12 September 2009

Terasa Singkatnya Ramadhan Kali Ini


Hari ini masuklah kita pada tanggal 22 Ramadhan. Pejam celik saya rasakan begitu cepat masa berlalu. Sesungguhnya Ramadhan kali ini benar2 dirasakan terlalu singkat pada saya. Seolah2 kita baru sahaja seminggu berpuasa tetapi hakikatnya minggu hadapan kita sudah menyambut kedatangan bulan Syawal dan perayaan hari raya Aidilfitri. Entah kenapa di bulan ini apabila pergi ke mana2 tempat sama ada untuk beribadat atau membeli belah penghayatan Ramadhan tidak begitu dirasa begitu juga dengan sambutan perayaan Aidilfitri yang terasa sangat berbeza dari tahun2 sebelumnya. Mungkin saya sahaja yang merasakan begitu sedangkan kalian tidak sedemikian atau kalian juga turut mengalami perasaan yang sama.
Di sekolah saya ada bertanyakan kepada rakan guru akan hal ini. Senada dengan saya mereka juga mengatakan memang Ramadhan kali seolah ini tidak terasa kehadirannya. Ada guru yang memberikan pandangan disebabkan cuti penggal persekolahan selama seminggu pada awal Ramadhan membuatkan Ramadhan kali ini tidak terasa begitu lama. Ia ditambah lagi apabila guru2 mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman mereka pada cuti tersebut. Ada juga rakan guru yang mengatakan Ramadhan kali ini tidak menambah amalannya dari segi bacaan Al-Quran seperti tahun sebelumnya kerana dia seakan tidak terdaya melakukannya. Terdapat seorang lagi guru pula mengatakan mungkin disebabkan terlalu sibuk dengan urusan sekolah di bulan Ramadhan kali ini iaitu urusan peperiksaan UPSR, urusan pemantauan nazir dan audit kualiti membuatkan Ramadhannya kali ini terasa cukup singkat.
Begitulah serba sedikit antara luahan guru2 apabila ditanya mengenai Ramadhan mereka. Pada saya pula sememangnya Ramadhan kali ini benar2 terasa begitu singkat. Mungkin kerana beberapa hari sebelum menjelangnya Ramadhan ayah saya terlantar sakit menyebabkan saya terpaksa bergegas balik ke kampung membuatkan penghayatan kedatangan Ramadhan tidak begitu dirasai pada waktu itu. Awal Ramadhan pula saya diuji selama seminggu dengan dijangkiti demam, batuk dan selesema membuatkan ibadah sunat yang lain tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Minggu kedua pula saya sibuk menganjurkan program2 bagi memastikan calon2 yang akan menghadapi UPSR 2009 benar2 bersedia dari aspek mental, spiritual dan emosi. Minggu ketiga pula kesibukan saya bertambah dengan tugas sebagai pengawas peperiksaan dan tugasan menyediakan fail2 untuk urusan pemantauan nazir dan audit kualiti sebelum menjelang hari perayaan. Di samping urusan hakiki itu saya juga ada menerima jemputan untuk memberikan ceramah dan ia membuatkan saya bertambah sibuk. Kesemua di atas seakan penting buat saya termasuklah untuk mengejar pahala di bulan yang mulia ini menyebabkan kehadiran Ramadhan terasa begitu singkat. Apa pula pandangan saudara semua berkaitan Ramadhan kali ini. Sekiranya tidak keberatan sila nyatakan dalam ruangan komen di bawah agar kita dapat berkongsi pandangan dan pengalaman.
Sekiranya diberikan pilihan, saya seolah2 mahukan Ramadhan ini dilanjutkan sebulan lagi kerana mahu betul2 menghayatinya. Banyak amalan yang tidak dapat saya lakukan dengan sempurna di bulan ini hendak saya lakukan sebaik mungkin. Tetapi apakan daya Ramadhan datang hanya sekali setahun dan cuma sebulan diberikan kepada umat manusia. Terdetik hati kecil bila mengenangkan kata2 penceramah bahawa janganlah kita menyangka sekiranya kita sampai ke Ramadhan kali ini bermakna kita juga akan sampai ke Ramadhan akan datang. Semoga Allah melanjutkan usia saya dan anda semua untuk bertemu lagi dengan Ramadan tahun hadapan dan tahun2 berikutnya. Insya’Allah dengan bilangan hari yang tinggal ini akan saya manfaatkan sebaiknya untuk mengejar pahala seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadar. Bersamalah kita berdoa dan berusaha untuk mendapatkannya. Selamat menghayati Ramadhan Karim bulan penuh kemuliaan dan keampunan buat kita semua.
'
'
'

2 comments:

Myza Pesona said...

Salam Minda Ilmuwan,
Saya juga merasa begitu. Hinggakan persiapan untuk menyambut hari raya baru je selesai. Biasanya pada waktu begini, semuanya sudah selesai. Mungkin juga kerana kekangan masa dan urusan2 di sekolah, seperi anda! Peperiksaan Percubaan SPM sedang berlangsung dan akan hanya berakhir minggu ini.

Putra Ilmuwan said...

Wsalam Myza Pesona,
Terima kasih kerana sudi ziarah blog dan berkongsi pandangan. Rupanya saya tidak berseorangan merasakan singkatnya ramadhan kali ini. Semoga sisa baki hari yang tinggal ini dapat kita manfaatkan bagi mengecapi malam lailatul qadar.