07 September 2009

UPSR: Cabar Diri Untuk Berbakti Di Sekolah Rendah Sendiri


Tinggal beberapa jam sahaja lagi calon2 UPSR 2009 akan menduduki peperiksaan yang akan menentukan sejauh mana usaha dan penghayatan mereka selama ini terhadap pelajaran. Hari ini di sekolah saya diadakan majlis ‘Ribuan Keampunan’ iaitu sesi bersalam-salaman antara guru2 dan murid2 tahun 6. Sebagai seorang guru, memang syahdu dan tersentuh hati apabila murid datang seorang demi seorang memohon dihalalkan segala ilmu dan meminta agar mendoakan kejayaan mereka sambil menitiskan air mata.
Insya’Allah artikel kali ini akan menceritakan pengalaman yang tidak sempat saya paparkan sebelum ini lantaran kesibukan masa di mana saya mencabar diri untuk berbakti di sebuah sekolah rendah. Sekolah yang dimaksudkan ialah sekolah yang pernah saya menuntut ilmu suatu ketika dahulu iaitu Sekolah Kebangsaan Permatang Binjai yang terletak di utara tanah air. Berkebetulan pada tahun ini adik bongsu saya Muhammad Imran Ismail juga akan menduduki peperiksaan UPSR membuatkan perasaan saya membuak2 untuk ke sekolah tersebut. Kehadiran saya kali ini bukan lagi sebagai murid tetapi sebagai penceramah yang akan memberikan motivasi kepada murid2 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun ini termasuklah adik saya yang disayangi itu.
Segala perancangan diatur bersama dengan Guru Bimbingan Dan Kaunseling sekolah tersebut iaitu Cikgu Fazliyaton. Alhamdulillah hasil perbincangannya dengan Guru besar En. Abdul Rahim bin Ahmad saya diizinkan untuk mengadakan program tersebut pada hari Jumaat 17 Julai 2009. Program diadakan di makmal komputer sekolah tersebut dan seramai 52 orang murid tahun 6 menjadi peserta. Tajuk yang menjadi pilihan saya untuk ceramah kali ini ialah “Membentuk Sikap Dan Pemikiran Cemerlang”. Tajuk ini dipilih kerana saya mahu memberikan tanggapan positif kepada murid bahawa bersekolah di pinggir bandar juga boleh mencipta kejayaan sekiranya mempunyai kehendak dan motivasi yang tinggi. Di awal ceramah saya mulakan dengan menayangkan gambar2 saya semasa di sekolah tersebut dan gambar2 kejayaan saya sekarang. Ia bertujuan untuk membuka minda murid bahawa saya juga pernah melalui pengalaman yang mereka lalui sekarang dan berjaya menempa kejayaan. Seterusnya disusuli dengan penerangan punca pelajar tidak cemerlang, masalah pelajar, ciri2 pelajar cemerlang, takrifan sikap, bagaimana membentuk minda cemerlang, kepercayaan menghasilkan kesan dan akibat, matlamat belajar dan terakhir tindakan yang perlu dilakukan oleh murid.
Alhamdulillah murid memberikan kerjasama walaupun satu ketika agak terganggu kerana bateri laptop saya kehabisan sedangkan saya tidak membawa kabel penyambung kerana menjangkakan masa mencukupi tetapi masalah tersebut dapat diatasi dengan menggunakan komputer sekolah. Sebagai penceramah sukarela dan bekas murid sekolah tersebut saya amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pihak sekolah terutamanya Guru Besar sendiri yang sanggup menunggu dan mendengar ceramah saya dari awal hingga akhir. Sesungguhnya beliau memang seorang yang menghargai dan menghormati tetamu. Terima kasih Guru Besar En. Abdul Rahim atas perhatian yang diberikan. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada Cikgu Fazliyaton kerana sudi menjadi penghubung antara saya dengan murid dan kepada sesesiapa sahaja yang menjayakan program ini.
Sesungguhnya program ini benar2 mencabar diri saya untuk kembali semula ke tempat di mana saya mula mengenal huruf dan erti persahabatan. Agak terkilan apabila mengetahui semua guru yang pernah mengajar saya sudah tiada lagi di sekolah tersebut. Ketiadaan mereka kerana ada yang sudah pergi menghadap Illahi, berpencen dan berpindah ke sekolah lain. Jasa dan pengorbanan mereka mengajar dan mendidik saya takkan dilupakan. Kepada guru2 di luar sana saya sarankan sekiranya berkesempatan dan mempunyai kemahiran kembalilah ke sekolah lama anda untuk memberikan sesuatu semoga dengan usaha tersebut menjadi pemangkin untuk melahirkan mata rantai yang akan melakukan perkara yang sama apabila mereka besar kelak. Kepada adikku Muhamad Imran, semua murid SKPB dan murid saya di SKPP9(1) “Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR”. Lakukan dengan sebaik mungkin demi ibu dan ayah yang tercinta. Selamat Maju Jaya. "Be The Best Among The Best!!"
'
'
'

No comments: