01 January 2011

Tetamu Istimewa Dari Terengganu


Sebelum bermula cuti persekolahan yang lalu saya ada menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat iaitu Tn. Hj. Tengku Azelam yang merupakan rakan Guru Bimbingan dan Kaunseling dari Terengganu. Beliau merupakan YDP Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Negeri Terengganu dan kini telah melepaskan jawatannya kerana telah berkhidmat di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Terengganu sebagai pegawai di bahagian pengurusan kualiti. Bermula dengan menjadi rakan sebilik bersamanya suatu ketika dahulu dalam rangka beberapa siri program kaunseling di peringkat kebangsaan tidak menyangka bahawa beliau akan menjadi sahabat karib saya sehingga kini. Merupakan seorang yang merendah diri, banyak ilmu dan pengalaman membuatkan saya tidak merasa kekok mendampinginya walaupun terdapat perbezaan faktor usia di kalangan kami berdua. Mana tidaknya, saya merupakan guru yang masih baru dan mentah dalam dunia pendidikan sedangkan beliau sudah berpengalaman berbelas2 tahun lamanya berbanding saya.

Tulisan kali ini saya ingin kongsikan pengalaman menerima beliau sebagai tetamu istimewa di rumah saya. Alangkah terkejutnya saya pada suatu hari apabila mendapat tahu yang saudara Tengku mendapat nombor telefon saya dengan cara beliau melayari laman web sekolah dan kemudiannya mencari gambar saya pada laman berkenaan untuk memastikan benar bahawa saya mengajar di sekolah tersebut. Setelah itu berusaha pula untuk menelefon pihak sekolah untuk mendapatkan nombor saya memandangkan nombor sebelum ini telah hilang dari simpanannya. Usaha bersungguh2 beliau membuatkan saya terharu memandangkan ingatan beliau terhadap saya masih kuat walaupun kini sudah tidak lagi bersama dengan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK). Tindakan yang sangat berbeza dengan rakan baik semaktab saya dahulu yang kini apabila sudah posting terus menyepi tanpa khabar berita walaupun saya ada menghubunginya berbagai cara. Sedangkan di waktu dahulu kesana kemari selalu bersama tiap ketika hatta menjalani praktikal pun bersama. Biarlah, mungkin saya ini bukan sesiapa padanya.

Melalui perbualan saya bersama saudara Tengku saya ada mencadangkan agar beliau sekeluarga bermalam sahaja di rumah saya tetapi dengan berhemah beliau menolaknya dengan alasan tidak mahu menyusahkan saya ditambah lagi beliau sudah menempah bilik di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Perancangannya ke KL adalah untuk membawa anak2 bersiar2 sempena cuti persekolahan yang panjang. Alhamdulillah hari yang dinantikan menjadi kenyataan akhirnya apabila saya menerima kunjungan beliau pada hari sabtu di bulan Disember. Hanya berbekalkan alamat hasil sms tidak berapa lama kemudian kenderaannya meluncur di hadapan rumah saya membuatkan saya terkejut memandangkan sebelum ini ada rakan guru dari daerah berdekatan berkali2 menelefon untuk menanyakan arah ke rumah saya. Tabik spring kepada beliau kerana berjaya menemui rumah saya tanpa bantuan GPS atau peta lokasi. Di fikiran saya, sememangnya begitulah lagak orang yang banyak pengalaman.

Tika itu beliau hadir bersama dengan isteri yang juga merupakan seorang pendidik dan dua orang anaknya membuatkan rumah ini ceria seketika. Sepanjang berada di rumah saya banyak perkara yang kami bincangkan dan sempat juga saya menjamu mereka makan tengahari sebagai memori bertandang ke Putrajaya. Walau makanan ala kadar tetapi mereka menghargainya. Lebih menghiburkan apabila anak2 beliau mahu melihat saya menunjukkan aksi silap mata malahan sempat juga saya mengajarkan serba sedikit asas untuk melakukan silap mata sekiranya mereka ingin berbuat demikian kepada rakan2. Memandangkan banyak lagi tempat yang ingin ditujui maka beliau dan keluarga memohon izin untuk baransur pulang ke destinasi seterusnya. Menerima tetamu istimewa dari Terengganu ini mengingatkan saya bahawa persaudaraan dan persahabatan yang terjalin sekiranya disulami dengan kejujuran dan keikhlasan membuatkan hati menjadi riang dan tenang. Moga beliau sekeluarga tidak serik lagi untuk bertandang ke rumah saya apabila ke sini pada masa akan datang. Akhirul kalam salam kasih dan sayang daripada kami sekeluarga dari Putrajaya.
'
MutiaraMinda2u:
"Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tetapi amat sukar dilihat."