27 November 2009

Salam Aidil Adha Dari Putrajaya


Hari ini umat Islam menyambut sambutan Hari Raya Aidil Adha atau lebih sinonim dengan panggilan hari raya korban di kalangan penduduk kampung. Maka akan banyaklah terdapat lembu2 dan haiwan lain yang akan dikorbankan sempena menunaikan ibadah korban. Berbeza dengan perayaan Aidilfitri, perayaan Aidil Adha ini sebenarnya lebih bermakna bagi individu yang menunaikan ibadah haji di tanah suci dan individu yang melakukan ibadah korban kerana mereka beroleh sesuatu ganjaran daripada amalan tersebut. Kita yang tidak berkeupayaan melakukannya pula hanyalah menumpang tetapi tidak salah untuk turut meraikannya.
Bagi saya pula, tahun ini adalah tahun kedua selepas berumah tangga di mana saya dan isteri tidak pulang berhari raya bersama dengan kaum keluarga di kampung. Empat tahun sebelumnya begitu juga, di mana kami hanya beraya di rumah sewa yang terletak di Puchong kerana masalah kewangan membuatkan kami tidak mampu untuk pulang. Kini bukannya masalah kewangan menjadi penyebab tetapi lantaran masih ada tugasan yang perlu diselesaikan dan memandangkan isteri saya sibuk menghadap nota2 kerana menduduki peperiksaan maka pengorbanan tidak pulang berhari raya di kampung dilakukan semata2 untuk memberi peluang kepadanya agar dapat melakukan yang terbaik.
Kepada individu yang pulang berhari raya di kampung halaman berhati2lah ketika memandu dan sekiranya berada di kawasan yang banjir pastikan anak2 tidak bermain air supaya tiada yang terkorban di hari raya korban. Ambillah peluang untuk merapatkan tali ikatan kekeluargaan dan silaturrahim sesama umat. Buat sahabat2 yang sedang menunaikan haji di tanah suci dan semua umat Islam di sana didoakan agar kalian beroleh ganjaran haji yang mabrur dan sentiasa di dalam lindungan Allah s.w.t. Kuatkan semangat menghadapi dugaan di sana dan doakan pula kami menyusul selepas ini. Semoga amalan yang dilakukan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Nya. Buat sanak saudara dan sahabat handai atau sesiapa yang mengenali diri ini, mohon ribuan keampunan dan kemaafan dari kami sekeluarga di Putrajaya. Kullu 'am wa antum bi alfin khoir.
'
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, t
etapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya.
dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya"
(Surah Al-Hajj : 37)
'
'

02 November 2009

Bengkel Mengenal Minat Kerjaya


Hari ini di sekolah saya berkesempatan bersama dengan murid tahun enam mengadakan Bengkel Mengenal Minat Kerjaya. Satu program yang dirancang untuk memenuhi takwim program pasca UPSR dan sebagai pendedahan kerjaya untuk mereka. Perancangan awal adalah dengan menjemput seorang kaunselor cemerlang dari sekolah menengah berhampiran tetapi disebabkan beliau tidak dapat menghadirinya maka program tersebut hanya menjadi program peringkat dalaman sahaja. Menggantikan beliau tidak lain tidak bukan iaitu saya sendiri sebagai penceramah undangan.
Sebenarnya sudah agak lama saya tidak memberikan ceramah baik motivasi atau tazkirah pada khalayak umum. Rasa seakan diri ini kosong apabila agak lama tidak berkongsi ilmu dan berbincang secara ilmiah. Kesempatan dari kesempitan yang ada ini tidak saya lepaskan. Semalaman saya menyediakan bahan termasuk inventori dan video untuk paparan sewaktu ceramah kelak dan disesuaikan untuk aras murid tahun enam. Saya mengambil keputusan untuk menggunakan modul yang saya dapat dari En. Ab. Aziz Mohd Yatim iaitu personaliti VPI. Sudah dua kali saya mengikutinya dan kali ini saya yakin mampu untuk mengendalikannya sendiri.
Bengkel bermula pada pukul 11.30 dan berakhir sekitar jam 1.15 tengah hari. Permulaan murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam personaliti VPI iaitu RIASEC. Kemudiannya mereka dikehendaki menjawab inventori berkaitan dan disusuli dengan penafsiran personaliti tersebut satu persatu. Melalui pengamatan, mungkin kaedah ini satu pengalaman baru bagi murid2 kerana apabila saya memberitahu bahawa personaliti yang mereka wakili ada kaitannya dengan kerjaya, didapati mereka seolah2 teruja dan sebahagiannya kebingungan. Terdapat juga beberapa persoalan yang ditanya kepada saya sepanjang bengkel ini dan ia menjurus kepada minat dan personaliti kerjaya yang akan diceburi. Setelah melaluinya hingga akhir saya membuat kesimpulan bahawa mereka memahami minat dan personaliti dapat membantu mereka untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang sekiranya memilih dengan tepat bidang pengajian dan mendapat pengetahuan sepenuhnya mengenai kerjaya yang akan diceburi.
Bengkel ini merupakan pengalaman pertama saya berkaitan dengan kerjaya. Alhamdulillah saya dapat mengendalikannya dengan baik walaupun saya sedar agak terlalu tinggi aras penyampaian yang digunakan memandangkan ini adalah inventori tetapi dari riak wajah murid2 saya tahu mereka mendapat satu ilmu baru. Ilmu yang akan membantu mereka untuk menjadi seorang yang lebih mengenali diri, berupaya untuk menerjah, meneroka, mengeluarkan dan memanfaatkan potensi diri secara optimum.
'
'