26 December 2010

Mak dan Ayah datang Menziarahi


Bulan ini merupakan bulan yang penuh bermakna bagi saya kerana impian untuk membawa serta menjemput Mak dan Ayah datang ke rumah baru kami sekeluarga tercapai juga akhirnya. Perancangan awal dahulu ialah Mak dan Ayah akan datang bersama dengan abang2 dan kakak saya lebih kurang dalam tiga buah kereta dari Penang ke Putrajaya. Disebabkan perancangan tersebut juga membuatkan kami sekeluarga tidak pulang ke kampung pada Hari raya Aidiladha yang lalu kerana mahu bersama mereka di sini. Tetapi malangnya perancangan tersebut tidak menjadi kenyataan akibat kekangan waktu dan masalah2 lain yang berbangkit.

Mengambil kira niat saya yang berkobar-kobar untuk membawa Mak dan Ayah datang ke Putrajaya aka saya nekad untuk pulang ke kampung pertengahan bulan yang lalu untuk memujuk Mak dan Ayah untuk pulang bersama. Alhamdulillah Mak dan Ayah bersetuju untuk bersama kami tetapi timbul pula masalah apabila adik lelaki saya, kakak serta anak kesayangannya hendak ikut serta. Seramai enam orang dewasa dan 3 orang kanak2 tidak mungkin muat untuk duduk di dalam kereta saya yang hanya muat untuk 5 orang dewasa sahaja. Untuk mengatasi masalah tersebut terpaksalah Ayah dan Adik menaiki bas ke Putrajaya dan Mak serta Kakak bersama kami menaiki kereta pada hari yang sama.

Selain hadir untuk melihat rumah baru saya Mak, Ayah, Kakak serta Adik sangat teruja untuk pergi ke tempat2 menarik sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Banyak yang dirancang tetapi kesempatan yang ada saya sempat membawa mereka ke Aquaria KLCC, Petrosains, Tugu Negara, Pasar Malam Putrajaya, Alamanda, dan yang terakhir ialah rumah saudara yang terletak di Taman Medan. Kelihatan Ayah dan Mak sangat teruja apabila dibawa ke Aquaria menyaksikan pelbagai jenis ikan, Kakak pula seakan tidak puas berada di Petrosains KLCC tempat pilihannya sendiri pada hari kedua dan Adik pula sangat gembira ke pasar malam terbesar pernah disaksikannya. 'Atiiqah pula gembira kerana dapat bersama dengan sepupunya ke setiap tempat yang dilawati. Begitu juga kami sekeluarga apabila mengunjungi rumah saudara yang belum pernah dilawati sebelum ini. Dengan perantaraan Mak dan Ayah kali ini maka selepas ini bolehlah kami sekeluarga pergi ke sana kerana sudah mengetahuinya.

Kunjungan Mak dan Ayah kali ini juga cukup bermakna bagi saya apabila saya sempat untuk mempelajari beberapa jenis masakan utara daripada Mak. Antara yang sempat diajarkan kepada saya ialah gulai nangka, masak asam pedas, sayur lemak dan ikan tenggiri masak cuka. Alhamdulillah walaupun ada beberapa resepi tidak sempat diajar tetapi memadai kerana saya dapat secara langsung daripada Mak termasuk petua2 memasak. Kakak pula sepanjang barada di sini bertindak sebagai tukang masak memandangkan isteri saya bekerja. Berbagai jenis lauk-pauk dihidangkannya kepada kami dan boleh dikatakan semuanya sedap2 belaka dan habis dimakan.

Menerima kehadiran Mak dan Ayah di rumah sendiri merupakan saat yang paling indah dalam hidup. Kalau boleh seakan mahu Mak dan Ayah tinggal bersama kerana sebagai anak seakan tidak puas tinggal bersama dan ingin selalu menatap wajah mereka di depan mata. Mohon Allah panjangkan usia mereka untuk saya berbakti di kesempatan yang ada agar mereka merasa sekelumit jasa saya atas pengorbanan mereka yang selama ini telah bersusah payah membesar, menyara, memberikan kasih sayang dan memberikan pendidikan kepada saya sehingga saya menjadi sebegini seadanya. Sememangnya Mak dan Ayah adalah kekuatan dan sumber inspirasi saya dalam melayari hidup ini. Semoga saya dapat berbakti dan menjadi anak soleh yang mendoakan buat mereka berdua. Ameen.

MutiaraMinda2u:
"Alangkah ruginya bagi Ibu Bapa yang memiliki bilangan anak yang ramai tetapi tiada seorang pun yang menadah tangan memohon ampun dan menjadi anak soleh yang mendoakan buat mereka kerana doa dari anak yang soleh kepada kedua Ibu Bapanya menjadi salah satu daripada tiga amalan yang menyelamatkannya sesudah ketiadaannya."

No comments: