28 January 2009

Catur, Mencatur Dan Percaturan

Persoalan mencatur satu percaturan kebiasaannya adalah persoalan yang berlegar di sekitar pemimpin. Ini kerana secara kebiasaannya hanya pemimpin berhak mencatur kerana mereka mempunyai kuasa dan pengaruh walaupun sebaliknya penentuan sebenar dibuat oleh ahli atau majoriti. Baru-baru saya berhadapan dengan realiti yang telah saya sebutkan. Pada asasnya pemimpin yang memegang jawatan terdahulu dilihat berlapang dada menerima kepimpinan baru tetapi timbul pula masalah di kalangan ahli dan kepimpinan baru yang merasakan mereka tidak serasi untuk bersama memikul jawatan yang diamanahkan. Sebenarnya sesiapa sahaja sekiranya diberi peluang memegang amanah memang hanya akan berkolaborasi dengan orang yang disukainya sahaja. Tetapi mana mungkin berlaku demikian di dalam sebuah organisasi besar yang diwakili oleh pelbagai watak dan karakter manusia. Pastinya setiap individu ini mempunyai cara berfikir dan tindakan yang berbeza-beza. Alangkan di dalam sesebuah rumahtangga yang majoritinya kecil pun sudah mempunyai perbezaan sehingga kadangkala berlaku perceraian.
Antara kehendak dan kemahuan, harus diingat ketentuan Illahi sebenarnya melebihi segalanya. Sebagai makhluk yang diciptakan kita kena menerima hakikat bahawa kita boleh merancang dan mencatur tetapi hakikat dan ketentuan adalah dari Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Yakinlah bahawa segala yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Belajarlah berlapang dada untuk menerima segala ketentuan yang ditentukanNYA. Lupakan sebentar titik perbezaan, bergandinglah di atas titik persamaan dan atas nama perjuangan. Sebahagian kata-kata perjuangan seorang mujahid agung untuk direnungkan bersama;
'
“Sekiranya kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, tentu sekali kita akan merasa sempit dada kerana terlalu banyak perkara yang belum dapat kita selesaikan. Tetapi sekiranya kita mengetahui bahawa ini adalah sebahagian daripada perjuangan para nabi, sahabat dan generasi terdahulu tentu kita akan berlapang dada kerana kita adalah sebahagian daripada mata-mata rantai perjuangan mereka dan pastinya mata rantai ini akan terus bersambung sehingga ke hari kiamat.”
'
'
'

23 January 2009

Guru Sebagai Pemeriksa Kutu Kepala

Agak melucukan dan menggelikan hati tetapi itulah hakikatnya apabila anda berada di dunia pendidikan atau alam perguruan. Tidak tertanggung dengan kerja yang bertimbun-timbun saban hari mahu ditambah pula dengan kerja yang titik bengik.
Asas penulisan kali ini adalah berdasarkan maklumat bahawa terdapat permintaan dari seorang ibu agar guru membuat pemeriksaaan kerana terdapat masalah kutu di kalangan murid. Sebenarnya soal guru memikul tugas orang lain adalah perkara lumrah bagi saya. Sewaktu di Institut Pendidikan Guru (IPG) dahulu para pensyarah telah pun memberikan pendedahan berkaitan hal ini termasuklah sewaktu mengikuti program Bina Insan Guru (BIG). Masih tergambar lagi saat saya bersama rakan-rakan berhempas pulas memikir dan menulis di atas kertas sebak peranan-peranan tidak rasmi guru di sekolah. Antara yang kami tulis ialah guru sebagai pengasuh, tukang cuci, tukang kebun, tukang gunting rambut, warden trafik, tukang kayu, pembuat garisan di padang, pengawal keselamatan dan bermacam-macam lagi. Boleh dikatakan penuh kertas sebak tersebut dengan peranan tidak rasmi guru telah kami tulis. Kejadian hari ini mengingatkan saya rupa-rupanya dalam banyak-banyak tugas yang telah ditulis kami terlupa bahawa guru juga adalah pemeriksa kutu kepala.
Buat ibu yang budiman, cukuplah guru dibebankan dengan tugas-tugas yang bukan tugas hakiki seorang guru. Sehinggakan ada guru yang terlalu menjaga kebajikan anak orang lain menyebabkan kebajikan anaknya terabai. Anak orang kemas bersih anak guru tidak terurus. Anak orang mendapat keputusan cemerlang, anak guru sekadar mendapat markah cukup makan. Dalam hal ini, tidak timbul isu kutu kepala sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing. Melatih anak berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri. Sentiasa mengingatkan anak agar menitik beratkan soal kebersihan dan penjagaan rambut yang sempurna. Membelikan alatan kebersihan seperti sabun dan syampoo untuk anak-anak serta mendapatkan rawatan sekiranya terdapat jangkitan kuman, kutu dan sebagainya. Apabila semua ini dilaksanakan saya rasa tidak timbul lagi isu kutu di kalangan pelajar. Maka secara tidak langsung tiada lagi guru yang akan memeriksa kutu kepala tetapi kembali kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan memeriksa lembaran kerja.
'
“Menyelesaikan masalah pelajar umpama memadamkan api yang marak membara, puncanya perlu dicari dan difahami, barulah masalah dapat diatasi."
'
'

18 January 2009

Tanggungjawab


Merupakan satu perkataan yang sinonim dengan kita dan mempunyai banyak maksud yang tersirat dan tersurat di dalamnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga tanggungjawab bererti kewajipan yang dipikul oleh seseorang. Ini bermaksud seseorang itu berkewajipan untuk memikul tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Pada pendapat saya pula, sebenarnya tanggungjawab adalah lebih daripada huraian tersebut. Ia bukan sahaja kewajipan untuk memikul amanah atau beban tugas tetapi si pemikul amanah ini perlu untuk menjawab dan dipertanggungjawabkan atas amanah yang telah diberikan. Sebab itu dalam ajaran Islam dititik beratkan soal kehidupan semula setelah mati. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyoal semula adakah amanah dan tanggungjawab yang diberikan telah dilaksanakan dengan sempurna atau sebaliknya. Amanah yang dimaksudkan disini adalah amanah yang merangkumi semua tanggungjawab kita. Baik amanah dengan Pencipta, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, agama mahupun alam semesta. Apa yang penting adalah adakah kita mempunyai jawapan kepada setiap persoalan yang diutarakan. Seperti jawapan seekor burung kecil yang pada dasarnya tidak mampu tetapi berusaha juga untuk memadamkan api yang membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim 'alaihissalam. ketika dibakar oleh Namrud. Sekiranya ada Alhamdulillah mungkin kita akan terlepas dari siksaan tetapi sekiranya yang ada hanya alasan bukan jawapan maka anda sendiri dapat menjangkakan apakah balasan yang selayaknya diterima. Saya tinggalkan penulisan ini dengan mutiara minda dari saya untuk difikirkan bersama;

"Kebiasaannya kita hanya asyik membahagikan masa kita supaya kita tidak terlalu sibuk tetapi kita terlupa untuk membahagikan dan mengagihkan tugas kita supaya tidak mengambil masa dan menyibukkan orang lain"
'
'
'

11 January 2009

Hayya Rijal, Hayya Bil Jihad..!!


Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran :

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (Surah Al-Ma'idah: Ayat 54-56)
'
'
'

07 January 2009

Allahu Rabbi... Allahu Rabbi.. Allahu Rabbi...

MENYAYAT HATI... Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hanya nampak kepala ditemui di bawah runtuhan rumahnya yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza, semalam.

Mengalir airmataku apabila melihat gambar ini.. Ya Allah.. Engkau Maha Berkuasa, Ya Allah.. Engkau Mengetahui segalanya.. Sesungguhnya hanya kepadaMu kami berserah dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan.. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbar..
,
,

Doa Qunut Nazilah Untuk Palestin..


Ya Allah..
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher
musuh-musuh kami
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka
Ya Allah..
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing Mu Ke atas mereka
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan yang penuh raksasa
Wahai tuhan yang bersifat murka
Ya Allah.. Ya Allah.. Ya Allah..
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.

*Memandangkan keganasan masih berterusan dan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban. Menyakini bahawa doa itu senjata mukmin yang paling ampuh. Bersama-samalah kita berdoa agar saudara-saudara kita di Palestin diselamatkan oleh Allah s.w.t. diberi kekuatan dan pertolongan kepada pejuang-pejuang yang sedang berjihad disana serta menghancurkan Zionis Israel laknatullah.. Ameen..
'
'
'

06 January 2009

Kejam Lagi Zalim..

Itulah ungkapan yang layak dan sesuai diberikan kepada tentera Israel apabila menatap gambar menyayat hati seorang lelaki Palestin meraung ketika mengecam mayat tiga anaknya yang terkorban akibat bedilan kereta kebal Yahudi di Hospital Shifa, Gaza, semalam. Beliau terpaksa ditenangkan kerana terlalu sedih atas kejadian yang berlaku. Ketiga-tiga kanak-kanak tidak berdosa ini merupakan mangsa kepada kekejaman yahudi laknatullah. Sedih, syahdu, pilu, menyayat hati, geram dan berbagai lagi perasaan bercampur baur apabila membawa diri untuk turut sama berempati. Hakikatnya saya sendiri tidak mampu untuk menerima ujian sebegini. Na’uzubillah..
'
'
'

05 January 2009

Selamat Bertugas Warga Pendidik


Assalamualaikum Cikgu!
Mutiaraminda2u mengucapkan selamat bertugas semula kepada semua warga pendidik yang berada di seluruh pelosok negara. Kepada sahabat-sahabat KPLI-Bimbingan dan Kaunseling IPDA ambilan Januari 2007 dan rakan seperjuangan dari bidang yang lain, didoakan agar kalian sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif dan terapeutik di sekolah masing-masing. Semoga dengan kedatangan tahun baru 2009 dan 1430H ini menjadikan kita warga pendidik lebih bersemangat untuk mendidik serta membimbing anak bangsa ke arah pembentukan mentaliti dan akhlak kelas pertama. Berbangga dan bersyukurlah kita ditakdirkan untuk menjadi warga pendidik kerana tugas ini merupakan satu tugas yang mulia. Bersama memartabatkan profesion perguruan.
'
'