29 March 2009

Satu Pengalaman, Satu Pengiktirafan dan Satu Penghargaan..

Hampir 3 minggu lamanya saya tidak menulis di dalam blog ini disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan di sekolah, jabatan, kementerian, urusan peribadi dan keluarga. Saat ini barulah saya berkelapangan menulis walaupun badan tidak berapa sihat akibat demam yang sudah hampir 2 minggu masih belum kebah. Di sini ingin berkongsi pengalaman iaitu pada 10 hingga 12 Mac 2009 yang lalu selama tiga hari saya berkampung dengan rakan kaunselor sekolah rendah dan menengah seluruh negara di Hotel Federal Kuala Lumpur untuk menyediakan modul khas bimbingan untuk sekolah rendah. Keberadaan kami di sana adalah dalam rangka menghadiri Mesyuarat Pengurusan Modul Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Bil 1/2009. Mesyuarat atau bengkel yang diadakan ini sedikit sebanyak memberikan saya input berguna sebagai seorang guru bimbingan dan kaunseling. Tujuan program ini diadakan adalah untuk merangka modul khas bimbingan sekolah rendah yang akan diguna pakai oleh semua guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah di Malaysia.
Penyertaan saya dalam program ini merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan dan tidak pernah saya fikirkan yang saya akan memperolehi peluang sebegini dalam masa perkhidmatan yang cukup singkat. Mana tidaknya saya bersama-sama dengan sahabat kaunselor atau dengan nama lainnya Guru Bimbingan Dan Kaunseling seluruh negara yang lebih senior dan begitu banyak pengalaman. Bahkan mereka ini boleh digelar sebagai ‘Otai Kaunselor Sekolah’. Peluang sebegini sememangnya satu pengalaman yang cukup beharga buat saya yang masih baru dalam dunia pendidikan. Apa yang lebih menggembirakan hati saya adalah di dalam majlis ini semua guru bimbingan sekolah rendah telah diberikan pengiktirafan dari segi gelaran kerana selepas ini mereka akan dikenali sebagai Guru Bimbingan Dan Kaunseling bukan lagi Guru Bimbingan sahaja seperti dahulu. Gelaran ini juga adalah sama dengan gelaran yang diberikan kepada guru sekolah menengah. Syabas dan tahniah buat anda semua!
Semasa di bengkel ini saya dikelaskan bersama dengan beberapa orang guru untuk menyediakan modul dalam bidang ‘psikososial dan kesejahteraan mental’. Alhamdulillah hasil komitmen semua orang 30 modul dapat dihasilkan oleh kumpulan kami dan telah pun dibentangkan dalam bengkel tersebut. Apa yang perlu sekarang ialah penambahbaikan kepada modul-modul tersebut dan khabarnya pada 13 hingga 15 April ini di Melaka. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai di PPWP Putrajaya iaitu En. Kamaluddin kerana memberikan peluang kepada saya seorang guru baru untuk bersama-sama dalam merangka modul dan bersama dengan nama-nama besar dalam dunia pendidikan. Ucapan terima kasih juga kepada Kak Rubi iaitu seorang Kaunselor Cemerlang dan merupakan YDP Majlis Guru Kaunseling Putrajaya kerana tidak lokek mencurahkan pengalaman dan ilmu serta menerima saya seadanya. Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat seperjuangan dari Putrajaya. Bersama kita memartabatkan profesion perguruan.
'

'

'

08 March 2009

Salam Untukmu Ya Rasulullah..

'
Ya Rasulullah
Salam Buatmu Duhai Kekasih Allah
Kami Sentiasa Mengingatimu
Wahai Penghulu Ambia'
'
Ya Rasulullah
Kini Tibalah Detik Yang Bersejarah
Hari Kelahiranmu Yang Ditunggu
Detik Gemilang
'
Seluruh Alam Bergembira
Dengan Kedatangan Dirimu
Bagaikan Rembulan Mengambang
Membawa Cahaya Yang Terang
Hapuslah Segala Kejahilan
Musnahkan Segala Kezaliman
'
Ya Rasulullah Ya Habiballah
'
Sejarah Perjuanganmu
Diingat Dikenang Kembali
Dijadikan Contoh Tauladan
Di Dalam Mengharungi Kehidupan
'
Tabahnya Dirimu Ya Rasul
Menempuhi Dugaan Tuhan
Biar Pun Dicaci Difitnah
Semangatmu Terus Menyala
Akhirnya Membawa Kecemerlangan
Akhirnya Membawa Kemenangan
'
Ya Rasulullah Ya Habiballah
'
'
'