15 December 2010

Mendekatnya Kematian..


Setiap yang bernyawa di dunia ini pastinya akan mati, begitu juga dengan manusia sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-'Imran ayat 185 "Setiap yang bernyawa pasti akan mati." Entri kali ini mungkin tidak disukai oleh kebanyakan orang yang hidupnya hanya berkisar kepada kebendaan dan dunia semata tetapi menjadi pengajaran dan pedoman kepada orang yang selalu bermuhasabah diri dan takutkan datangnya waktu penghijrahan dari alam fana ke alam baqa. Jujur saya katakan sewaktu kecil persoalan kematian hanya berlegar sambil lalu sahaja di dalam kotak pemikiran saya kerana mungkin pada waktu tersebut merasakan diri masih muda tetapi kini apabila dewasa terasa seakan mendekatnya kematian apabila orang yang dikenali sedikit demi sedikit telah tiada kerana dijemput Rabbul Jalil untuk menghadapNYA.
Dua minggu lagi genaplah tujuh bulan pemergian abah tercinta iaitu bapa mertua saya yang dikasihi. Pemergian yang mengejutkan kami sekeluarga kerana seakan mendadak walaupun abah diketahui sakit sebelumnya. Abah menderita hampir sebulan akibat jangkitan kuman pada paru2nya dan ternyata Allah lebih menyayanginya berbanding dengan kita semua. Kisah kedua yang saya ingin kongsikan disini pula ialah kegembiraan sahabat saya menyambut kelahiran kembar tiga anaknya pada awal tahun dahulu baru2 ini berakhir dengan kesedihan dan linangan airmata kerana isterinya yang berusia 35 tahun didapati jatuh di dalam bilik air rumahnya dan telah meninggalkan mereka sekeluarga bersama kembar tiga yang belum sampai setahun dilahirkannya dahulu. Pemergian saya untuk menziarahi jenazah dan sahabat ini membawa keinsafan mendalam bahawa kematian boleh berlaku pada bila2 masa dan di mana sahaja.
Kisah terbaru iaitu semalam saya menerima berita di mana bapa saudara saya sebelah ayah telah dijemput Ilahi dalam keadaan cukup tidak disangka iaitu helikopter yang dipandunya telah terhempas dan telah meragut nyawanya. Seperti yang terpampang di dada akhbar usia beliau baru 31 tahun dan meninggalkan balu serta anak yang baru berusia setahun lebih. Sekali lagi bermuhasabah saya bahawa kematian tidak mengira usia dan boleh berlaku di peringkat usia mana sahaja dan pada sesiapa sahaja.
Sedikit bingkisan sewaktu pulang ke kampung baru2 ini saya menyaksikan ketiga2 orang tua yang ada dalam keluarga saya iaitu tok (opah) sebelah ayah dan emak serta tok wan (atuk) sebelah emak tidak berapa lagi sihat seperti sediakala. Melihat tok sebelah emak yang selalu muntah darah dan tok sebelah ayah yang terbaring akibat tidak dapat berjalan serta mempunyai masalah dengan sistem pencernaannya membuatkan hati saya sayu untuk pulang. Kesedihan itu ditambah lagi dengan pesanan tok wan yang bersungguh2 mahu saya menjadi imam untuk mengimami jenazahnya kelak membuatkan saya kian sebak apabila mengenangkan ini semua. Sememangnya tok wan selalu sesak nafas dan saya belum bersedia untuk memikul amanahnya pada saat ini. Mohon dipanjangkan usia mereka untuk diberikan kesempatan agar saya bersedia tetapi dalam pada masa yang sama saya sedar tiada siapa yang dapat mengelak ajal maut dari menghampirinya walau sesaat. Kalau bukan mereka mungkin saya yang terlebih dahulu meninggalkan mereka. Mohon diberikan kesempatan untuk berbuat kebaikan. Amin.
Kesimpulan yang saya dapat buat dari entri ini ialah sedar tidak sedar kematian sebenarnya menghambat kita. Semakin bertambah bilangan usia sebenarnya bukan menjauhkan kematian dengan kita tetapi makin mendekatkan lagi kematian. Lupakanlah sebentar dunia buat seketika untuk bermuhasabah dan kenangilah insan tersayang yang sudah tiada di depan kita serta bagaimana penghidupan kita kelak di padang mahsyar. Sama2lah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang sudah pergi dan bersedialah kita pada bila2 masa sahaja untuk dijemput kesana. Ampun maaf dari saya atas segalanya. Akhirul kalam, siapkan bekalan, mantapkan amalan demi sebuah perjalanan yang kekal abadi.
'
'

No comments: