31 October 2009

Taubat Seorang Hamba


Hati hiba mengenangkan
Dosa2 yg ku lakukan,
Oh Tuhan Maha Kuasa,
Terima taubat hamba berdosa...
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x.....
Taubatku ini.....
'
Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan,
Kerana hilang dari jalan
menuju redhaMu ya Tuhan.
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x...
Taubatku ini...
'
Di hamparan ini ku meminta
moga taubatku diterima...
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x....
Taubatku ini...
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x..
Taubatku ini...
'
'
Ilmuwan Hati: Sebuah lagu nyanyian kumpulan Irsyadee bersama Hafiz Hamidun yang mempunyai auranya yang tersendiri apabila benar2 dihayati. Dapat menyentuh hati2 yang lalai daripada mengingati Pencipta dan sedar akan kelemahan serta kekurangan diri. Paling menyentuh jiwa apabila ia dapat menyedarkan diri bahawa semakin hari kita semakin jauh dengan Allah s.w.t. Dahulu semasa berada dalam keadaan susah kepadaNyalah tempat kita mengadu nasib tetapi kini apabila sudah beroleh kesenangan tikar sembahyang sering kali kita lupakan. Mengabaikan yang fardhu dan jauh sekali melakukan yang sunat. Selalu solat di akhir waktu. Tiada lagi linangan air mata yang membasahi pipi. Tiada lagi rengekkan memohon keampunan di kala orang lain sedang nyenyak tidur. Tiada lagi zikrullah dan perkataan taubat yang terpacul di mulut. Tiada keinsafan apabila melakukan kesalahan. Jiwa bagaikan mati walaupun jasad kesana kemari. Semoga bait2 lagu ini dapat mengembalikan kembali ingatan kita kepada Allah Rabbul Jalil. Menghidupkan kembali jiwa yang mati. Memberikan sinar kebahagiaan sebagai makhluk ciptaanNya. Menjadikan kita insan yang dipandang olehNya berbanding dengan insan2 yang lain di muka bumi ini. Semoga kita dijemput kembali kepadanya dalam keadaan yang tenang bersama keredhaanNya. Matikan daku dalam kalimahMu dan kesudahan yang baik. Terimalah taubat hambamu ini Ya Allah..
'
'

Sekitar Program Kem 1 Malaysia Putrajaya


Sebenarnya saya mempunyai tugas lain di sekolah untuk diselesaikan iaitu forum dan ceramah awal remaja tetapi memandangkan kekurangan guru untuk menjadi pengiring perkhemahan 1 Malaysia untuk murid2 tahun enam Putrajaya membuatkan saya mengalah dan bersetuju untuk mengikuti mereka. Persetujuan saya juga bersyarat iaitu sekiranya program anjuran unit bimbingan dan kaunseling ditunda. Lain dirancang lain pulak jadinya apabila hasil perbincangan dengan rakan kaunselor kami memutuskan untuk meneruskan juga forum dan ceramah awal remaja di sekolah memandangkan panel dan penceramah sudah dijemput dan persiapan rapi telah dilakukan. Walau terpaksa mengambil murid tahun 5 sebagai pesertanya kerana kekurangan murid tahun enam program tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Atas nasihat pentadbir saya ke perkhemahan tersebut setelah semua urusan saya di sekolah selesai dan untuk tujuan tersebut seorang guru perlu menggantikan tempat saya semalaman di tapak perkhemahan. Terima kasih kepada cikgu Ahmad Khairi kerana sudi menggantikan tempat saya di sana. Jasamu akan dikenang selamanya.
Perkhemahan yang berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 19-22 Oktober 2009 adalah anjuran Pusat Kokurikulum Negeri. Diadakan di Taman Wetlands Putrajaya dan seramai 238 peserta mewakili setiap sekolah rendah di Putrajaya. Sekolah saya sahaja diwakili oleh 40 orang peserta semuanya terdiri dari murid tahun enam dan empat orang guru pengiring. Saya tiba pada malam kedua tetapi pada waktu tersebut hujan amat lebat menyukarkan saya untuk masuk ke dalam kawasan perkhemahan. Apabila hujan renyai saya bersama seorang lagi guru iaitu cikgu Azian Nuddin ke tapak perkhemahan dan di sana saya dibekalkan dengan pakaian kem dan diberikan taklimat untuk keesokan harinya. Sedikit penerangan ringkas daripada kem komandan telah membantu saya mengetahui apakah tujuan sebenarnya kem ini dianjurkan. Pada malam itu juga saya berkesempatan bertemu dengan beberapa rakan kaunselor yang juga ditugaskan oleh sekolah sebagai guru pengiring. Ada juga di sana rakan semaktab saya yang sebelum ini berkhidmat di Johor tetapi kini sudah bertukar ke Putrajaya iaitu Cikgu Shaiful Shahrizam Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shah di sini. Pro-aktif dan ligat orangnya semenjak berada di sini.
Keesokan harinya selepas senaman dan sarapan peserta menaiki bas dan menuju ke Tugu Negara dan Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Kuala Lumpur. Banyak juga peserta yang mendapat hadiah sewaktu menjawab soalan kuiz semasa di memorial tersebut. Pulang dari lawatan peserta diajar bermain permainan rakyat pada waktu petang dan sebelah malamnya diadakan persembahan kebudayaan. Tidak banyak yang sempat saya bersama mereka memandangkan saya masuk pada hari kedua tetapi sedikit sebanyak saya dapat memerhatikan ragam anak didik Putrajaya yang melakukan perkhemahan juga di Putrajaya. Bersyukur sepanjang perkhemahan tiada berlaku apa2 kejadian yang tidak diingini seperti yang berlaku pada perkhemahan yang sama di perak. Sesungguhnya kejadian tersebut membuka mata saya agar lebih berhati-hati menerima tugas sebagai guru pengiring.

'
'

Sekitar Mesyuarat Pengurusan E-Pelaporan Kebangsaan Dan Kursus Pemantapan Disiplin PPWP Di Melaka.



Alhamdulillah sempat juga kali ini saya memasukkan entri berkaitan dua kursus yang telah saya hadiri di Melaka pada minggu2 sebelumnya. Lantaran kesibukan di sekolah dengan program2 akhir tahun membuatkan blog ini seakan tidak berfungsi begitulah juga dengan blog UBK sekolah yang sepi dari entri walau program2 mega rancak dijalankan. Uniknya entri kali ini saya akan ceritakan pengalaman saya menghadiri dua kursus sekali gus di negeri yang sama tetapi tempat yang berbeza. Kursus pertama yang dihadiri ialah Mesyuarat Pengurusan E-Pelaporan Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM. Ia bermula pada 5-7 Oktober 2009 dan bertempat di Hotel MITC Ayer Keroh Melaka. Kursus kedua pula adalah Kursus Pemantapan Disiplin Murid Dalam Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya bertempat di Hotel Seri Costa Melaka bermula 6-8 Oktober 2009.
Saya ke Melaka bersama dengan rakan kaunselor iaitu En. Saiful Effandi juga merupakan Jurulatih Utama untuk pelaporan L8 SMK Putrajaya manakala saya adalah Jurulatih Utama SK Putrajaya. Sepanjang masa bersama beliau banyak perkara dan ilmu yang saya dapat kutip terutamanya dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Semasa di MITC Melaka kami didedahkan bagaimana untuk mendapatkan data L4 dari guru2 sekolah sekitar Putrajaya melalui FTP (file transfer protokol). Tiada kesukaran yang timbul kerana Putrajaya tidak mempunyai banyak sekolah berbanding dengan negeri2 lain. Segala-galanya disiapkan dengan sempurna dengan bantuan rakan JU Kebangsaan.
Malam berikutnya kami ke Hotel Seri Costa pula untuk mengikuti satu lagi kursus anjuran PPWP iaitu pemantapan disiplin dan b&k untuk tahun hadapan. Semua guru bimbingan dan kaunseling terpilih Putrajaya ada di sini dan telah dibahagikan tugas mengikut bidang masing2. Saya ditugaskan untuk mengajar berkaitan pelaporan L4 dan mengumpulkannya menjadikan L8 untuk dihantar ke jabatan. Taklimat disampaikan oleh super administrator kebangsaan En. Norhisham Omar memudahkan lagi kerja saya di sana.
Menarik pada perjumpaan ini ialah kami warga guru bimbingan dan kaunseling sepakat ke medan ikan bakar yang terletak di Pengkalan Pernu, Umbai. Perjumpaan ini adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan kami sepanjang tahun ini mengendalikan program2 bagi peringkat wilayah dan kebangsaan selain untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Memang meriah apabila semua guru bimbingan dan kaunseling makan bersama dan boleh dikatakan gamat bot yang dijadikan meja santapan khas untuk kami. Melalui dua pengalaman ini saya semakin berkobar2 untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk warga sekolah dan wilayah. Bersama kita membitarakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.
'
'

07 October 2009

Lebaran: Menyatukan Dan Merapatkan Ikatan Kekeluargaan


Kejayaan mengumpulkan keluarga besar sebelah emak saya untuk bergambar bersama dengan Wan dan Tok adalah sesuatu yang menggembirakan. Sebenarnya perancangan menganjurkan majlis sebegini telah lama berlaku sekitar empat tahun dahulu tetapi disebabkan kekangan dari segi pengumpulan ahli keluarga dan kamera yang sesuai untuk tujuan ini membuatkan segalanya terhenti setakat perbincangan sahaja.
Pada awal tahun ini keluarga besar ini diuji dengan Tok (opah) mengalami masalah kesihatan iaitu muntah darah berlebihan dan kekurangan air dalam badan sehinggakan kami semua merasakan ketika itu seakan saat perpisahan dengannya terlalu hampir. Berkat doa dan bacaan surah yaasin beramai2 dari anak2 dan cucu2nya, Alhamdulillah tok dibenarkan keluar dari wad di saat orang sekelilingnya telah pun dijemput oleh Illahi kembali ke Rahmatullah. Syukur dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Esa kerana memanjangkan lagi usia Tok untuk bersama dengan kami di dunia fana ini. Kami semua begitu menyayangi dirinya.
Bertitik tolak dari peristiwa itu perasaan untuk menyatukan keluarga besar ini semakin membuak2. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berbincang semula dengan ibu saudara (Mak Teh) bagi menyusun program yang telah lama tergendala itu. Kali ini lebih mudah kerana saya sendiri memiliki kamera DSLR Nikon D80 untuk tujuan penggambaran. Segala perbincangan diatur lebih awal dan lebih menarik apabila program ini juga mendapat sokongan padu dari ahli keluarga saya sendiri seperti isteri tersayang, kakak ieja, Baim, Abang Don, Adik Siti, Emak Dan Ayah yang banyak membantu sehingga program ini berjalan lancar.
Pada tanggal 21 September 2009 bersamaan 02 Syawal 1430H maka program yang dirancangkan menjadi kenyataan. Majlis berlangsung di rumah Wan dan Tok di kampung Lahar Minyak, Kepala Batas Pulau Pinang. Semua lapan adik-beradik Mak hadir dan membawa keluarga masing2. Terdapat beberapa orang sahaja yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan urusan lain. Majlis pada hari tersebut bermula dengan semua ahli keluarga berkumpul kemudiannya memasak untuk hidangan tengah hari. Selepas selesai memasak maka semua menjamu selera dengan masakan ala kampung yang disediakan oleh chef kampung juga. Sedap dan berkhasiat makanan yang disediakan secara gotong-royong ini. Kemudian semua terus ke sesi bergambar dan ia dimulai dengan bergambar sesama ahli keluarga kecil dahulu sehinggalah keluarga besar. Acara memberikan duit raya kepada anak saudara tidak ketinggalan dan agak mencuit hati apabila melihat mereka berbaris panjang untuk mendapatkannya. Terakhir adalah aktiviti bermaaf-maafan antara ahli keluarga.
Tidak dilupakan pengambilan salasilah keluarga juga dilakukan bertujuan untuk merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan sebagai rujukan kepada generasi pelapis. Terima kasih kepada Mak Teh yang bertindak sebagai penyelaras program dan semua ahli keluarga atas kerjasama yang diberikan. Semoga program ini dapat diadakan lagi dengan lebih meriah pada tahun2 mendatang dan selaku penganjur bersama yang mencadangkan majlis ini mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga dengan adanya majlis ini ikatan kekeluargaan kita semakin rapat dan kembali bertaut. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.