22 February 2009

Apabila Anda Mengubah..

Sedar atau tidak, apabila kita mengubah sesuatu maka secara tidak langsung akan berubahlah sesuatu yang lainnya. Sekiranya perkara atau tindakan yang diubah adalah positif maka ikutannya juga akan menghala ke arah positif. Begitulah juga sebaliknya. Mutiara minda untuk difikirkan bersama..
'
Apabila Anda Mengubah Pemikiran Anda.
Anda Mengubah Kepercayaan Anda.

Apabila Anda Mengubah Kepercayaan Anda.
Anda Mengubah Jangkaan Anda.
Apabila Anda Mengubah Jangkaan Anda.
Anda Mengubah Sikap Anda.
Apabila Anda Mengubah Sikap Anda.
Anda Mengubah Tabiat Anda.
Apabila Anda Mengubah Tabiat Anda.
Anda Mengubah Prestasi Anda.
Apabila Anda Mengubah Prestasi Anda
ANDA MENGUBAH KEHIDUPAN ANDA!!!
'
'
'

20 February 2009

Ulangtahun Kelahiran Isteriku..

Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-26 buat isteriku yang tercinta. Kekanda doakan agar adinda dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan tubuh badan yang sempurna, berjaya dalam setiap lapangan yang diceburi, sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan kasih sayangNYA.. Didoakan juga agar kebahagiaan yang kita kecapi ini kekal berpanjangan sehingga ke akhir hayat. Semoga adinda menjadi isteri yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran dan seterusnya beroleh jannah. Ameen..
''
'
'

19 February 2009

Sehari Di Bengkel Motivasi UPSR

Alhamdulillah.. pada hari isnin yang lepas saya telah diberikan kesempatan oleh pihak ii Solution untuk mengendalikan satu bengkel UPSR di Sekolah Rendah Islam Al Ummah, Chemor, Perak. Seri Al Ummah merupakan sebuah sekolah swasta dan mempunyai seramai 65 orang murid tahun enam yang bakal menduduki UPSR pada tahun ini. Program bermula pada pukul 8.45 pagi dan tamat sekitar pukul 1.15 tengahari. Keseluruhan masa yang diambil adalah empat jam dan dijalankan dengan dua sesi. Inilah program yang memerlukan saya berceloteh paling lama kerana hanya saya seorang yang mengendalikannya. Walaupun begitu ia tetap menghiburkan dan memberikan banyak pengalaman beharga buat saya.
Pada peringkat awal peserta didedahkan dengan motivasi belajar melalui medium ceramah motivasi. Memang mengujakan apabila berceramah di hadapan audien yang terdiri dari murid sekolah rendah. Saya mengetahui bahawa kegagalan untuk menarik perhatian peserta dan kegagalan menyampaikan isi pembelajaran dengan baik serta ketidak upayaan untuk mengawal suasana akan membuatkan peserta hilang fokus dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada apa yang akan disampaikan. Pasti tidak ramai orang yang mampu untuk berhadapan dengan situasi ini apatah lagi dengan jarak masa yang terlalu lama. Walau bagaimana pun syukur alhamdulillah bengkel yang dianjurkan ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sepenuh perhatian daripada peserta. Sememangnya untuk mengendalikan bengkel ini saya telah melakukan penyediaan rapi dari segi kehendak penganjur, maklumat peserta, isi pengajaran dan kaedah penyampaian. Untuk menguatkan lagi penyampaian agar terkesan terdapat beberapa cerita motivasi yang diselitkan disamping mutiara minda dan beberapa video serta klip video telah ditayangkan kepada peserta. Sememangnya pendekatan yang telah diambil amat berkesan dan hasilnya peserta memberikan tumpuan dan respon yang terbaik.

Pada sesi kedua pula diadakan bengkel untuk mengenal pasti potensi dan minat belajar peserta. Dari maklum balas yang diterima, ternyata ada peserta yang sudah bersedia dan ada lagi yang masih belum bersedia menghadapi peperiksaan UPSR. Tindakan susulan telah dicadangkan kepada guru sekolah untuk mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya. Seterusnya program disusuli dengan ceramah kemahiran dan teknik belajar. Disini ditekankan peri pentingnya kepada peserta agar mengamalkan semua kemahiran belajar dalam usaha membantu melonjakkan pencapaiaan akademik mereka. Kesimpulannya peserta menginsafi akan kepentingan untuk berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak yang soleh serta solehah kepada kedua ibu bapa mereka. Terima kasih kepada pihak sekolah yang memberikan kesempatan untuk saya mengendalikan bengkel dan pihak ii Solution yang mengaturkan program ini untuk saya. Tidak dilupakan ucapan terima kasih buat isteri tercinta yang banyak memberikan sokongan moral untuk saya mengendalikan bengkel ini serta menjadi jurufoto sepanjang bengkel diadakan. Dengan melihat rakaman video yang telah diambil olehnya maka dapatlah saya mengkoreksi segala pengucapan dan kaedah penyampaian yang telah dilaksanakan. Sesungguhnya melalui program ini saya membuat kesimpulan bahawa;
'
"Apabila berkomunikasi, kedua-dua pihak sama-sama belajar. Peserta belajar daripada apa yang disampaikan oleh penceramah dan penceramah pula belajar dari reaksi serta tindak balas yang diberikan oleh peserta".
'
'
'

18 February 2009

Doa Buatmu Ayah..


Selamat Ulangtahun Kelahiran Yang Ke 61 Buat Ayahanda Tercinta. Ketahuilah bahawa anakanda terlalu bersyukur kerana dikurniakan seorang ayah seperti ayahanda. Didoakan agar ayahanda dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki serta beroleh kesihatan tubuh badan yang sempurna. Mohon agar didoakan anakanda supaya menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan buat ayahanda dan bonda. Ya Allah Kau ampunilah segala dosa-dosaku serta dosa kedua ibu bapaku. Kesihanilah mereka seperti mana mereka mengasihiku sewaktu kecil. Amin..
'
'

13 February 2009

Konsultan Oh Konsultan..

'
Baru-baru ini saya berpeluang dan berpengalaman berurusan dengan konsultan yang berminat untuk menjalankan kursus kepimpinan untuk pengawas sekolah saya. Kursus pada kali ini dicadangkan diadakan di luar sekolah memandangkan setelah sekian tahun ianyanya diadakan secara dalaman sahaja. Untuk mendapatkan harga dan pengisian terbaik maka panggilan dibuat kepada mana-mana konsultan yang berminat untuk menghantar kertas kerja dan sebut harga program. Hasilnya ada dua konsultan yang menghantar dan terdapatlah berbezaan antara keduanya dari segi harga walaupun pengisian, tempat dan modul seakan-akan sama sahaja. Ikutkan hati mahu saja saya menetapkan sendiri mana konsultan yang layak memandangkan saya bukan tidak berpengalaman dalam gerak kerja sebegini. Ditambah lagi sebahagian peruntukan adalah datang daripada duit pcg kaunseling iaitu dari unit saya sendiri. Maka saya lebih mempunyai autoriti menentukannya.
Tetapi memandangkan sebuah konsultan ini adalah kenalan rapat kepada seorang guru maka hasil perbincangan secara tidak langsung dipilih konsultan yang pada hemat saya akan mudahlah segala urusan selepas ini. Hari berlangsungnya program hampir tiba sehinggalah saya membuat panggilan pada hari ini dan mendengar nada seolah-olah pihak konsultan yang dipilih tidak berminat untuk menjalankan program yang telah dirancang dengan alasan tempat tersebut telah ditempah oleh konsultan yang lain. Maksudnya terdapat dua program dan dua konsultan yang menjalankan program pada satu tempat yang sama. Konsultan terlibat pula adalah konsultan yang sama membida untuk kursus ini dahulu. Tidak setakat alasan tersebut, diberikan pula pilihan-pilihan lain kepada saya iaitu menukar lokasi program ke tempat yang lain, menyerahkan kepada konsultan pesaing menjalankannya atau kami guru-guru sendiri menjalankan aktiviti sekiranya mempunyai tenaga. Dari jawapan diberikan saya simpulkan bahawa konsultan tersebut tidak berminat menjalankan program. Kenapa saya berkata demikian adalah kerana latarbelakang saya sebagai seorang guru bimbingan. Bukan saya ini naif sangat tentang program dan modul. Semua ini adalah mainan dan asam garam kami di sekolah. Guru bimbingan atau kaunselor adalah guru yang belajar ilmu pendidikan, ilmu kaunseling dan ilmu psikologi. Masakan tidak mengetahui apa yang tersirat dan tersurat di sebalik jawapan diberikan. Bahkan telahan saya anda sedang menggunakan teknik helah bela diri.
Terkini dan lebih mendukacitakan apabila program tersebut dibatalkan dengan pihak kem tanpa merujuk kepada saya. Alasan yang diberikan kepada pihak kem pula kerana saya adalah seorang guru yang cerewet. Wahai konsultan sekiranya kita boleh berkonsultansi, ingin saya bertanya sekiranya harga yang dirundingkan sama, tempat pun sama, modul tidak berbeza, tetapi konsultan yang lagi satu lebih profesional dalam menjalankan perniagaannya adakah saya tidak berhak untuk meminta sebagaimana pesaing anda dapat memberikan. Minta untuk diadakan insuran kelompok kepada peserta pun sudah keberatan apatah lagi hamper untuk kumpulan. Itu belum termasuk perbincangan pengisian agar bersesuaian dengan objektif program diadakan. Kalau tidak berani mengikut kemahuan pelanggan janganlah membida pada harga yang sama. Bila hendak dibandingkan melatah pula. Perlu diingatkan bahawa murid-murid saya bukanlah bahan kajian yang boleh dilakukan secara kaedah cuba jaya. Sebagai guru bimbingan saya tahu mana terbaik dan tidak baik kepada anak murid saya. Saya lebih mengenali mereka berbanding anda. Jangan pula disebabkan bisnes, kalian hentam kromo menjalankan program sehingga membuka kunci permasalahan dalam diri peserta kemudian kami sebagai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah terpaksa pula mengadakan sesi untuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat dari tindakan kalian. Berniagalah menggunakan kekuatan dan kelebihan sendiri bukan berniaga menggunakan proksi serta takut disaingi. Zaman sekarang orang sudah celik pemikiran, yang bagus akan dikatakan bagus begitulah juga sebaliknya.
'
'
'

07 February 2009

Pemimpin Yang Adil

'
*Bait-bait lirik nasyid kumpulan hijjaz yang yang bertajuk 'Pemimpin Yang Adil'. Menceritakan perihal pemimpin yang dikehendaki dan diimpikan oleh orang bawahannnya. Amat berguna sekali sekiranya dijadikan panduan oleh pemimpin dalam memimpin. Hayati dan renungi maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik lirik ini. Semoga menjadi pemimpin yang adil.
'
'

01 February 2009

Jika Kamu Menanam..

Apa yang kita tanam hari ini itulah yang akan kita tuai di kemudian hari. Sesungguhnya peraturan hidup mengikut logik dan sunnah alam. Kebiasaannya sikap dan kepercayaan akan membentuk perlakuan dan tindakan. Pastikan sikap yang anda pilih hari ini kerana..
'
Jika menanam kejujuran, kamu akan mendapat kepercayaan,
Jika menanam kebaikan, kamu akan mendapat persahabatan,
Jika menanam kemanusiaan, kamu akan mendapat penghormatan,
Jika menanam ketekunan kamu akan mendapat kemenangan,
Jika menanam pertimbangan kamu akan mendapat keharmonian,
Jika menanam kuat bekerja, kamu akan mendapat kejayaan,
Jika menanam kemaafan, kamu akan mendapat keakraban,
Jika menanam kesabaran, kamu akan mendapat kekuatan dalaman,
Jika menanam keimanan, kamu akan mendapat syurga,
Jika menanam penghinaan, kamu akan mendapat pembelotan,
Jika menanam kepentingan diri, kamu akan mendapat kesepian,
Jika menanam bangga diri, kamu akan mendapat kekecewaan,
Jika menanam kemalasan, kamu akan mendapat kebuntuan,
Jika menanam permusuhan, kamu akan mendapat pemencilan,
Jika menanam ketamakan, kamu akan mendapat kerugian,
Jika menanam fitnah, kamu akan mendapat musuh,
Jika menanam adu domba, kamu akan mendapat umpat cela,
Jika menanam kebimbangan, kamu akan mendapat kedutan di wajah,
Jika menanam dosa, kamu akan mendapat neraka,
Jika menanam derita, kamu akan mendapat gundah gulana,
Jika menanam bahagia, kamu akan mendapat ketenangan jiwa.
'
Firman Allah s.w.t Di dalam al-Quran sebagai renungan bersama:
“Barang siapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barang siapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu.” (Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)
'
'
'

28 January 2009

Catur, Mencatur Dan Percaturan

Persoalan mencatur satu percaturan kebiasaannya adalah persoalan yang berlegar di sekitar pemimpin. Ini kerana secara kebiasaannya hanya pemimpin berhak mencatur kerana mereka mempunyai kuasa dan pengaruh walaupun sebaliknya penentuan sebenar dibuat oleh ahli atau majoriti. Baru-baru saya berhadapan dengan realiti yang telah saya sebutkan. Pada asasnya pemimpin yang memegang jawatan terdahulu dilihat berlapang dada menerima kepimpinan baru tetapi timbul pula masalah di kalangan ahli dan kepimpinan baru yang merasakan mereka tidak serasi untuk bersama memikul jawatan yang diamanahkan. Sebenarnya sesiapa sahaja sekiranya diberi peluang memegang amanah memang hanya akan berkolaborasi dengan orang yang disukainya sahaja. Tetapi mana mungkin berlaku demikian di dalam sebuah organisasi besar yang diwakili oleh pelbagai watak dan karakter manusia. Pastinya setiap individu ini mempunyai cara berfikir dan tindakan yang berbeza-beza. Alangkan di dalam sesebuah rumahtangga yang majoritinya kecil pun sudah mempunyai perbezaan sehingga kadangkala berlaku perceraian.
Antara kehendak dan kemahuan, harus diingat ketentuan Illahi sebenarnya melebihi segalanya. Sebagai makhluk yang diciptakan kita kena menerima hakikat bahawa kita boleh merancang dan mencatur tetapi hakikat dan ketentuan adalah dari Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Yakinlah bahawa segala yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Belajarlah berlapang dada untuk menerima segala ketentuan yang ditentukanNYA. Lupakan sebentar titik perbezaan, bergandinglah di atas titik persamaan dan atas nama perjuangan. Sebahagian kata-kata perjuangan seorang mujahid agung untuk direnungkan bersama;
'
“Sekiranya kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, tentu sekali kita akan merasa sempit dada kerana terlalu banyak perkara yang belum dapat kita selesaikan. Tetapi sekiranya kita mengetahui bahawa ini adalah sebahagian daripada perjuangan para nabi, sahabat dan generasi terdahulu tentu kita akan berlapang dada kerana kita adalah sebahagian daripada mata-mata rantai perjuangan mereka dan pastinya mata rantai ini akan terus bersambung sehingga ke hari kiamat.”
'
'
'

23 January 2009

Guru Sebagai Pemeriksa Kutu Kepala

Agak melucukan dan menggelikan hati tetapi itulah hakikatnya apabila anda berada di dunia pendidikan atau alam perguruan. Tidak tertanggung dengan kerja yang bertimbun-timbun saban hari mahu ditambah pula dengan kerja yang titik bengik.
Asas penulisan kali ini adalah berdasarkan maklumat bahawa terdapat permintaan dari seorang ibu agar guru membuat pemeriksaaan kerana terdapat masalah kutu di kalangan murid. Sebenarnya soal guru memikul tugas orang lain adalah perkara lumrah bagi saya. Sewaktu di Institut Pendidikan Guru (IPG) dahulu para pensyarah telah pun memberikan pendedahan berkaitan hal ini termasuklah sewaktu mengikuti program Bina Insan Guru (BIG). Masih tergambar lagi saat saya bersama rakan-rakan berhempas pulas memikir dan menulis di atas kertas sebak peranan-peranan tidak rasmi guru di sekolah. Antara yang kami tulis ialah guru sebagai pengasuh, tukang cuci, tukang kebun, tukang gunting rambut, warden trafik, tukang kayu, pembuat garisan di padang, pengawal keselamatan dan bermacam-macam lagi. Boleh dikatakan penuh kertas sebak tersebut dengan peranan tidak rasmi guru telah kami tulis. Kejadian hari ini mengingatkan saya rupa-rupanya dalam banyak-banyak tugas yang telah ditulis kami terlupa bahawa guru juga adalah pemeriksa kutu kepala.
Buat ibu yang budiman, cukuplah guru dibebankan dengan tugas-tugas yang bukan tugas hakiki seorang guru. Sehinggakan ada guru yang terlalu menjaga kebajikan anak orang lain menyebabkan kebajikan anaknya terabai. Anak orang kemas bersih anak guru tidak terurus. Anak orang mendapat keputusan cemerlang, anak guru sekadar mendapat markah cukup makan. Dalam hal ini, tidak timbul isu kutu kepala sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing. Melatih anak berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri. Sentiasa mengingatkan anak agar menitik beratkan soal kebersihan dan penjagaan rambut yang sempurna. Membelikan alatan kebersihan seperti sabun dan syampoo untuk anak-anak serta mendapatkan rawatan sekiranya terdapat jangkitan kuman, kutu dan sebagainya. Apabila semua ini dilaksanakan saya rasa tidak timbul lagi isu kutu di kalangan pelajar. Maka secara tidak langsung tiada lagi guru yang akan memeriksa kutu kepala tetapi kembali kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan memeriksa lembaran kerja.
'
“Menyelesaikan masalah pelajar umpama memadamkan api yang marak membara, puncanya perlu dicari dan difahami, barulah masalah dapat diatasi."
'
'

18 January 2009

Tanggungjawab


Merupakan satu perkataan yang sinonim dengan kita dan mempunyai banyak maksud yang tersirat dan tersurat di dalamnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga tanggungjawab bererti kewajipan yang dipikul oleh seseorang. Ini bermaksud seseorang itu berkewajipan untuk memikul tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Pada pendapat saya pula, sebenarnya tanggungjawab adalah lebih daripada huraian tersebut. Ia bukan sahaja kewajipan untuk memikul amanah atau beban tugas tetapi si pemikul amanah ini perlu untuk menjawab dan dipertanggungjawabkan atas amanah yang telah diberikan. Sebab itu dalam ajaran Islam dititik beratkan soal kehidupan semula setelah mati. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyoal semula adakah amanah dan tanggungjawab yang diberikan telah dilaksanakan dengan sempurna atau sebaliknya. Amanah yang dimaksudkan disini adalah amanah yang merangkumi semua tanggungjawab kita. Baik amanah dengan Pencipta, diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, agama mahupun alam semesta. Apa yang penting adalah adakah kita mempunyai jawapan kepada setiap persoalan yang diutarakan. Seperti jawapan seekor burung kecil yang pada dasarnya tidak mampu tetapi berusaha juga untuk memadamkan api yang membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim 'alaihissalam. ketika dibakar oleh Namrud. Sekiranya ada Alhamdulillah mungkin kita akan terlepas dari siksaan tetapi sekiranya yang ada hanya alasan bukan jawapan maka anda sendiri dapat menjangkakan apakah balasan yang selayaknya diterima. Saya tinggalkan penulisan ini dengan mutiara minda dari saya untuk difikirkan bersama;

"Kebiasaannya kita hanya asyik membahagikan masa kita supaya kita tidak terlalu sibuk tetapi kita terlupa untuk membahagikan dan mengagihkan tugas kita supaya tidak mengambil masa dan menyibukkan orang lain"
'
'
'

11 January 2009

Hayya Rijal, Hayya Bil Jihad..!!


Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran :

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (Surah Al-Ma'idah: Ayat 54-56)
'
'
'

07 January 2009

Allahu Rabbi... Allahu Rabbi.. Allahu Rabbi...

MENYAYAT HATI... Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hanya nampak kepala ditemui di bawah runtuhan rumahnya yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza, semalam.

Mengalir airmataku apabila melihat gambar ini.. Ya Allah.. Engkau Maha Berkuasa, Ya Allah.. Engkau Mengetahui segalanya.. Sesungguhnya hanya kepadaMu kami berserah dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan.. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbar..
,
,

Doa Qunut Nazilah Untuk Palestin..


Ya Allah..
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher
musuh-musuh kami
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka
Ya Allah..
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing Mu Ke atas mereka
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan yang penuh raksasa
Wahai tuhan yang bersifat murka
Ya Allah.. Ya Allah.. Ya Allah..
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.

*Memandangkan keganasan masih berterusan dan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban. Menyakini bahawa doa itu senjata mukmin yang paling ampuh. Bersama-samalah kita berdoa agar saudara-saudara kita di Palestin diselamatkan oleh Allah s.w.t. diberi kekuatan dan pertolongan kepada pejuang-pejuang yang sedang berjihad disana serta menghancurkan Zionis Israel laknatullah.. Ameen..
'
'
'

06 January 2009

Kejam Lagi Zalim..

Itulah ungkapan yang layak dan sesuai diberikan kepada tentera Israel apabila menatap gambar menyayat hati seorang lelaki Palestin meraung ketika mengecam mayat tiga anaknya yang terkorban akibat bedilan kereta kebal Yahudi di Hospital Shifa, Gaza, semalam. Beliau terpaksa ditenangkan kerana terlalu sedih atas kejadian yang berlaku. Ketiga-tiga kanak-kanak tidak berdosa ini merupakan mangsa kepada kekejaman yahudi laknatullah. Sedih, syahdu, pilu, menyayat hati, geram dan berbagai lagi perasaan bercampur baur apabila membawa diri untuk turut sama berempati. Hakikatnya saya sendiri tidak mampu untuk menerima ujian sebegini. Na’uzubillah..
'
'
'

05 January 2009

Selamat Bertugas Warga Pendidik


Assalamualaikum Cikgu!
Mutiaraminda2u mengucapkan selamat bertugas semula kepada semua warga pendidik yang berada di seluruh pelosok negara. Kepada sahabat-sahabat KPLI-Bimbingan dan Kaunseling IPDA ambilan Januari 2007 dan rakan seperjuangan dari bidang yang lain, didoakan agar kalian sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif dan terapeutik di sekolah masing-masing. Semoga dengan kedatangan tahun baru 2009 dan 1430H ini menjadikan kita warga pendidik lebih bersemangat untuk mendidik serta membimbing anak bangsa ke arah pembentukan mentaliti dan akhlak kelas pertama. Berbangga dan bersyukurlah kita ditakdirkan untuk menjadi warga pendidik kerana tugas ini merupakan satu tugas yang mulia. Bersama memartabatkan profesion perguruan.
'
'