08 August 2009

Ceritera Ceria: Jiran Dua Kali Lima (2x5)

Hujung minggu kali ini saya paparkan kisah hidup berjiran yang boleh dikategorikan sebagai kelakar tetapi mempunyai maksud tersirat yang mendalam. Ceritanya simple, mudah dan ringkas tetapi boleh dijadikan sebagai panduan dalam kita menjalani kehidupan berjiran.
'
Suatu hari tatkala sepasang suami isteri sedang beramah mesra di hujung minggu, si isteri mengadu kepada si suami. “Bang, Jiran kita itu ada tabiat buruk!,” katanya selamba. “Betul ke? Kenapa sayang berkata begitu?,” tanya si suami ingin tahu. “Sungguh bang, setiap kali bila saya intai dia di celah-celah pintu dan tingkap dia pasti mengintai rumah kita di celah-celah pintu dan tingkap juga!.”

'
Ilmuwan Hati: Dalam kehidupan bersama masyarakat kita tidak boleh lari dari hidup berjiran. Setiap rumah yang ada sama ada di taman-taman perumahan, apartment, rumah flat, rumah teres, rumah kampung dan sebagainya pasti ada rumah lain yang bersebelahan dengannya. Ini bermaksud selain keluarga kita, terdapat juga keluarga lain yang mendiami kawasan tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenali mereka kerana mereka merupakan jiran kita. Apa yang menyedihkan, kebelakangan ini kehidupan berjiran sudah tidak lagi menjadi keutamaan sebagaimana zaman ibu bapa kita dahulu. Di bandar-bandar besar, jiran sudah tidak mempedulikan jirannya dan saya merasakan situasi yang sama juga sudah menular di kampung2. Walaupun rumah mereka saling bersebelahan tetapi antara satu sama lain tidak mengetahui siapa penghuninya. Usah ditanya siapa nama anak jirannya kalau nama bapanya yang seusia dan selalu bertembung pun tidak tahu.
Jiran sekarang lebih gemar bersendirian dan menyendiri di dalam rumah mereka dari bertegur sapa dengan jiran lain di sekelilingnya. Lebih mendukacitakan apabila terdapat jiran yang sanggup menyusahkan jirannya dengan membuat perkara2 yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang jiran. Berbalik kepada kisah di atas, sekiranya kita tidak mahu jiran kita berprasangka buruk kepada kita, janganlah kita berprasangka buruk padanya. Begitu juga dalam hal-hal yang lain. Sempena kedatangan bulan mulia tidak lama lagi marilah kita sama2 mengharmonikan suasana kejiranan dengan sikap dan amalan terpuji yang dituntut agama. Masalah gejala tidak sihat dan tidak bermoral boleh dibendung sekiranya jiran kembali mempedulikan jirannya. Bukan menjaga tepi kain jiran tetapi menjaga agar jiran tidak terjatuh kerana terpijak kain yang dipakainya. Semoga jiran anda sekarang adalah jiran yang terbaik buat anda.
'
'

No comments: