pengalaman manis dilalui tahun ini kerana jumlah bilangan murid yang mendapat 5A sekolah meningkat dari 18 tahun sebelumnya kepada 29 orang. Agak membanggakan kerana tahun ini adalah tahun yang dirasakan agak sukar untuk sekolah mendapat bilangan sedemikian kerana kekangan waktu dan sikap murid berbanding sebelumnya. Tetapi ternyata berkat kesabaran guru mendidik dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka semuanya dapat ditamatkan dengan jayanya. Terima kasih buat semua terutamanya kepada guru2 tahun enam yang bertungku-lumus menjaga mereka. Semoga tahun mendatang bilangan ini dapat dipertingkatkan lagi. Insya’Allah.

'
'

15 November 2010

Rindunya Menjadi Blogger..



Salam. entah kenapa malam ini terasa sangat nak menaip keyboard pc sedangkan sudah lama tidak aktif menulis/menaip. sekadar untuk meluahkan bahawa hati ini terasa sangat rindu untuk kembali menulis. menulis sebenarnya menajamkan fikiran dan dapat mengembalikan semula ingatan terhadap kejayaan yang sudah dilalui. banyak pengalaman yang dicoretkan disini menjadi inspirasi buat saya dalam meniti hari2 mendatang. Semoga cuti persekolahan kali ini memberikan saya banyak masa untuk menukilkan kembali pengalaman terbaru yang dilalui dan melontarkan idea2 untuk perbincangan bersama. adalah diharapkan rakan2 blogger suatu ketika dahulu kembali aktif agar saya juga tidak menjadi pasif. apapun alasan sebenarnya mahu atau tidak kitalah yang menentukan. semoga berjumpa lagi dalam penulisan akan datang. Insya'Allah..
'
MutiaraMinda2Me:
"Tidak dinamakan pemandu sekiranya tidak memandu walaupun mempunyai kenderaan dan tidak dinamakan blogger sekiranya tidak menulis walaupun mempunyai blog."
'
'
'

20 August 2010

Selamat Menghayati Ramadhan

Hari ini ganaplah 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan dan lagi 9 hari lagi genaplah selama lima bulan saya tidak menulis di ruangan ini. Kalau rumah pastinya sudah bersawang dan berhabuk akibat tidak dibersihkan sekian lama. Entah kenapa pada malam ini terasa ingin menulis pula, sebenarnya walau tidak menulis saya mengetahui terdapat pelawat yang menziarahi saban hari dan mungkin dikalangan mereka ada yang menantikan penulisan saya yang terkini. Terima kasih pada yang sudi menjengah dan sesungguhnya ingin saya khabarkan bahawa kalian adalah sumber inspirasi saya. Jazakallah..
Terlalu banyak peristiwa dan tragedi yang berlaku selama masa lima bulan ini dan terasa seperti ada satu kelompongan dalam diri apabila saya tidak berkesempatan menulis. Setidak-tidaknya apabila menulis di sini ia boleh dijadikan rujukan sendiri dan perkongsian bersama. Dalam tempoh tersebut, banyak masa saya dikongsi bersama dengan rakan facebook sahaja. Kebetulan pula rakan blog saya ramai yang sudah tidak aktif lagi menulis dan mereka beralih ke FB. Insya’Allah sempena mengambil keerkatan bulan Ramadhan saya akan mula menulis semula di ruangan ini selepas ini. Semoga catatan saya akan menjadi bahan bacaan santai dan perkongsian yang bermanfaat untuk kita semua. Teringin juga untuk mendapat komen bagi setiap penulisan agar dapat membantu dari segi input dan penambahbaikan.
Lupa dikhabarkan bahawa saya sekarang sudah menduduki rumah baru iaitu rumah teres. Lebih selesa dibandingkan rumah lama iaitu apartment di tingkat 8 dahulu. Segalanya terjadi mugkin disebabkan rezeki orang baru yang hadir dalam keluarga kami iaitu Nuur Raiyhaan Saafiyyah. Sedar atau tidak sebenarnya anak adalah penyambung zuriat dan penyumbang kepada rezeki sesebuah keluarga. Kalau dengan anak pertama saya beroleh pekerjaan menjadi seorang guru dan memiliki sebuah kereta tetapi dengan anak kedua lain pula rezeki yang Allah kurniakan. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia dan memberikan rezeki kepadanya.

Sekian dahulu buat masa ini dan dikesempatan ini rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan "Selamat Menyambut dan Menghayati Bulan Ramadhan Al-Mubarak". Semoga kehadirannya dapat menambahkan lagi amalan kita dan memberikan keampunan serta keberkatan dalam kita menjalani kehidupan seharian. Ameen.

'

'

31 October 2009

Taubat Seorang Hamba


Hati hiba mengenangkan
Dosa2 yg ku lakukan,
Oh Tuhan Maha Kuasa,
Terima taubat hamba berdosa...
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x.....
Taubatku ini.....
'
Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan,
Kerana hilang dari jalan
menuju redhaMu ya Tuhan.
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x...
Taubatku ini...
'
Di hamparan ini ku meminta
moga taubatku diterima...
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x....
Taubatku ini...
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x..
Taubatku ini...
'
'
Ilmuwan Hati: Sebuah lagu nyanyian kumpulan Irsyadee bersama Hafiz Hamidun yang mempunyai auranya yang tersendiri apabila benar2 dihayati. Dapat menyentuh hati2 yang lalai daripada mengingati Pencipta dan sedar akan kelemahan serta kekurangan diri. Paling menyentuh jiwa apabila ia dapat menyedarkan diri bahawa semakin hari kita semakin jauh dengan Allah s.w.t. Dahulu semasa berada dalam keadaan susah kepadaNyalah tempat kita mengadu nasib tetapi kini apabila sudah beroleh kesenangan tikar sembahyang sering kali kita lupakan. Mengabaikan yang fardhu dan jauh sekali melakukan yang sunat. Selalu solat di akhir waktu. Tiada lagi linangan air mata yang membasahi pipi. Tiada lagi rengekkan memohon keampunan di kala orang lain sedang nyenyak tidur. Tiada lagi zikrullah dan perkataan taubat yang terpacul di mulut. Tiada keinsafan apabila melakukan kesalahan. Jiwa bagaikan mati walaupun jasad kesana kemari. Semoga bait2 lagu ini dapat mengembalikan kembali ingatan kita kepada Allah Rabbul Jalil. Menghidupkan kembali jiwa yang mati. Memberikan sinar kebahagiaan sebagai makhluk ciptaanNya. Menjadikan kita insan yang dipandang olehNya berbanding dengan insan2 yang lain di muka bumi ini. Semoga kita dijemput kembali kepadanya dalam keadaan yang tenang bersama keredhaanNya. Matikan daku dalam kalimahMu dan kesudahan yang baik. Terimalah taubat hambamu ini Ya Allah..
'
'

27 August 2009

Menempuh Ramadhan Dengan Kesabaran dan Ujian Kesihatan

Minggu ini merupakan minggu yang tenang buat warga pendidik kerana berada dalam cuti persekolahan selama seminggu ditambah lagi satu hari iaitu hari kemerdekaan yang jatuh pada isnin minggu hadapan. Minggu ini juga sebenarnya umat Islam serata dunia mengerjakan ibadah puasa bermula pada hari sabtu 22 Ogos 2009. Hari ini genaplah enam hari kita semua menunaikan ibadah puasa iaitu satu ibadah yang wajib kita menunaikannya. Sekejap sahaja masa berlalu seakan tidak terasa yang baki cuti persekolahan tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi sedangkan banyak perkara yang dirancangkan untuk dilaksanakan dalam cuti ini masih belum terusik untuk tindakan selanjutnya. Sememangnya ramadhan kali ini benar2 menguji kesabaran dan kemampuan saya untuk menghadapinya.
Masih teringat lagi saat berada di sekolah pada pagi 20 Ogos 2009 yang juga merupakan hari ulang tahun perkahwinan ke-4 saya bersama isteri. Sedang asyik berbual dengan guru besar, saya menerima panggilan dari isteri mengatakan kakak ada menelefonnya memberitahu ayah sakit di kampung. Terkelu lidah kerana melalui percakapan isteri situasi ayah sakit adalah sakit yang pernah menyerangnya suatu ketika dahulu sehinggakan terpaksa memasuki wad kecemasan (ICU). Untuk pengetahuan semua lima tahun lepas ayah saya pernah menjalani pembedahan besar di perutnya kerana usus besarnya telah pecah tetapi sempat diselamatkan kerana ayah masuk bilik pembedahan tepat pada masanya. Tiada apa yang dapat digambarkan ketika itu hanya pulang ke kampung menziarahi ayah ada di fikiran.
Semua program termasuk ceramah UPSR di SKPP11(3) yang sudah mendapat pelepasan saya batalkan. Dengan ihsan guru besar saya pulang awal hari itu untuk mengambil anak di taska dan menunggu isteri pulang bekerja untuk sama2 pulang ke kampung. Dalam keadaaan cemas tersebut abang kedua saya menelefon dan mengatakan ayah tidak kritikal cuma suspek batu karang. Untuk menguatkan lagi percakapannya abang menyerahkan telefon pada ayah dan melalui perbualan bersama ayah sedikit sebanyak melenyapkan kerisauan di hati tetapi perasaan mahu bertemu dan melihat ayah dengan mata sendiri membuak2 menyebabkan saya tekad untuk pulang juga. Alhamdulillah sesampainya kami di sana saya dapat melihat ayah terbaring di katil tetapi masih lagi boleh berbicara dan keadaannya nampak semakin stabil. Hanya pada Allah dipanjatkan kesyukuran kerana masih memanjangkan usia ayah. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana mendengar doa anak kepada ayahnya ini..
Sehari selepas kejadian itu ramadhan menjelma dan kesempatan pulang dapatlah kami bersahur dan berbuka bersama keluarga. Cuma ramadhan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran warga baru iaitu Nur Almira Batrisyia anak adik perempuan saya dalam keluarga besar kami. Memandangkan cuti masih panjang, kesempatan bersahur dan berbuka juga tidak dilepaskan di rumah mertua yang terletak di Chemor Perak. Alangkah indahnya bersahur dan berbuka bersama dengan keluarga sambil dihidangkan pula dengan keletah anak kecil saya yang sibuk hendak membaca doa.
Selepas ujian kesabaran ditempuhi kini tibalah pula ujian kesihatan. Semasa di kampung lagi saya sudah merasakan tidak sedap badan seakan hendak demam dan batuk serta selesema. Puasa pertama saya sudah dijangkiti demam, batuk dan selesema. Pulang ke Putrajaya anak saya pula dijangkiti penyakit yang sama dan hari ini isteri saya juga telah terkena jangkitan iaitu demam, batuk dan selsema. Cuma kami bernasib baik melalui ujian di klinik kesihatan Putrajaya ia cuma demam, batuk dan selesema biasa bukan virus yang digeruni masa kini iaitu H1N1. Mohon Allah jauhi penyakit tersebut daripada kita semua. Kepada semua pengikut dan pembaca budiman, kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada anda semua. Gunakan kesempatan yang ada ini untuk membuat amal ibadat sebanyak mungkin dan mengejar pahala 1000 bulan. Saya doakan kalian semua sihat walafiat dan doakan juga kami sekeluarga beransur sembuh dan sihat hendaknya.
'
'
'

26 April 2009

Ulat Buku Berpesta Dengan Buku Di Pesta Buku Antarabangsa

Kebiasaannya apabila melihat ulat yang banyak pasti akan membuatkan tekak kita meloya kerana tidak tahan dengan telatahnya yang melentik2 bergerak ke sana ke mari menghurungi sesuatu. Tetapi apa yang ingin dikongsi hari ini adalah perasaan kagum dan gembira apabila terdapat ramai ulat buku ke sana ke mari untuk mendapatkan buku yang mereka ingini. Alhamdulillah, hari ini saya dan keluarga berkesempatan ke PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Pesta ini bermula pada 17 dan akan berakhir 26 April iaitu pada esok hari. Ketibaan saya dan keluarga di sana sekitar pukul empat petang dan ketika itu terlalu ramai orang sehinggakan hendak berjalan dari satu gerai ke gerai yang lain terpaksa berhimpit2. Bilangan orang ramai pula semakin bertambah dari masa ke semasa. Tak sangka pulak orang Malaysia ini rajin juga ke tempat-tempat ilmu seperti ini kerana sangkaan saya mereka hanya ramai ke konsert Jom Heboh atau AF sahaja. Tahniah kerana sudah ada perubahan minda ke arah pembudayaan ilmu sesuai dengan tema pesta buku kali ini iaitu: "Buku: Lakaran Masa Depan."
Seronok tengok gelagat orang ramai yang datang dengan berbagai ragam. Ada yang datang seorang diri, ada yang berdua dengan pasangan dan tidak kurang yang datang dengan keluarga beserta anak-anak. Sudah tentu tujuan mereka ke sini adalah untuk membeli buku. Tidak dinafikan memang banyak buku yang dipamerkan disini dan inilah pameran buku terbesar pernah saya hadiri. Untuk itu saya tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan buku2 yang dihajati kerana amat sukar sebenarnya untuk mendapatkan buku2 ilmiah di pasaran. Setelah ditawaf beberapa kali gerai-gerai yang terdapat di situ maka dapatlah saya beberapa buah buku ilmiah seperti yang dihajati. Kebanyakannya adalah buku-buku dalam bidang pendidikan, psikologi dan kaunseling. Buku2 ini saya dapatkan di gerai MAPIM, DAWAMA dan Utusan. Boleh dikatakan semua judul terbaru dan lama berkaitan pendidikan, psikologi dan kaunseling yang terdapat di gerai itu saya beli selagi ia tiada dalam koleksi. Ikutkan hati mahu saja setiap gerai dilawati dan diteliti satu2 buku yang ada tetapi disebabkan mengejar masa untuk pulang ke rumah dan waktu solat saya pergi mana yang sempat sahaja. Terima kasih buat isteri tersayang yang sangup menjaga anak yang dah mula meragam akibat kekurangan tidur dan melayan kerenah saya yang sudah kelabu mata melihat buku2 tersebut ditambah pula dengan diskaun yang diberikan.
Peribahasa Melayu ada mengatakan "Melentur buluh biarlah dari rebungnya." Tidak dilupakan untuk anak kesayangan Nuur 'Atiiqah Mardhiyyah, saya belikan dia satu set buku pembelajaran dalam bahasa inggeris bertajuk “Gogo’s Adventures With English” terbitan Pearson yang didatangkan beserta pen yang boleh bersuara, buku aktiviti, DVD animasi, CD nyanyian dan kad imbasan. Boleh tahan juga harganya iaitu hampir mencecah RM2.2K untuk seunit. Harap dia menyukainya dan memanfaatkan set pembelajaran tersebut.
Membeli dan membaca buku sebenarnya satu pelaburan yang tidak akan dapat dilihat dalam masa yang singkat. Saya begitu yakin sekiranya tabiat ini diteruskan akan ada perubahan minda dari generasi ke generasi seterusnya menjadikan kita warga berilmu pengetahuan dan membentuk satu tamadun bangsa yang unggul. Saya tinggalkan penulisan ini dengan satu mutiara minda dari kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah berkaitan ilmu dan harta untuk difikirkan bersama:

'
"Ilmu itu lebih baik daripada harta,
sebab ilmu itu selalu menjagamu
dan sedangkan engkau selalu yang menjaga harta."
'
'
'