28 July 2009

Pengalaman Terakhir Bengkel Penulisan Modul Perkhidmatan B&K SR Peringkat Kebangsaan di Hotel Goldcourse, Klang

Sudah agak lama saya tidak update blog mutiaraminda2u ini. Mohon maaf kepada pengunjung yang sentiasa melayari blog dari semasa ke semasa menantikan sekiranya ada artikel baru dari saya. Perhatian daripada anda semua membuatkan saya bersemangat untuk mengaktifkannya semula walaupun jadual saya agak padat kebelakangan ini. Untuk makluman, menyepinya saya sebelum ini bukan kerana tiada perkara yang hendak dikongsikan tetapi sebaliknya. Akibat terlalu banyak perkara yang hendak dikongsi membuatkan saya terpaksa menangguhkan penulisan di dalam blog ini. Semuanya seakan penting untuk ditulis di sini. Hari ini saya nekad untuk menyelesaikan masalah ini dengan membuat keputusan untuk berkongsi pengalaman terkini saya dan insya'Allah pengalaman dan cerita-cerita yang terhenti sebelum ini akan menyusul kemudiannya.

Baru-baru ini pada tanggal 27 hingga 30 Julai 2009 saya bersama dengan rakan kaunselor terpilih seluruh negara sekali lagi berkampung untuk menyiapkan modul perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah rendah. Bezanya kali ini adalah lokasinya iaitu di Hotel Goldcourse Klang. Bengkel ini adalah kesinambungan bengkel yang diadakan sebelum ini di merata tempat iaitu di Kuala Lumpur, Melaka, Sepang Selangor dan kali ini ia diadakan di Klang Selangor. Merupakan bengkel penulisan modul perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah rendah ke-4 anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia dan bengkel yang terakhir diadakan untuk tujuan ini.

Dalam perjumpaan kali ini kami guru-guru Bimbingan dan Kaunseling dikehendaki untuk menyiapkan sepenuhnya modul bimbingan dan kaunseling untuk diguna pakai oleh guru bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah. Tiada banyak perkara yang perlu dilakukan lagi kerana modul sudah sedia ada cuma perlu penambahbaikan dari segi susunan ayat dan format. Dalam bengkel ini peserta telah dipecahkan kepada enam kumpulan mengikut tahun bagi memudahkan kerja penambahbaikan dan pemurnian dilaksanakan. Alhamdulillah berkat kesabaran sahabat-sahabat Guru Bimbingan dan Kaunseling maka modul dapat disiapkan dengan jayanya dan bahan tersebut telah diedarkan kepada semua peserta yang akan bertindak sebagai jurulatih utama (JU) peringkat negeri masing-masing.
'
Setiap pertemuan pastinya diakhiri dengan perpisahan. Majlis penutup pada kali ini merupakan majlis terakhir untuk bengkel ini. Bermakna selepas ini kami tidak lagi akan bertemu seperti sekarang. Sekiranya ada lagi pertemuan mungkin hanya sebilangan kecil dan untuk tujuan yang lain pula. Majlis pada hari terakhir cukup bermakna buat saya dan sahabat-sahabat. Sebuah kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan oleh saya kerana menyertai penulisan modul ini dan apa yang lebih bermakna hasil kerja kami akan diamalkan oleh insan lain. Semoga menjadi ilmu yang bermanfaat buat kami semua. Di sini saya siarkan doa munajat yang cukup syahdu yang telah dibacakan oleh Cikgu Tn. Haji Muhamad Adi bin Ismail dalam majlis penutup bengkel ini. Semoga ia dapat menjadi panduan buat kita semua dalam melaksanakan amanah sebagai pendidik.
'

Al - Fatihah

PadaMu Ya Allah kami Munajat

Moga kami dalam selamat

Berkumpul kami dengan 1 matlamat

Mencari redhoMu beramal ibadat

'

Membina modul perkasa diri
Moga sempurna khidmat diberi
Berjuang disekolah bina generasi
Moga beroleh ganjaran ukhrawi
'
Dari itu Ya Ilahi
Tancap kokohkan Iman di hati
Gemburkan keyakinan di sanubari
Hiasi kami akhlak yang murni
Mohon ganjaran terbaik di sana nanti
'
PadaMu Ilahi kami merayu
Bimbinglah kami dengan WahyuMu
Moga hidup kami bahagia selalu
Berkekalan ke akhirat dengan syahdu
'
Kiranya usia kami ini singkat
Matikan kami dalam rahmat
Selesakan kami di liang lahad
Ceriakan kami dalam penantian akhirat
Amin Ya Rabbal 'Alamin...
'
'
'

21 June 2009

Kasih Ibu Membawa Ke Syurga, Kasih Bapa Menjauhi Neraka

Selamat Hari Bapa diucapkan kepada semua bapa terutamanya kepada ayah yang berada di kampung jauh nun di utara tanahair. Sekiranya semasa sambutan hari guru dahulu rata-rata yang memberikan ucapan adalah di kalangan guru-guru. Rasanya tidak terkecuali sambutan hari bapa ini iaitu hanya isteri, anak dan bapa sahaja yang meraikannya. Lebih mengurangkan keceriaan suasana hari ini berbanding dengan hari ibu kerana bapa adalah golongan yang tidak banyak berkomunikasi dengan anak2 walaupun jauh di sudut hati mereka tetap mahukan penghargaan sebagaimana seorang ibu diraikan pada hari ibu.
Perkara ini berlaku terhadap diri saya sendiri iaitu untuk berbual dengan emak tiada masalah walaupun lama tetapi untuk berbual dengan ayah walaupun tiada apa yang menganggu tetapi tidak boleh terlalu lama. Samada saya atau ayah yang akan tukar topik atau terus memberikan telefon kepada emak untuk disambung bicaranya dengan alasan ayah sibuk dengan tugas sebagai peniaga. Entah kenapa hal ini berlaku saya sendiri tidak mengetahuinya padahal kedua2nya banyak soalan yang hendak ditanya dan perkara yang hendak dibualkan. Ayah lebih selesa bertanya kepada emak apa yang dibualkan dan meminta emak menanyakan apa yang hendak ditanyakannya kepada saya. Apa yang penting saya memahami bahawa kurangnya bicara tidak bererti ayah tidak mengambil berat atau tidak mempedulikan kami anak2nya kerana itulah ayah. Saya merasakan semua ayah termasuk saya juga berperangai sedemikian. Kami tidak tahu untuk berbicara panjang sebagaimana seorang ibu tetapi jauh di sudut hati kami perasaan sayang, cinta dan kasih kepada anak2 sama seperti ibu2. Cuma bezanya kami tidak mampu mempamerkannya dan kalau dipamerkan pun caranya tidak sebagaimana para ibu mempamerkannya. Kasih sayang ayah lebih bersifat perlakuan daripada kata-kata. Itulah uniknya insan yang bergelar ayah.
Malam ini tersentuh hati saya apabila melihat pergorbanan seorang ayah yang dipaparkan dalam buletin utama sebentar tadi. Si ayah sanggup memberikan salah satu buah pinggang kepada anaknya yang mengalami masalah buah pinggang yang kronik. Itulah erti sebenar kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah kerana pada ayah tiada apa yang diinginkan melainkan kebahagiaan anak2nya walaupun dia tidak berkesempatan merasainya. Memikirkan anak kecil saya pagi2 lagi sudah mengucapkan selamat hari bapa kepada saya maka saya gagahi diri sebentar tadi menelefon ayah untuk mengucapkan selamat hari bapa kepadanya. Walaupun terlewat tetapi saya tahu masih ramai yang tidak mampu berbuat demikian kerana masing2 malu alah dan segan dengan bapa masing2 sedangkan mereka sendiri sudah bergelar ayah. Masakan seorang ayah tidak memahami perasaan ayah. Gembira dihati kerana ayah yang mengangkat telefon walaupun agak sibuk kerana ada pelanggan yang mengunjungi kedai. Malam ini dapatlah saya berbicara lebih sedikit dengan ayah berbanding hari biasa.
Untuk pengetahuan pembaca sekalian, ayah saya bekerja sebagai peniaga kedai kopi miliknya sendiri di kampung. Ayah mengucapkan terima kasih kerana saya mengucapkan selamat hari bapa kepadanya. Dalam perbualan antara kami berdua saya mengatakan kepadanya bahawa saya dapat merasakan apa ayah rasakan kerana saya sekarang sudah mempunyai anak. Mendengar luahan tersebut, dengan nada perlahan ayah membetulkan saya dengan katanya, saya dan adik beradik sekarang sudah senang kerana telah mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara anak2. Tidak seperti ayah dahulu yang tidak mempunyai kerja tetap untuk menyara anak2. Terkelu lidah tidak terucap kerana saat itu juga saya membayangkan apa yang diungkapkan oleh ayah kerana ketika itu nasib keluarga kami memang susah. Ibarat kata pepatah "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Ayah terpaksa bekerja sebagai buruh binaan untuk mendapatkan wang bagi perbelanjaan isi rumah dan menampung persekolahan kami 4 beradik ketika itu. Menurut cerita emak, semasa bekerja sebagai buruh binaan ayah pernah terjatuh dari tingkat dua banggunan. Syukur tiada sebarang kecederaan serius yang berlaku. Selepas kejadian tersebut dan atas nasihat emak, ayah memberanikan diri menebalkan muka memulakan perniagaan kedai kopi secara kecil-kecilan di kampung. Alhamdulillah, berkat pengorbanan ayah dan mak akhirnya kami dapat keluar dari belenggu kemiskinan. Sehingga kini ayah dan emak meneruskan perniagaan tersebut walaupun mereka sentiasa keletihan.
Terima kasih ayah. Terima kasih atas segala pengorbanan. Terima kasih atas kasih sayang yang dicurahkan. Terima kasih atas didikan yang diberikan. Terima kasih atas segalanya. Doakan anakmu ini menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraanmu di dunia dan akhirat. Ku bersyukur kerana engkau ayahku dan ingin ku khabarkan padamu bahawa engkaulah sumber inspirasiku dan engkaulah wira hatiku.. Terima kasih Ayah!
'
'
'

08 June 2009

Menunggu Untuk Menjadi Suami Yang Soleh

“Untuk menjadi isteri yang solehah dia perlu menunggu suaminya menjadi soleh, tetapi untuk menjadi suami yang soleh dia tidak perlu menunggu isterinya menjadi solehah.” Satu ungkapan yang dikeluarkan oleh seorang ustaz dari seberang juga merupakan kenalan kepada seorang ustaz tempatan yang sekarang ini sedang menghadapi masalah rumah tangga.
Saya sebenarnya tidak mahu untuk membicarakan tentang masalah rumah tangga ustaz yang dimaksudkan tetapi lebih kepada ungkapan al-fadhil ustaz yang telah mengeluarkan kalam di atas. Pada saya ungkapan tersebut merupakan satu ungkapan yang tulus mulus dari seorang sahabat kepada sahabatnya. Ungkapan yang pendek tetapi mempunyai maksud tersirat, tersimpul rapi dan padat. Hanya orang2 yang mahu berfikir sahaja akan dapat menyelami maksud tersebut seterusnya melaksanakan dalam kehidupan berumah tangga.
Sememangnya diakui bahawa untuk menjadi seorang isteri yang solehah dia perlu untuk menunggu suaminya terlebih dahulu menjadi suami yang soleh kerana segala tindak tanduk seorang isteri terikat dengan keizinan dari suaminya. Untuk berpuasa sunat pun perlu mendapatkan izin suami apatah lagi untuk keluar pergi menuntut ilmu yang sememangnya perlu mendapat keizinan dari suami. Sekiranya tidak berbuat demikian, maka dia akan digelar seorang isteri yang nusyuz. Banyak pantang larang yang menyekat seorang isteri dari menjadi isteri yang solehah apabila suaminya tidak soleh. Seandainya ada di kalangan isteri yang mampu menjadi isteri solehah dalam keadaan suaminya tidak soleh maka satu penghormatan perlu diberikan kepadanya kerana berjaya memecah tradisi dan mencarik adat perjalanan sebagai isteri solehah.
Menjadi suami yang soleh pula tidak memerlukan seorang suami itu menunggu isterinya menjadi isteri solehah kerana suami tidak memerlukan perkenan atau keizinan dari isteri untuk melakukan sesuatu. Sang suami boleh berbuat apa sahaja untuk menjadikan diri sebagai seorang lelaki yang soleh kerana dia berkeupayaan melakukannya. Menuntut ilmu agama, bersolat jemaah di masjid dan surau, berbakti kepada kedua orang tuanya, mendekatkan diri dengan alim ulama, bersedekah, memberi makan anak yatim dan sebagainya boleh dilakukan sekiranya dia mahu melakukannya. Kesemua perkara yang dinyatakan dan perkara kebaikan yang lain dia mampu lakukan tanpa perlu mendapat keizinan dari isterinya. Cukup sekadar memberitahu kepada isteri akan perbuatan yang hendak dilakukannya sudah memadai walaupun isteri tidak memberikan persetujuan kerana kata pemutus adalah hak suami.
Memandangkan sekarang merupakan musim cuti sekolah atau lebih sinonim musim kenduri kahwin, maka kepada pasangan yang sudah berkahwin berusahalah untuk menjadi suami dan isteri yang soleh dan solehah dalam keluarga anda. Di sini juga suka saya ingatkan kepada individu yang belum mendirikan rumah tangga terutamanya wanita, carilah pasangan anda yang mempunyai potensi untuk menjadi suami yang soleh sekiranya anda bercita-cita untuk menjadi isteri solehah kepadanya. Sekiranya tidak, maka janganlah anda impikan untuk menjadi isteri solehah seterusnya memiliki zuriat yang dinamakan sebagai anak soleh dari keturunan anda. Hal ini kerana, anak yang soleh akan lebih mudah lahir dari keluarga yang ibu dan ayahnya juga soleh dan solehah walaupun tidak semestinya demikian. Fikir-fikirkan..
'
'
'

05 June 2009

Chawautaya Sinkafwaulamha

Mutiaraminda2u mengucapkan selamat bercuti kepada semua pendidik dan anak didik sekalian. Manfaatkanlah masa cuti ini dengan aktiviti yang berfaedah. Kepada pelajar2 yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM harus diingat bahawa masa cuti bukan bererti anda tidak perlu membuka buku untuk mengulangkaji pelajaran. Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk anda menempuhi peperiksaan. Kejayaan anda dalam peperiksaan harus diberikan keutamaan. Buat yang lain, rehatkan fizikal, rehat minda, rehat jiwa dan tenangkan fikiran anda semasa cuti ini. Semoga ia dapat memberikan ketenangan dan semangat baru apabila memasuki semula alam persekolahan. Berhati2 sepanjang cuti persekolahan ini dan jaga keselamatan diri anda.
'
'

01 June 2009

Permata Ayah Ibu Di Masjid Abdul Rahman Bin Auf Petaling Bahagia

“We can share the experience, but we cannot buy the experience” begitulah bunyi satu peribahasa dalam bahasa inggeris yang masih saya pegang dari dahulu sehinggalah sekarang. Sememangnya sesuatu pengalaman itu boleh dikongsi tetapi ia tidak boleh dibeli walaupun seseorang itu mempunyai wang ringgit yang banyak. Hal ini kerana setiap pengalaman yang dilalui lebih tinggi nilainya dari nilaian wang ringgit di dunia ini. Hanya insan yang terpilih sahaja dapat melaluinya dan setiap pengalaman antara individu ini pastinya berbeza. Orang bijak kebiasaannya akan mengambil pengalaman orang lain untuk dijadikan pedoman dan sempadan buat dirinya agar tidak lagi melakukan kesalahan yang sama atau cuba melakukan kejayaan yang lebih sempurna dari pengalaman orang sebelumnya.
Bertitik tolak dari mukaddimah itu, maka hari ini saya ingin berkongsi pengalaman saya menyampaikan ceramah motivasi dan sesi muhasabah diri bersama dengan pelajar dan ibu bapa di Masjid Abdul Rahman Bin Auf di Petaling Bahagia, Selangor.
Program ini anjuran Nisa’ Lembah Pantai dan Jawatankuasa Masjid Abdul Rahman Bin Auf ini berlangsung pada 30 Mei 2009. Membariskan tiga orang penceramah jemputan iaitu Al-Fadhil Ustaz Roslan Mohamed, Raziman Mazli Noutwil dan saya sendiri. Ustaz Roslan merupakan pensyarah UM juga panelis rancangan Al-Kuliyyah tv3 dan Halaqah tv9 merupakan penampilan istimewa untuk program bersama ibu bapa di waktu petang. Saya dan seorang lagi penceramah bersama dengan peserta untuk slot 1 dan 2 di sebelah pagi dan di sebelah petang pula hanya slot untuk saya seorang bersama dengan peserta disamping ditemani isteri tercinta, adik ipar dan anak kecil saya Nuur ‘Atiiqah Mardhiyyah yang baru berusia tiga tahun memerhati saya berceramah dari jauh.
Kehadiran peserta untuk program ini amat memberangsangkan iaitu seramai 109 orang. Peserta terdiri dari pelajar sekolah lelaki dan perempuan kawasan sekitar. Walaupun pada asalnya program ini hanya terbuka kepada pelajar2 tingkatan 1 hingga 3 sahaja tetapi disebabkan permintaan ibu bapa maka terdapat juga adik2 tahun 5 dan 6 sekolah rendah yang menyertainya. Cukup mengujakan apabila saya berceramah di hadapan pelajar2 sekolah menengah sedangkan sebelum ini saya lebih sinonim dengan pelajar2 sekolah rendah. Disebabkan audien berubah maka saya terpaksa menaikkan sedikit laras percakapan saya agar dapat disesuaikan dengan jiwa mereka. Alhamdulillah untuk slot pertama yang bertajuk “Masa Depan Anda Di Tangan Anda” saya dapat sampaikan dengan baik dan lancar dibantu bahan bantu mengajar iaitu powerpoint dan audio visual dan lembaran kertas. Kerjasama yang diberikan oleh peserta membuatkan saya tidak sedar masa berlalu dengan begitu pantas. Syukur untuk slot ini saya sudah berjaya menjalankan rappo dengan peserta. Langkah ini memudahkan saya untuk menjalankan slot seterusnya yang lebih mencabar.
Selesai penceramah kedua memberikan ceramahnya peserta menjamu selera dan bersolat zohor berjemaah di masjid terbabit. Slot ketiga dan ke empat adalah slot yang diberikan kepada saya untuk bersama dengan peserta dan iu bapa. Untuk slot ketiga saya diminta untuk mengadakan sesi muhasabah diri kepada peserta. Sesi ini saya mulakan dengan menayangkan video2 berkaitan bagi menyedarkan peserta tentang peranan mereka terhadap ibu bapa sesuai dengan tajuk yang di beri kepada saya iaitu “Permata Ayah Ibu”. Selesai melihat satu persatu video peserta kemudiannya diproses dengan menggunakan teknik imagery. Alhamdulillah teknik tersebut berkesan menyedarkan peserta dan kesan itu ditambah lagi dengan alunan zikir2 munajat. Zikir dialunkan bertujuan agar peserta tidak hilang fokus terhadap yang Maha Pencipta melebihi makhluk ciptaanNYA. Disebabkan terlalu menjiwai watak seorang anak dan rasa sayang dan kasih kepada mak dan ayah saya juga tidak terkecuali bersama dengan peserta turut mengalirkan airmata. Di sinilah saya merasakan betapa kuatnya tautan kasih sayang yang dikurniakan Illahi antara ibu, ayah dan anak. Subhanallah… selesai muhasabah peserta2 ini akhirnya dipertemukan dengan ibu bapa mereka dalam satu sesi yang dinamakan “Jejak Kasih” untuk tujuan bermaaf-maafan. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan ibu bapa memberikan kerjasama yang cukup baik sewaktu sesi ini dijalankan.
Setelah semuanya selesai dan sedang saya mengemaskan peralatan terdapat beberapa orang peserta datang mengucapkan terima kasih disamping memeluk erat badan saya. Dalam kebanyakan mereka itu, terdapat seorang peserta telah meluahkan isi hatinya kepada saya. Antara kata-katanya yang menyentuh hati ialah “Ustaz, saya ada adik-beradik 7 orang tetapi hanya saya seorang yang sembahyang.”
Fahamlah saya bahawa peserta ini memahami mesej ceramah saya sebelum ini iaitu sekiranya tiada di kalangan ahli keluarga kita yang mahu menadah tangan kepada Allah memohon doa terhadap kedua ibu bapa kita maka kitalah yang perlu melakukannya. Mudah2an dia menjadi anak soleh yang mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya. Beruntunglah ibu dan bapa sekiranya anak mereka mahu menjadi anak soleh dan solehah yang selalu mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat. Kepada peserta lain, ingatlah pesanan saya semasa di program tersebut, jadilah anak soleh dan solehah kepada kedua ibu bapa kalian dan buktikan bahawa anda benar2 permata ayah ibu. Kepada penganjur, jutaan terima kasih di ucapkan atas pengalaman berharga ini. Semoga usaha yang sedikit ini menjadi bukti bahawa kita tidak lari dari memikul tanggungjawab untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran.
'
Ilmuwan Hati bersama Ustaz Roslan Mohamed
'
'

24 May 2009

Ceritera Ceria: Kura-kura 3 Sahabat


Pada suatu hari, ada 3 ekor kekura (kura-kura) nak pergi bekelah bersama-sama. Kekura pertama membawa makanan, Kekura kedua membawa minuman, sedangkan kekura ketiga tidak membawa apa-apa pun selamber je lenggang perut.
Dalam perjalanan tiba-tiba hujan pun turun dengan lebat dan derasnya, sehingga mereka tak boleh meneruskan perjalanan. Kemudian timbul perbualan di antara mereka.

Kekura 1 : "Ermmm..... salah sekor dari kita mesti balik untuk ambil payung. Siapa yang nak pergi ni?"
Kekura 2 dan 1 saling pandang memandang, dan sepakat menuding Kekura 3.
Kekura 3 : "Tak nak ahhh.. Aku jalan lambat dan nanti aku nak sampai sini lagilah terlambat. Sure korang akan bedal semua makanan ni."
Kekura 1 & 2 : "Taklah.. Kita orang tunggu sampai kau datang."
Kekura 3 : "Betul??? Kalau aku lambat 1 jam?"
Kekura 1 & 2 : "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura 3 : "Kalau 3 jam ??"
Kekura 1 & 2 "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura 3 : "Kalau 1 hari ?? "
Kekura 1 & 2 : "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura 3 : "3 hari ???
"Kekura 1 & 2 :"Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura 3 : "5 hari???? "
Kekura 1 & 2 : "Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura 3 : "1 minggu? "
Kura 1 & 2: ""Kita orang akan tetap tunggu."
Kekura 3 : "2 minggu?"
Kekura 1 & 2: "Kita orang akan tetap tunggu. Kau pergi jelah!!"

Dengan berat hati, akhirnya Kekura 3 pun berangkat. Kekura 1 & 2 menunggu dengan setia. Sehari, dua hari dan seminggu telah berlalu. Kekura 3 tak jugak balik balik. Setelah dua minggu berlalu, Kekura 1 & 2 sudah tidak dapat menahan lapar.

Kekura 1 : "Aku dah tak tahan lapar ni. Kita makan jelah! "
Kekura 2 : "Aku pun dah nak pengsan ni. Jomlah kita perabih makanan ni."

Tiba-tiba Kekura 3 muncul dari semak-semak dan menjerit. "Hoii!!!!!!!! Nasib baik aku belum pergi lagi... kalau tak sure korang habiskan makanan ni kan kan????!!!!!!!!"

Ilmuwan Hati: Pada hari minggu ini sengaja saya paparkan cerita ini buat penghibur anda semua dan sebagai bahan untuk diceritakan kepada anak2 atau anak didik anda sekalian. Sebuah cerita yang menarik penuh dengan moral ini saya dapat dari satu laman blog tidak lama dahulu. Dalam kehidupan yang serba mencabar ini, kita pasti akan bertemu dengan kawan-kawan yang seperti kura-kura ini. Ada kawan yang sanggup bersusah payah dengan kita dan ada kawan yang sanggup mengambil kesempatan terhadap kebaikan kita. Kebijaksanaan kita memilih kawan akan membuatkan kita mendapat kebaikan yang terdapat pada kawan tersebut sebaliknya kegagalan kita memilih kawan akan membuatkan kita terjerumus bersama dengan kejahatan dan kegagalannya. Sedih melihat generasi muda sekarang yang sanggup membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan berkawan dengan kumpulan2 yang langsung tidak memberikan manfaat kepada kehidupannya di masa akan datang. Ingatlah bahawa kawan yang baik akan menarik kita ke pintu syurga dan kawan yang tidak baik akan menolak kita ke jurang api neraka. Na’uzubillahimin zaalik!
'
'

23 May 2009

Antara Ayam Dan Ekor Dimana Silapnya..


Terdapat satu pengalaman menarik yang ingin saya kongsikan iaitu kejadian yang berlaku apabila saya pulang ke kampung baru-baru ini. Kesempatan berada di tempat orang saya gunakan dengan menemani ibu mertua ke pasar siang yang terletak di Pekan Chemor Perak. Tujuan kami ke sana adalah untuk membeli barangan basah untuk dijadikan lauk santapan tengahari. Untuk makluman, Pekan Chemor adalah sebuah pekan kecil yang komposisi penduduknya pada saya lebih kurang sama bagi setiap bangsa.

Al-kisah hendak dijadikan cerita apabila tiba sahaja di pasar tersebut saya menyuruh ibu mertua pergi dahulu ke dalam pasar kerana saya hendak meninjau apakah barangan yang dijual di bahagian luar pasar. Tiada banyak bezanya barangan yang dijual di sini berbanding pasar tempat saya. Sedikit bezanya mungkin pada individu yang menjadi peniaga di sini kerana peniaga di tempat saya majoritinya adalah berbangsa Melayu. Selesai memantau keadaan di luar maka saya membuat keputusan untuk masuk melihat apakah pula yang dijual di dalam pasar. Melangkah saja masuk mata saya terpaku pada seorang makcik yang berbaju kurung berwarna biru lengkap bertudung sedang berbual2 dengan seorang amoi cina di gerai menjual ayam dan itik. Hati kecil tertanya2 apakah yang dibualkan mereka. Perasaan ingin tahu saya membuak2 lalu menggerakkan kaki pergi meninjau gerai amoi tersebut sambil berpura2 mencari ibu mertua. Sekali lagi mata saya terpaku pada seekor itik yang terkulai layu dengan kesan tebuk di leher yang diletakkan di atas meja peniaga terbabit disamping beberapa ekor ayam. Walaupun perasaan was2 makin menebal tetapi saya pedulikan sahaja kerana berfikiran positif bahawa mereka hanya berbual kosong. Tanpa lengah saya mendapatkan ibu mertua yang sedang sibuk membeli ikan keli di sudut kanan pasar.

Ramalanku benar belaka tatkala hendak keluar dari pasar saya dapat melihat makcik tadi membawa beg plastik berisi ayam yang telah siap dipotong dari gerai amoi tadi. Astaghfirullahhal’azim… beristighfar panjang saya dengan situasi tersebut kerana sudah pasti ayam itu tidak disembelih dengan betul mengikut cara Islam. Melalui pemerhatian tambahan, terdapat satu gerai orang Islam di pasar itu tetapi harganya cuma mahal 10 sen dari pesaingnya yang berbangsa cina. Takkanlah dengan harga lebih 10 sen makcik tersebut sanggup memasukkan makanan yang haram ke dalam mulut keluarganya. Rasa macam nak menjerit sahaja kepada makcik itu dan bertanya atas sebab apakah dia tidak mahu membeli ayam di gerai orang Islam yang sudah pasti halalnya. Adakah disebabkan 10 sen terlalu besar sehingga dia tergamak lakukan demikian. Sekiranya benar saya akan berikan wang saya kepadanya.

Aneh dan aneh, kerana saya rasa macam ada sesuatu lagi yang akan berlaku selepas ini. Kebetulan sewaktu hendak menuju ke kereta sambil tangan membimbit barangan yang dibeli, saya dan mertua melalui sebuah kedai menjual nombor ekor. Apa yang membuatkan saya terkesima kali ini adalah bila melihat terdapat seorang lelaki memakai topi keledar baru sahaja selesai membeli nombor ekor di kedai tersebut. Paling menyedihkan kerana dia bersama dengan seorang budak lelaki berumur lebih kurang 10 tahun. Sudah pasti budak itu adalah anaknya dan anak tersebut melihat ayahnya sendiri membeli nombor ekor. Na'uzubillah.. Yang halal itu terang dan yang haram itu juga terang, persoalannya di sini kenapa lelaki itu membawa anaknya ke tempat sebegitu. Kalau ayah sendiri sudah tergamak memberikan contoh tidak baik kepada anak kandungnya apa lagi yang boleh saya katakan.

Kejadian yang diceritakan di sini adalah sekelumit dari kisah yang berlaku di hadapan mata dan saya amat pasti ia juga turut berlaku di tempat lain. Dua kejadian benar ini benar2 membuatkan saya berfikir dan terus berfikir sehingga ke hari ini ditambah pula bila memikirkan kemelut yang melanda negeri tersebut sekarang. Apakah kesudahan yang berlaku kepada mereka selepas ini. Persoalan ini saya lontarkan pula pada anda untuk memikirkannya. Antara ayam dan ekor di manakah silapnya?
'

20 May 2009

Guru Ibarat Suria Menyinari Alam Tanpa Menyusahkan Dirinya

Walaupun tanggal 16 Mei sudah berlalu tetapi saya masih lagi berada dalam mood hari guru tambahan pula majlis sambutan hari guru peringkat sekolah masih belum diadakan. Hal ini adalah kerana guru-guru di sekolah sekarang sedang sibuk menyiapkan kertas soalan memandangkan peperiksaan pertengahan tahun akan diadakan pada minggu hadapan iaitu pada 25 hingga 28 Mei ini. Oleh yang demikian sambutan hari guru yang sepatutnya diadakan dalam minggu ini terpaksa dilewatkan dan akan diadakan pada 29 Mei 2009 iaitu hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan tahun.
Ahli-ahli psikologi berpendapat sekiranya sesuatu perkara difikirkan secara positif maka hasilnya juga akan menjadi positif. Begitulah juga sekiranya sesuatu perkara difikirkan secara negatif maka hasilnya juga akan turut menjadi negatif. Bertitik tolak dari pendapat tersebut, penulisan saya kali ini akan berkisar kepada perumpamaan atau bidalan orang2 dahulu terhadap guru. Pastinya kita sudah acapkali mendengar perumpamaan yang mengatakan “Guru ibarat lilin, membakar diri menyinari yang lain”. Pada hemat saya perumpamaan ini buat masa kini, sudah tidak lagi relevan. Guru sebenarnya bukanlah lilin sebaliknya adalah sang suria yang menyinari alam semesta. Sekiranya guru diibaratkan sebagai lilin maka sudah pasti ruang untuk guru berbakti adalah terhad berdasarkan kemampuannya yang tidak seberapa. Apalah sangat yang diharap pada lilin kerana cahayanya tidaklah secerah mana malah lebih tragis apabila habis sumbunya maka jasadnya pun entah ke mana. Sekiranya guru diibaratkan sebagai lilin maka guru tersebut sudah pasti tidak berkemampuan untuk menyebarkan ilmunya malangkaui batas kemampuannya yang terhad dan seperti lilin juga apabila sudah habis umurnya maka tiada siapa lagi akan mengenangkan jasanya. Sungguh malang nasib guru yang diibaratkan sebagai lilin.
Guru alaf baru perlu dijenamakan semula. Cubalah anda bayangkan sekiranya guru diibaratkan sebagai suria maka sudah pasti ruang lingkup khidmatnya untuk berbakti adalah luas. Cahaya sang suria menyinari alam di waktu pagi, dinihari dan petang. Apa yang menarik untuk difikirkan, walaupun pada waktu senja cahayanya tetap lebih cerah daripada cahaya lilin. Ini bermaksud, guru sebagai pemberi ilmu dapat menyampaikan ilmunya dan diguna pakai oleh sekalian ummat di atas muka bumi ini. Kehadiran sang suria dinantikan setiap pagi oleh makhluk bernyawa kerana memberikan harapan baru untuk mereka mencari rezeki. Begitulah juga kehadiran seorang guru di sekolah pasti dinantikan oleh anak didiknya yang dahagakan ilmu pengetahuan. Guru laksana suria tidak perlu untuk menyusahkan dirinya kerana dengan kemampuan yang sedia ada dia mampu untuk menjaga dirinya sendiri disamping terus memberikan cahaya ilmu kepada jiwa. Apabila suria telah tiada di muka bumi maka bererti kiamatlah dunia ini beserta dengan isinya. Itulah gambaran seorang guru atau murabbi yang sebenarnya apabila dia meninggalkan dunia.
Kesimpulan dari penulisan ini, ternyata bahawa guru ibarat lilin adalah guru yang biasa-biasa sahaja tetapi guru ibarat suria adalah guru yang luar biasa baik dari segi perilaku mahu pun ilmunya. Pilihan di tangan anda wahai insan yang bernama guru. Bersamalah kita menjenamakan semula profesion yang mulia ini agar tidak dipandang sebelah mata.
'
'
'

15 May 2009

Selamat Hari Guru Kepada Semua Guru

'
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan bernama guru yang kini berkhidmat di seluruh pelosok negara Malaysia samada di pedalaman, luar bandar mahupun di bandar. Kepada guru-guru yang sudah berpencen dari menjalankan tugas terima kasih atas jasa dan sumbangan anda. Ucapan ini ditujukan khas terutamanya kepada guru-guru yang telah mengajar saya selama ini bermula dari bangku sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke menara gading dan maktab perguruan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kalian dalam menyampaikan ilmu serta keikhlasan kalian telah menjadikan saya sebegini. Sebagai pelapis perjuanganmu wahai guruku, ketahuilah bahawa sekarang tibalah masa saya pula menggalas beban kalian mendidik anak bangsa untuk menjadikan mereka insan yang berguna agar dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara apabila mereka dewasa kelak. Satu tanggungjawab yang amat berat dan besar di atas pundak kepala saya dan satu pekerjaan yang tidak pernah saya impikan sewaktu kecil dahulu tetapi Allah telah memilihnya buat saya. Syukur padaMu Ya Allah dengan pekerjaan yang mulia ini dan Terima kasih Cikgu!
'
"Sekiranya kamu memuliakan guru maka kamu pasti akan mendapat keberkatan dan kemuliaan ilmu, dengan kemuliaan tersebut pastinya suatu hari nanti kamu akan dimuliakan orang kerana sikap dan perbuatanmu yang telah memuliakan guru."
'
'
'

Belum Pasti Di Atas Atau Di Bawah, Pastinya Akan Ke Bawah Tanah

Terdapat ramai rakan bloggers yang meminta saya untuk memberikan respon berkaitan situasi politik yang melanda negara terutamanya kemelut yang berlaku di negeri Perak. Sebenarnya bukan tujuan blog ini diadakan untuk membahaskan hal-hal politik kerana ia lebih kepada pengalaman dan isu-isu pendidikan berdasarkan bidang dan pengetahuan saya. Kenyataan tersebut tidaklah bermakna saya cuba untuk mengasingkan antara agama dan politik kerana sememangnya saya mengakui agama dan politik tidak dapat dipisahkan. Sebagai seorang pendidik blog ini akan terus memberikan fokus kepada bidang pendidikan disamping tidak mengabaikan tanggungjawab untuk mengajak dan menyeru pembaca agar berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu situasi dan kondisi berdasarkan ilmu dan fakta. Penulisan kali ini bukan bertujuan untuk menentukan siapa yang benar dan yang salah tetapi sekadar untuk menyatakan apa yang sepatutnya berlaku dan dilakukan sebagai seorang pemimpin. Berpegang kepada tangline “Melihat Dari Mata Burung Bukan Dari Mata Tempurung” maka saya mengajak pembaca sekalian untuk melihat situasi ini dari sudut yang berbeza.
Sebagai pemimpin yang berjiwa besar sudah tentulah mereka perlu menyakini bahawa harta, pangkat dan kekayaan tidak memberikan erti kepada kehidupan yang abadi kerana apa yang lebih penting adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t. disamping amal kebajikan yang dilakukan. Tidak penting samada di dunia ini anda berada di atas atau di bawah tetapi yang lebih penting adalah sewaktu anda berada di bawah tanah iaitu di alam barzakh untuk menuju satu kehidupan yang kekal abadi. Pemimpin yang sedar akan bertemu dengan Tuhannya pasti akan melakukan sesuatu yang baik dengan mengutamakan orang bawahan disamping cuba mendapatkan keredhaan dari Tuhannya. Hal ini kerana setiap perbuatannya akan dipertanggungjawabkan di hadapan mahkamah yang lebih adil iaitu mahkamah yang berhakimkan Robbul Jalil. Mengakhiri penulisan ini saya memilih lirik lagu Pemimpin Yang Adil dendangan Hijjaz yang sarat dengan maksud tersirat untuk difikirkan bersama.

Pemimpin yang adil sangat dikehendaki
Memakmurkan umat dunia dan akhirat
Tiada keadilan negara huru-hara
Pemimpin membela nasib rakyatnya

Pemimpin yang adil sifatnya amanah
Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya
Keadilannya tanpa pilih kasih pada siapa
Kepentingan rakyat lebih utama

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya
Kasih sayang terserlah di wajahnya
Sombong dan takbur tidak ada pada dirinya
Rakyat hormat bukan takut padanya

Pemimpin yang adil mengutamakan amanah
Wang rakyat dan negara tidak disalah guna
Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya
Rakyat diseru mentaati Allah

Terdapat pemimpin di dunia kini
Seringkali mencetus huru-hara
Demi melindungi kepentingan dirinya
Rela membiar rakyatnya derita

Pemimpin yang adil mengutamakan rakyatnya
Melepaskan mereka dari sengsara
Akhlak yang mulia pakaian dirinya
Rakyat taat dan sayang padanya
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang begini
'
'
'

Selamat Hari Ibu Emak..

Selamat Hari Ibu buat Emak tersayang. Terima kasih kerana melahirkan anakmu ini dan membesarkan dengan penuh kasih sayang. Betapa besar pengorbananmu Emak.. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan yang telah emak lakukan tak dapat anakanda balas sampai bila-bila. Pengalaman melihat anak sendiri dilahirkan dapat dibayangkan betapa sakitnya emak sewaktu melahirkan anakanda. Terima kasih emak! terima kasih banyak2 kerana sanggup bertarung nyawa di saat itu. Ketahuilah bahawa anakmu ini begitu menyayangi dirimu. Sekiranya diberi pilihan tak sanggup rasanya untuk berpisah denganmu. Sebagai anak, tiada apa yang dapat anakanda berikan melainkan berusaha untuk menjadi anak soleh buat emak. Doakan anakmu ini dapat menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tuanya. Semoga Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani memberikan kesihatan tubuh badan yang sempurna buat Emak, memanjangkan usia Emak dan seterusnya merahmati kehidupanmu wahai ibuku.. Salam sayang dari anakmu yang jauh dimata tetapi dekat di hati.
'
Ya Allah Ya Tuhanku.. Ampunikah segala dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku. Engkau kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihaniku sewaktu kecil. Amin Ya Robbal 'alamin.
'
'
'

Karnival Kerjaya, Penulisan Modul, Program Motivasi, Sekolah Kluster Dan Kematian..

Agak lama saya tidak menulis di blog ini. Banyak perkara hendak dicoretkan tetapi kekangan masa menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya pada minggu lepas. Kesemuanya saya rangkumkan hanya dalam satu artikel sahaja. Melihat kepada tajuk sememangnya minggu lepas banyak memberikan saya pengajaran dan pengalaman sebagai seorang insan dalam mengejar cita-cita dan impian disamping tidak mengabaikan hubungan kekeluargaan.
Pada tanggal 5 & 6 Mei baru2 ini telah diadakan satu Karnival Kerjaya dan Karnival Ppda Peringkat Putrajaya. Kedua2 karnival ini telah dicantumkan menjadi satu acara besar dalam kalendar PPWPP. Tugas saya dalam karnival ini adalah sebagai AJK promosi dan seranta serta AJK fotografi dan dokumentasi. Untuk promosi memang tiada masalah kerana kerja dilakukan sebelum program berlangsung tetapi untuk fotografi agak memenatkan kerana terpaksa berkejar ke sana ke mari memandangkan tempat karnival agak besar iaitu di Komplek Sekolah Presint 14 (1). Dengan bantuan rakan2 kaunselor dan guru2 terlibat program dapat berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dirancang. Sekalung tahniah buat penganjur program yang bertungkus lumus menjayakan program.
Sememangnya sebagai guru saya tidak dapat lari dari menurut perintah. Pada tanggal yang sama juga iaitu 5, 6 & 7 Mei diadakan Mesyuarat Pengurusan Penulisan Modul Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Rendah Bil 3/2009 di Hotel Empress, Salak Tinggi, Sepang. Saya bersama dengan 3 orang wakil dari putrajaya perlu ke sana dalam rangka menyiapkan modul bimbingan yang telah pun masuk fasa akhir sebelum disemak semula dan dicetak. Memandangkan tarikh mesyuarat adalah sama dengan karnival kerjaya maka terpaksalah saya berulang alik dari Sepang ke Putrajaya untuk kedua2 dua program tersebut. Cukup memenatkan kerana ada tugasan modul yang saya bawa untuk disiapkan sewaktu karnival berlangsung, ada tugasan karnival yang saya terpaksa siapkan di waktu penulisan modul. Perkara ini saya lakukan bila ada masa terluang. Syukur jarak dari sepang ke tempat karnival hanya lebih kurang 25 km sahaja. Sekiranya jauh seperti di Melaka dahulu memang terpaksa saya korbankan salah satu darinya walaupun kedua2nya saya minat.
Dalam kesibukkan berkejar-kejaran ke Sepang dan Presint 14 saya ambil juga masa ke sekolah untuk menguruskan program motivasi bagi murid2 tahun 4 dan 5. Program ini disampaikan oleh sebuah syarikat dan unit bimbingan dan kaunseling bertindak sebagai penganjur. Segala tugas telah diagihkan dan diuruskan dengan sebaik mungkin. Sewaktu hendak pulang tiba-tiba Guru Besar memberitahu bahawa sekolah kami telah pun mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Untuk itu satu pengumumuman telah dibuat oleh beliau untuk memaklumkan kepada semua guru dan murid berkaitan hal demikian. Tahniah kepada semua pentadbir, guru dan staf kerana bekerja keras menjadikan sekolah ini sebagai sekolah kluster.
Dalam suka ada dukanya. Panggilan telefon dari isteri saya memberitahu bahawa opahnya telah kembali kerahmatullah pada malam 6 Mei dan akan disemadikan pada pagi 7 Mei 2009. Dari Sepang saya bergegas pulang ke rumah seterusnya ke sekolah untuk mengambil cuti rehat khas pada hari jumaat memandangkan jenazah akan dikebumikan di Kuala kangsar Perak. Walaupun memandu agak laju tetapi takdir Illahi menentukan kami sekeluarga tidak berkesempatan untuk melihat wajah arwah buat kali yang terakhir di depan mata. Isteri saya adalah orang yang paling sedih kerana tidak dapat berbuat demikian. Kesedihannya bertanbah apabila mengenangkan situasi yang sama dialami sewaktu arwah atuknya dahulu meninggal. Kesempatan yang ada kami ziarai juga pusara opah dan apa yang kami dapat lihat hanyalah tanah kuburnya yang masih merah dan batu nisan. Menurut kata ibu mertua Opah pergi dalam keadaan yang cukup tenang dan mudah disamping mulunya sentiasa berzikir mengingati Allah. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada arwah Opah dan menempatkannya bersama dengan orang2 yang beriman. Al-Fatihah.
'
'
'

01 May 2009

ABJAD Motivasi Menuju Nirwana Kendiri

A = Asah Bakat Dan Potensi Anda
B = Bayangkan Cita-Cita Besar
C = Ciptalah Kehidupan Yang Baik
D = Doronglah Diri Anda Ke Puncak Jaya
E = Ehsan Sesama Manusia
F = Fikir Masa Depan Anda
G = Gambarkan Kemenangan
H = Hiburkan Diri Anda Dan Orang Lain
I = Impikan Apa Yang Boleh Anda Jadi
J = Jimat Cermat Dalam Segala Hal
K = Kesihatan Diri, Akal Dan Jiwa Harus Diutamakan
L = Lawan Nafsu Jahat Anda
M = Maafkan Kesalahan Orang Lain
N = Nekad Menanggani Masalah
O = Orang Lain Sumber Pengalaman Anda
P = Percaya Pada Ketentuan Illahi
Q = Qiamullail Mendekatkan Diri Kepada Allah
R = Restu Ibu Bapa Membawa Barakah
S = Sentiasa Mempunyai Semangat Ingin Mencuba
T = Tolonglah Orang Yang Memerlukan
U = Usaha Bersungguh-Sungguh
V = Visi Dan Misi Perlu Jelas
W = Waktu Sangat Berharga
X = X-Ray Dan Muhasabah Diri Selalu
Y = Yakin Kemampuan Dan Kebolehan Diri
Z = Zaman Muda Hanya Sekali, Jangan Sia-siakan
'
'
'

28 April 2009

Program Turun Padang Bersama Murid


Kelihatan murid khusyuk memberikan tumpuan pada sesi ceramah motivasi belajar.
'
Kalau pemimpin2 sekarang sibuk turun padang secara mengejut maka hari ini saya juga berkesempatan turun padang secara mengejut iaitu untuk bersama2 dengan semua murid tahun 5 di sekolah saya. Satu ceramah motivasi belajar (bimbingan kelompok) selama tiga waktu pembelajaran diadakan untuk mengisi ruang disebabkan ketiadaan ramai guru di sekolah kerana ada urusan lain di luar. Hasil perbincangan dengan pentadbir dan guru bertugas saya mencadangkan untuk bersama murid tahun 5 sebagai alternatif. Pandangan saya diterima dan saya memilih tajuk “Bagaimana Menjadi pelajar Cemerlang” untuk disampaikan kepada murid2 terlibat.
Walaupun merupakan program yang tidak dirancang pada awalnya tetapi ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna hasil komitmen yang diberikan oleh guru dan murid. Permulaannya saya agak risau kerana murid secara kebiasaannya tidak boleh memberi tumpuan dalam tempoh masa yang lama tetapi tidak sangka pula mereka tekun mendengar celoteh saya dari awal hingga akhir. Satu pengiktirafan kepada saya dari mereka secara tidak sedar dan sebagai guru saya menyedarinya. Terima kasih anak didikku sekalian.
Sesi dimulai dengan senaman ringan, seterusnya teknik senyuman 1,2,3. Kemudian disusuli dengan penerangan mengapa perlu cemerlang, penentuan matlamat, punca gagal, sifat belajar, ciri2 pelajar cemerlang, sambil disulami video2 berkaitan dan diakhiri dengan nyanyian lagu motivasi dan zikir. Melalui pemerhatian dan maklum balas kebanyakkan murid menyukainya dan saya dapat lihat dari riak wajah serta reaksi mereka apabila ceramah disampaikan dan sesudah ceramah disampaikan. Benarlah kata peribahasa “Hanya jauhari yang mengenal manikam.”
Buat anak muridku sekalian sekiranya kamu melayari blog ini, Amalkanlah apa yang cikgu ajar dan sebarkanlah ilmu tersebut kepada rakan-rakan yang lain ataupun kepada adik-adik kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang berguna dan dimuliakan Tuhan atas sikap kamu yang memuliakan ilmu dan memuliakan guru. Teruskan belajar dan jangan lupa untuk senyum 1.. 2.. 3… yea!!

'
'
'

Dalam Dok Kata.. Malapetaka Melanda Jua

Semalam saya ada memberi respon berkaitan "Budaya Nabil & Aril" iaitu trend baru artis2 kita yang sudah tidak segan silu berpelukan dengan perempuan yang bukan mahram kemudiannya memberikan alasan yang membelakangkan agama atau dengan kata lain alasan yang hanya layak diungkapkan oleh budak pra-sekolah sahaja. Hari ini laporan akhbar kosmo muka hadapan membuktikan gejala ini sudah mula menular ke sekolah. Berikut petikan akhbar yang menunjukkan gejala ini sudah semakin parah dan perlu dibendung segera;-
'
Pesta ponteng Teluk Chempedak - Pelajar lelaki, perempuan berpeluk-pelukan dalam air
'
KUANTAN - Di Kuala Lumpur, kompleks beli-belah, kafe siber dan taman rekreasi kerap dijadikan tempat tumpuan ponteng sekolah. Rupa-rupanya pelajar di sini lagi hebat. Mereka berkumpul di sekitar pantai Teluk Chempedak bagaikan ada satu pesta di situ. Lebih berani pelajar lelaki dan perempuan tanpa segan silu dipandang pengunjung lain sama-sama mandi-manda dan berpeluk-pelukan dalam air.
Tidak dinafikan pusat peranginan itu memang popular sebagai destinasi 'pesta ponteng' terutama di lokasi yang terlindung di sebalik Bukit Pelindung. Tinjauan Kosmo! semalam, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai mendapati tidak kurang 15 pelajar lelaki dan perempuan lengkap berpakaian sekolah sedang asyik berpesta ponteng dan mandi-manda.
Kebanyakan pelajar lelaki membuka baju masing-masing manakala yang perempuan berseluar panjang ketat dan berbaju kemeja T. Mereka kelihatan begitu riang sekali sambil menjerit-jerit kegembiraan lebih-lebih lagi apabila si lelaki cuba memeluk.
Di pantai pula, beberapa pelajar yang tidak mandi hanya melepak sambil menghisap rokok atau tidur di pondok rehat yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di situ. Kumpulan pelajar tersebut dilihat datang ke pusat perkelahan itu secara beransur-ansur sejak pukul 7.30 pagi dengan menunggang motosikal kapcai yang diletakkan di satu sudut tempat letak kereta MPK.
'
Ilmuwan Hati: Kepada ibu bapa yang mempunyai anak2 adalah diharapkan agar anda dapat memantau ke mana anak anda berada. Sekurang2nya mengetahui siapakah kenalan anak anda dan apakah aktiviti yang mereka lakukan apabila bersama. Sekiranya anda sendiri gagal untuk menjaga anak anda yang sekadar 2, 3 orang itu maka jangan diharap untuk guru2 menjaganya kerana mereka sendiri terpaksa menjaga hampir 40 orang anak dalam satu2 masa. Itupun belum termasuk anak mereka sendiri yang jumlahnya lebih kurang sama dengan anak anda. Apakah anda hanya akan memberikan perhatian apabila anak anda pulang memberikan seorang cucu yang tiada berbapa kepada anda.
Ingatlah yang tanggungjawab menjaga anak sendiri terletak di tangan ibu bapa bukannya orang lain. Sebab itu anak disebut sebagai amanah Allah kepada kita.
Sama-samalah mewujudkan kembali perasaan ambil peduli di kalangan kita sebagaimana orang2 tua dahulu melakukannya. Anak2 dahulu tidak berani melakukan sesuatu yang mencarik adat kerana perbuatannya akan ditegur oleh orang sekeliling dan disampaikan kepada ibu bapanya. Nahaslah anak tersebut apabila ibu bapa mereka menerima aduan. Tetapi situasi kini amat berbeza kerana orang yang menyampaikan pula akan nahas dimarahi oleh ibu bapa anak tersebut. Janganlah disebabkan anak kita disambar oleh api Neraka. Na’uzubillahi min zaalik!! Berpesan2 dengan kebenaran, berpesan2 dengan kesabaran.
'
'
'