Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

08 June 2009

Menunggu Untuk Menjadi Suami Yang Soleh

“Untuk menjadi isteri yang solehah dia perlu menunggu suaminya menjadi soleh, tetapi untuk menjadi suami yang soleh dia tidak perlu menunggu isterinya menjadi solehah.” Satu ungkapan yang dikeluarkan oleh seorang ustaz dari seberang juga merupakan kenalan kepada seorang ustaz tempatan yang sekarang ini sedang menghadapi masalah rumah tangga.
Saya sebenarnya tidak mahu untuk membicarakan tentang masalah rumah tangga ustaz yang dimaksudkan tetapi lebih kepada ungkapan al-fadhil ustaz yang telah mengeluarkan kalam di atas. Pada saya ungkapan tersebut merupakan satu ungkapan yang tulus mulus dari seorang sahabat kepada sahabatnya. Ungkapan yang pendek tetapi mempunyai maksud tersirat, tersimpul rapi dan padat. Hanya orang2 yang mahu berfikir sahaja akan dapat menyelami maksud tersebut seterusnya melaksanakan dalam kehidupan berumah tangga.
Sememangnya diakui bahawa untuk menjadi seorang isteri yang solehah dia perlu untuk menunggu suaminya terlebih dahulu menjadi suami yang soleh kerana segala tindak tanduk seorang isteri terikat dengan keizinan dari suaminya. Untuk berpuasa sunat pun perlu mendapatkan izin suami apatah lagi untuk keluar pergi menuntut ilmu yang sememangnya perlu mendapat keizinan dari suami. Sekiranya tidak berbuat demikian, maka dia akan digelar seorang isteri yang nusyuz. Banyak pantang larang yang menyekat seorang isteri dari menjadi isteri yang solehah apabila suaminya tidak soleh. Seandainya ada di kalangan isteri yang mampu menjadi isteri solehah dalam keadaan suaminya tidak soleh maka satu penghormatan perlu diberikan kepadanya kerana berjaya memecah tradisi dan mencarik adat perjalanan sebagai isteri solehah.
Menjadi suami yang soleh pula tidak memerlukan seorang suami itu menunggu isterinya menjadi isteri solehah kerana suami tidak memerlukan perkenan atau keizinan dari isteri untuk melakukan sesuatu. Sang suami boleh berbuat apa sahaja untuk menjadikan diri sebagai seorang lelaki yang soleh kerana dia berkeupayaan melakukannya. Menuntut ilmu agama, bersolat jemaah di masjid dan surau, berbakti kepada kedua orang tuanya, mendekatkan diri dengan alim ulama, bersedekah, memberi makan anak yatim dan sebagainya boleh dilakukan sekiranya dia mahu melakukannya. Kesemua perkara yang dinyatakan dan perkara kebaikan yang lain dia mampu lakukan tanpa perlu mendapat keizinan dari isterinya. Cukup sekadar memberitahu kepada isteri akan perbuatan yang hendak dilakukannya sudah memadai walaupun isteri tidak memberikan persetujuan kerana kata pemutus adalah hak suami.
Memandangkan sekarang merupakan musim cuti sekolah atau lebih sinonim musim kenduri kahwin, maka kepada pasangan yang sudah berkahwin berusahalah untuk menjadi suami dan isteri yang soleh dan solehah dalam keluarga anda. Di sini juga suka saya ingatkan kepada individu yang belum mendirikan rumah tangga terutamanya wanita, carilah pasangan anda yang mempunyai potensi untuk menjadi suami yang soleh sekiranya anda bercita-cita untuk menjadi isteri solehah kepadanya. Sekiranya tidak, maka janganlah anda impikan untuk menjadi isteri solehah seterusnya memiliki zuriat yang dinamakan sebagai anak soleh dari keturunan anda. Hal ini kerana, anak yang soleh akan lebih mudah lahir dari keluarga yang ibu dan ayahnya juga soleh dan solehah walaupun tidak semestinya demikian. Fikir-fikirkan..
'
'
'

07 February 2009

Pemimpin Yang Adil

'
*Bait-bait lirik nasyid kumpulan hijjaz yang yang bertajuk 'Pemimpin Yang Adil'. Menceritakan perihal pemimpin yang dikehendaki dan diimpikan oleh orang bawahannnya. Amat berguna sekali sekiranya dijadikan panduan oleh pemimpin dalam memimpin. Hayati dan renungi maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik lirik ini. Semoga menjadi pemimpin yang adil.
'
'

11 January 2009

Hayya Rijal, Hayya Bil Jihad..!!


Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran :

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (Surah Al-Ma'idah: Ayat 54-56)
'
'
'

07 January 2009

Doa Qunut Nazilah Untuk Palestin..


Ya Allah..
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher
musuh-musuh kami
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka
Ya Allah..
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing Mu Ke atas mereka
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan yang penuh raksasa
Wahai tuhan yang bersifat murka
Ya Allah.. Ya Allah.. Ya Allah..
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.

*Memandangkan keganasan masih berterusan dan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban. Menyakini bahawa doa itu senjata mukmin yang paling ampuh. Bersama-samalah kita berdoa agar saudara-saudara kita di Palestin diselamatkan oleh Allah s.w.t. diberi kekuatan dan pertolongan kepada pejuang-pejuang yang sedang berjihad disana serta menghancurkan Zionis Israel laknatullah.. Ameen..
'
'
'

18 December 2008

Keluarga Bahagia

"Kebahagiaan dicipta bukan dicari..." kata-kata ini pernah aku ungkapkan kepada seorang rakan semaktabku yang hendak melangsungkan perkahwinannya tidak lama dahulu dan dengar khabarnya sekarang sudah pun mempunyai cahaya mata. Melihat kepada situasi masyarakat sekarang yang institusi kekeluargaannya seakan terumbang ambing disamping berlaku banyak kes perceraian di kalangan pasangan yang baru berkahwin serta yang sudah lama mendirikan rumahtangga, ada baiknya jikalau kata-kata diatas dijadikan renungan bersama. Kebahagiaan sememangnya perlu dicipta di dalam rumahtangga. Penciptanya pula tidak lain dan tidak bukan ialah pasangan pernikahan itu sendiri. Perbincangan dari hati ke hati, kesabaran yang tinggi, bertolak ansur serta menerima pasangan seadanya adalah kunci bagi menyelamatkan perhubungan. Ramai orang hanya mahu menerima kelebihan tetapi tidak mahu menerima kelemahan pasangan. Suami yang baik dan isteri yang solehah pastinya akan mencipta kebahagiaan mereka sendiri kerana bagi mereka pasangan hidup bukan hanya di dunia tetapi pasangan ini juga pastinya akan dipertemukan di akhirat.

'