14 February 2011

MencintaiMu Satu Kewajipan

Rasulullah s.a.w. merupakan seorang insan agung yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepada kita semua ummat Muhammad akhir zaman. Segala mengenai dirinya kita hanya mengetahui melalui pembacaan dan penceritaan daripada orang2 yang fakeh dalam hal ehwal keagamaan. Kepribadiannya begitu menyentuh dan meruntun jiwa lantaran kebaikan akhlak dan budi pekertinya yang mulia. Walau tidak pernah bertemu dan bersua muka tetapi kita adalah ummat yang pernah diingati dan pernah disabdakannya suatu ketika dahulu. Tidak akan ada lagi individu selepasnya yang mampu menandingi Baginda lantas memberikan segala kebaikan dan kebijaksanaan di dunia yang fana ini sebagaimana yang telah Baginda lakukan. Sesungguhnya Baginda adalah sinar penyuluh kegelapan dan pembawa rahmat sekalian alam.

Coretan kali ini ingin saya kongsikan rasa rindu cinta dan kasih saya kepada Baginda Rasulullah s.a.w yang amat kita semua kasihi. Tiada kata2 yang dapat diungkapkan untuk mengambarkan perasaan ini terhadap Baginda. Semoga kita semua dikenali Baginda dan mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak. Salam Maulidur Rasul 1432H daripada MutiaraMinda2u.
"Ya Rasulullah.. Sesungguhnya MencintaiMu Satu Kewajipan."
'
'

12 February 2011

Pengalaman Ceramah Motivasi Belajar PMR dan SPM di SMK Putrajaya Presint 11(2)

Seakan percaya atau tidak saya menerima undangan daripada SMK Putrajaya Presint 11(2) untuk menyampaikan ceramah motivasi belajar untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting iaitu PMR dan SPM. Undangan yang datangnya atas usaha seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling iaitu Puan Paidatalli menjadi kenyataan pada 07 Januari 2011 yang lalu apabila saya buat pertama kali bertandang ke sekolahnya.

Pertemuan bersama dengan pelajar sekolah menengah sebenarnya agak baru bagi saya walaupun sebelum ini sudah agak biasa dengan siswa siswi di poloteknik tempat dimana saya pernah menuntut ilmu suatu masa dahulu. Melalui alumninya, saya sering juga dijemput untuk melakukan program bersama mereka sekiranya berkelapangan. Kerisauan saya untuk program ini ada asasnya kerana pelajar yang saya berdepan ini merupakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting. Selama empat tahun ini, saya akui bahawa saya sudah mulai sebati dengan lenggok bahasa yang digunakan untuk murid sekolah rendah. Menerima jemputan bererti saya perlu untuk menaikkan laras bahasa saya agar lebih tepat dan secara langsung kepada sasaran.

Bermula dengan set induksi iaitu kisah 'yang hitam ke yang putih', saya berjaya untuk menjelekitkan peserta dengan saya. Apabila fasa pertama berjaya maka ia memudahkan lagi fasa seterusnya iaitu menyampaikan isi berpandukan objektif program dianjurkan. Dalam sesi ini saya banyak mengajak peserta untuk membuka minda agar turut berjaya seperti insan lain yang sudah berjaya. Menerangkan perbezaan antara individu bermotivasi dan tidak bermotivasi. Penerangan mengenai kuasa perubahan sikap dan kesan daripada komunikasi yang tidak betul terhadap diri sendiri dan rakan. Seterusnya ialah tips2 untuk menduduki peperiksaan dengan cemerlang dan yang terakhir tayangan video lagu 'pesan abang' nyanyian allahyarham Sudirman Haji Arshad sebagai motivasi kepada peserta untuk terus bersemangat menduduki peperiksaan.

Alhamdulillah hasil pengamatan, saya dapati pelajar memberikan fokus kepada isi penyampaian dan apa yang lebih mengharukan saya ialah apabila di akhir sesi tersebut mereka berpusu2 menemui saya untuk mengucapkan terima kasih. Ternyata mereka terus mengaplikasikan apa yang saya katakan sebelum ini dalam sesi ceramah tersebut. Terima kasih diucapkan kepada Pn. Paidatalli atas jemputan yang secara tidak langsung memberikan saya pengalaman berharga ini. Respon baik daripada guru2 dan pentadbir yang memerhati sepanjang sesi juga menjadikan ianya satu pengalaman yang manis buat saya. Insya'Allah momentum ini akan saya teruskan sehingga saya dapat melangkah ke Institut Pendidikan Guru atau universiti yang sememangnya menjadi impian saya selama ini. Mohon didoakan agar impian ini menjadi kenyataan. Ameen.
'
MutiaraMinda2u:
"Rahsia kejayaan dalam hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma pada bila-bila masa dan di mana jua."
'
"

11 February 2011

Lawatan Kerjaya di CUCMS

Satu lawatan kerjaya dan mesyuarat Majlis Guru Kaunselung (MGK) Putrajaya telah diadakan di Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) yang terletak di Cyberjaya. Program dua dalam satu ini berlangsung pada 26 Januari 2011 yang lalu dan saya berkesempatan untuk menghadirinya sebagai ahli dalam mesyuarat tersebut bersama dengan rakan Guru Bimbingan dan Kaunseling seluruh Putrajaya. Merupakan mesyuarat khas pertama MGK Putrajaya dalam tahun ini selepas kali pertama bertemu di Pejabat Pelajaran Daerah Putrajaya untuk urusan program bimbingan dan kaunseling Putrajaya bagi tahun 2011.

Mesyuarat ini dihadiri oleh dua orang pegawai dari PPD Putrajaya iaitu En. Kamaluddin dan En. Aris serta dipengerusikan oleh YDP MGK Putrajaya iaitu En. Saiful Effendi. Kehadiran ahli yang memberangsangkan dan di tempat yang kondusif membuatkan perjalanan mesyuarat terasa singkat. Agenda mesyuarat berkisar kepada pemilihan bendahari baru menggantikan bendahari lama yang telah menyambung pelajaran ke peringkat master, program2 untuk memantapkan bimbingan dan kaunseling di sekolah dan wilayah persekutuan, peranan kaunselor membantu murid2 KIA2M, Pembimbing Rakan Sebaya dan kaedah untuk menambahkan lagi dana MGK Putrajaya. Pelbagai reaksi dan pandangan diutarakan oleh ahli mesyuarat dan kata sepakat telah dibuat bagi tujuan tersebut untuk memastikan MGK Putrajaya lebih maju ke hadapan berbanding tahun sebelumnya.

Selepas mesyuarat para ahli diberikan sedikit taklimat oleh pihak pengurusan kolej universiti berkaitan bidang2 yang ditawarkan dan peluang2 pengajian yang boleh direbut oleh pelajar sekiranya berminat untuk belajar di sini. Selain itu sesi dialog bersama pentadbir juga turut diselitkan dalam taklimat tersebut. Ternyata apabila diberikan peluang ramai rakan guru yang teruja mendengar dan bertanyakan soalan bagi memastikan input berguna ini dapat disalurkan pula kepada anak didik di sekolah. Selesai mendengar taklimat kami dibawa untuk melawati sekitar kawasan kolej universiti melihat dan menziarahi fakulti2 dan fasiliti yang terdapat di dalamnya. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila berpeluang bersama dengan seorang rakan guru iaitu saudara Shaiful Shahrizam untuk melawat bilik mayat yang menempatkan mayat di universiti tersebut bagi tujuan ujikaji. Memandangkan universiti ini adalah universiti perubatan maka suasana sebegini adalah lumrah bagi pelajar2 tetapi bukan bagi saya. Seterusnya kami beredar ke meja santapan untuk menikmati hidangan makan tengahari yang disediakan oleh pihak kolej universiti.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak pengurusan kolej yang melayani kami sebaiknya dan pengalaman berada di CUCMS membuatkan kami Guru Bimbingan dan Kaunseling Putrajaya berasa begitu dihargai. Terima kasih juga kepada rakan guru yang mengaturkan perjalanan mesyuarat dan lawatan kerjaya ini. Sememangnya sebagai guru yang belum banyak pengalaman saya memang begitu dahagakan pengalaman dan perkongsian ilmu sebegini. Semoga kesudahan yang baik ini dapat saya curahkan semula kepada pelajar agar mereka juga turut merasai impak daripada lawatan ini.
'
MutiaraMinda2u:
"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik dari masa ke semasa."
'
:

Menghadiri Seminar KPTN 2011 Di Kuala Terengganu


Pada tanggal 13 hingga 16 Januari yang lalu saya berkesempatan untuk bersama2 dengan beberapa orang guru SMK sekitar Putrajaya menghadiri Seminar Peluang Pengajian Tinggi Negara Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Kuala Terengganu. Antara mereka, saya seorang sahaja merupakan guru daripada sekolah rendah dan pemergian saya adalah atas kapasiti mewakili seorang pegawai jabatan yang tidak dapat hadir memandangkan terdapat urusan lain yang tidak dapat dielakkan oleh beliau. Kesempatan yang ada tidak saya lepaskan tambahan pula saya akan bersama dengan En. Saiful Effendi iaitu seorang GBK SMK dan merupakan YDP MGK Putrajaya dan merangkap SU Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan. Seramai empat orang guru termasuk saya dan dua orang pegawai jabatan menjadikan kami kesemuanya seramai enam orang mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya. Bertolak ke Kuala Terengganu pada malam hari dengan menaiki bas dua tingkat menjadikan ia pengalaman terbaru buat saya ditambah dengan faktor jalan dan perjalanan yang panjang. Syukur kerana tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada kami sepanjang perjalanan tersebut.
'
Setibanya di sana kami mengnap di Hotel Permai Inn Kuala Terengganu. Boleh dikatakan acara yang disusun oleh pihak penganjur amat padat dan ia seakan menjadi lumrah bagi acara besar sebegini. Berdasarkan pemerhatian sepanjang program berlangsung, hampir kesemua IPTA tanahair mengambil bahagian dalam sesi taklimat yang diadakan. Cuma menariknya pada seminar kali ini IPTA tersebut telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu menjadikan sesi taklimat lebih berfokus dan mudah difahami. Tidak cukup dengan taklimat dari wakil IPTA pada sebelah malamnya pula diadakan bengkel untuk memasukkan data dan mengenalpasti bidang yang layak dipohon oleh pelejar bagi kemasukkan ke IPTA tertentu. Pengenalan kaedah pemohonan melalui atas talian dan semakan kelayakan melalui portal I-MAS-CU menjadikan seminar ini lebih interaktif dan berguna kepada kami para peserta dan sebagai input baru untuk disampaikan kepada pelajar di sekolah.
'
Selain acara di dalam dewan seminar para peserta juga dibawa untuk melawati gerai2 IPTA dan IPTS yang terdapat di Terengganu Trade Centre (TTC) iaitu tempat berlangsungnya acara perasmian bagi karnival ini. Memandangkan saya merupakan seorang yang lambat mesra dengan orang yang baru dikenali maka bersama En. Saiful Effendi saya banyak mempelajari cara bagaimana untuk berkomunikasi atau membina hubungan dalam masa yang singkat. Ternyata beliau merupakan seorang yang pakar dalam proses membina hubungan. Terima kasih atas tunjuk ajar yang diberikan kepada saya dalam menanggani perkara ini dan akan saya praktekkan ilmu ini kelak.
'
Ruang waktu yang ada di Kuala Terengganu saya manfaatkan untuk bertemu dengan sahabat yang pernah saya ceritakan dahulu iaitu saudara Tengku Azelam. Alhamdulillah beliau sudi meluangkan masa membawa saya dan En. Saiful bersiar2 sekitar bandar Kuala Terengganu. Antara tempat yang sempat kami lawati bersamanya ialah Pasar Payang, kilang membuat kain batik, perusahaan menbuat barangan tembaga, perusahaan membuat dan menjual keropok lekor dan gerai minuman gelas besar Kuala Terengganu. Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana sudi melayani kami sebagai tetamu di bumi Terengganu.
'
Pengalaman ke seminar ini sebenarnya telah membuka mata dan minda saya untuk memberikan pendedahan kepada anak murid di sekolah rendah berkaitan peluang2 pengajian dan institusi pengajian tinggi yang terdapat di dalan negara. Insya'Allah bertitik tolak dari kehadiran saya ke seminar ini, akan saya rangka satu program khas untuk memberikan pendedahan kepada mereka kelak.
'
MutiaraMinda2u:
"Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang."
'
'