07 October 2009

Lebaran: Menyatukan Dan Merapatkan Ikatan Kekeluargaan


Kejayaan mengumpulkan keluarga besar sebelah emak saya untuk bergambar bersama dengan Wan dan Tok adalah sesuatu yang menggembirakan. Sebenarnya perancangan menganjurkan majlis sebegini telah lama berlaku sekitar empat tahun dahulu tetapi disebabkan kekangan dari segi pengumpulan ahli keluarga dan kamera yang sesuai untuk tujuan ini membuatkan segalanya terhenti setakat perbincangan sahaja.
Pada awal tahun ini keluarga besar ini diuji dengan Tok (opah) mengalami masalah kesihatan iaitu muntah darah berlebihan dan kekurangan air dalam badan sehinggakan kami semua merasakan ketika itu seakan saat perpisahan dengannya terlalu hampir. Berkat doa dan bacaan surah yaasin beramai2 dari anak2 dan cucu2nya, Alhamdulillah tok dibenarkan keluar dari wad di saat orang sekelilingnya telah pun dijemput oleh Illahi kembali ke Rahmatullah. Syukur dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Esa kerana memanjangkan lagi usia Tok untuk bersama dengan kami di dunia fana ini. Kami semua begitu menyayangi dirinya.
Bertitik tolak dari peristiwa itu perasaan untuk menyatukan keluarga besar ini semakin membuak2. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berbincang semula dengan ibu saudara (Mak Teh) bagi menyusun program yang telah lama tergendala itu. Kali ini lebih mudah kerana saya sendiri memiliki kamera DSLR Nikon D80 untuk tujuan penggambaran. Segala perbincangan diatur lebih awal dan lebih menarik apabila program ini juga mendapat sokongan padu dari ahli keluarga saya sendiri seperti isteri tersayang, kakak ieja, Baim, Abang Don, Adik Siti, Emak Dan Ayah yang banyak membantu sehingga program ini berjalan lancar.
Pada tanggal 21 September 2009 bersamaan 02 Syawal 1430H maka program yang dirancangkan menjadi kenyataan. Majlis berlangsung di rumah Wan dan Tok di kampung Lahar Minyak, Kepala Batas Pulau Pinang. Semua lapan adik-beradik Mak hadir dan membawa keluarga masing2. Terdapat beberapa orang sahaja yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan urusan lain. Majlis pada hari tersebut bermula dengan semua ahli keluarga berkumpul kemudiannya memasak untuk hidangan tengah hari. Selepas selesai memasak maka semua menjamu selera dengan masakan ala kampung yang disediakan oleh chef kampung juga. Sedap dan berkhasiat makanan yang disediakan secara gotong-royong ini. Kemudian semua terus ke sesi bergambar dan ia dimulai dengan bergambar sesama ahli keluarga kecil dahulu sehinggalah keluarga besar. Acara memberikan duit raya kepada anak saudara tidak ketinggalan dan agak mencuit hati apabila melihat mereka berbaris panjang untuk mendapatkannya. Terakhir adalah aktiviti bermaaf-maafan antara ahli keluarga.
Tidak dilupakan pengambilan salasilah keluarga juga dilakukan bertujuan untuk merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan sebagai rujukan kepada generasi pelapis. Terima kasih kepada Mak Teh yang bertindak sebagai penyelaras program dan semua ahli keluarga atas kerjasama yang diberikan. Semoga program ini dapat diadakan lagi dengan lebih meriah pada tahun2 mendatang dan selaku penganjur bersama yang mencadangkan majlis ini mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga dengan adanya majlis ini ikatan kekeluargaan kita semakin rapat dan kembali bertaut. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.


No comments: