31 October 2009

Sekitar Program Kem 1 Malaysia Putrajaya


Sebenarnya saya mempunyai tugas lain di sekolah untuk diselesaikan iaitu forum dan ceramah awal remaja tetapi memandangkan kekurangan guru untuk menjadi pengiring perkhemahan 1 Malaysia untuk murid2 tahun enam Putrajaya membuatkan saya mengalah dan bersetuju untuk mengikuti mereka. Persetujuan saya juga bersyarat iaitu sekiranya program anjuran unit bimbingan dan kaunseling ditunda. Lain dirancang lain pulak jadinya apabila hasil perbincangan dengan rakan kaunselor kami memutuskan untuk meneruskan juga forum dan ceramah awal remaja di sekolah memandangkan panel dan penceramah sudah dijemput dan persiapan rapi telah dilakukan. Walau terpaksa mengambil murid tahun 5 sebagai pesertanya kerana kekurangan murid tahun enam program tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Atas nasihat pentadbir saya ke perkhemahan tersebut setelah semua urusan saya di sekolah selesai dan untuk tujuan tersebut seorang guru perlu menggantikan tempat saya semalaman di tapak perkhemahan. Terima kasih kepada cikgu Ahmad Khairi kerana sudi menggantikan tempat saya di sana. Jasamu akan dikenang selamanya.
Perkhemahan yang berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 19-22 Oktober 2009 adalah anjuran Pusat Kokurikulum Negeri. Diadakan di Taman Wetlands Putrajaya dan seramai 238 peserta mewakili setiap sekolah rendah di Putrajaya. Sekolah saya sahaja diwakili oleh 40 orang peserta semuanya terdiri dari murid tahun enam dan empat orang guru pengiring. Saya tiba pada malam kedua tetapi pada waktu tersebut hujan amat lebat menyukarkan saya untuk masuk ke dalam kawasan perkhemahan. Apabila hujan renyai saya bersama seorang lagi guru iaitu cikgu Azian Nuddin ke tapak perkhemahan dan di sana saya dibekalkan dengan pakaian kem dan diberikan taklimat untuk keesokan harinya. Sedikit penerangan ringkas daripada kem komandan telah membantu saya mengetahui apakah tujuan sebenarnya kem ini dianjurkan. Pada malam itu juga saya berkesempatan bertemu dengan beberapa rakan kaunselor yang juga ditugaskan oleh sekolah sebagai guru pengiring. Ada juga di sana rakan semaktab saya yang sebelum ini berkhidmat di Johor tetapi kini sudah bertukar ke Putrajaya iaitu Cikgu Shaiful Shahrizam Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shah di sini. Pro-aktif dan ligat orangnya semenjak berada di sini.
Keesokan harinya selepas senaman dan sarapan peserta menaiki bas dan menuju ke Tugu Negara dan Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Kuala Lumpur. Banyak juga peserta yang mendapat hadiah sewaktu menjawab soalan kuiz semasa di memorial tersebut. Pulang dari lawatan peserta diajar bermain permainan rakyat pada waktu petang dan sebelah malamnya diadakan persembahan kebudayaan. Tidak banyak yang sempat saya bersama mereka memandangkan saya masuk pada hari kedua tetapi sedikit sebanyak saya dapat memerhatikan ragam anak didik Putrajaya yang melakukan perkhemahan juga di Putrajaya. Bersyukur sepanjang perkhemahan tiada berlaku apa2 kejadian yang tidak diingini seperti yang berlaku pada perkhemahan yang sama di perak. Sesungguhnya kejadian tersebut membuka mata saya agar lebih berhati-hati menerima tugas sebagai guru pengiring.

'
'

No comments: