28 July 2009

Pengalaman Terakhir Bengkel Penulisan Modul Perkhidmatan B&K SR Peringkat Kebangsaan di Hotel Goldcourse, Klang

Sudah agak lama saya tidak update blog mutiaraminda2u ini. Mohon maaf kepada pengunjung yang sentiasa melayari blog dari semasa ke semasa menantikan sekiranya ada artikel baru dari saya. Perhatian daripada anda semua membuatkan saya bersemangat untuk mengaktifkannya semula walaupun jadual saya agak padat kebelakangan ini. Untuk makluman, menyepinya saya sebelum ini bukan kerana tiada perkara yang hendak dikongsikan tetapi sebaliknya. Akibat terlalu banyak perkara yang hendak dikongsi membuatkan saya terpaksa menangguhkan penulisan di dalam blog ini. Semuanya seakan penting untuk ditulis di sini. Hari ini saya nekad untuk menyelesaikan masalah ini dengan membuat keputusan untuk berkongsi pengalaman terkini saya dan insya'Allah pengalaman dan cerita-cerita yang terhenti sebelum ini akan menyusul kemudiannya.

Baru-baru ini pada tanggal 27 hingga 30 Julai 2009 saya bersama dengan rakan kaunselor terpilih seluruh negara sekali lagi berkampung untuk menyiapkan modul perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah rendah. Bezanya kali ini adalah lokasinya iaitu di Hotel Goldcourse Klang. Bengkel ini adalah kesinambungan bengkel yang diadakan sebelum ini di merata tempat iaitu di Kuala Lumpur, Melaka, Sepang Selangor dan kali ini ia diadakan di Klang Selangor. Merupakan bengkel penulisan modul perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah rendah ke-4 anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia dan bengkel yang terakhir diadakan untuk tujuan ini.

Dalam perjumpaan kali ini kami guru-guru Bimbingan dan Kaunseling dikehendaki untuk menyiapkan sepenuhnya modul bimbingan dan kaunseling untuk diguna pakai oleh guru bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah. Tiada banyak perkara yang perlu dilakukan lagi kerana modul sudah sedia ada cuma perlu penambahbaikan dari segi susunan ayat dan format. Dalam bengkel ini peserta telah dipecahkan kepada enam kumpulan mengikut tahun bagi memudahkan kerja penambahbaikan dan pemurnian dilaksanakan. Alhamdulillah berkat kesabaran sahabat-sahabat Guru Bimbingan dan Kaunseling maka modul dapat disiapkan dengan jayanya dan bahan tersebut telah diedarkan kepada semua peserta yang akan bertindak sebagai jurulatih utama (JU) peringkat negeri masing-masing.
'
Setiap pertemuan pastinya diakhiri dengan perpisahan. Majlis penutup pada kali ini merupakan majlis terakhir untuk bengkel ini. Bermakna selepas ini kami tidak lagi akan bertemu seperti sekarang. Sekiranya ada lagi pertemuan mungkin hanya sebilangan kecil dan untuk tujuan yang lain pula. Majlis pada hari terakhir cukup bermakna buat saya dan sahabat-sahabat. Sebuah kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan oleh saya kerana menyertai penulisan modul ini dan apa yang lebih bermakna hasil kerja kami akan diamalkan oleh insan lain. Semoga menjadi ilmu yang bermanfaat buat kami semua. Di sini saya siarkan doa munajat yang cukup syahdu yang telah dibacakan oleh Cikgu Tn. Haji Muhamad Adi bin Ismail dalam majlis penutup bengkel ini. Semoga ia dapat menjadi panduan buat kita semua dalam melaksanakan amanah sebagai pendidik.
'

Al - Fatihah

PadaMu Ya Allah kami Munajat

Moga kami dalam selamat

Berkumpul kami dengan 1 matlamat

Mencari redhoMu beramal ibadat

'

Membina modul perkasa diri
Moga sempurna khidmat diberi
Berjuang disekolah bina generasi
Moga beroleh ganjaran ukhrawi
'
Dari itu Ya Ilahi
Tancap kokohkan Iman di hati
Gemburkan keyakinan di sanubari
Hiasi kami akhlak yang murni
Mohon ganjaran terbaik di sana nanti
'
PadaMu Ilahi kami merayu
Bimbinglah kami dengan WahyuMu
Moga hidup kami bahagia selalu
Berkekalan ke akhirat dengan syahdu
'
Kiranya usia kami ini singkat
Matikan kami dalam rahmat
Selesakan kami di liang lahad
Ceriakan kami dalam penantian akhirat
Amin Ya Rabbal 'Alamin...
'
'
'

No comments: