31 August 2009

Salam Kemerdekaan, Salam Perjuangan

Hari ini kita semua menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke-52. Sambutan yang berlangsung kira2 40 minit di Dataran Parlimen hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan penglibatan kontinjen kanak2 sekolah seperti tahun2 sebelumnya berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A (H1N1) dan bagi menghormati bulan Ramadhan. Satu usaha terpuji diambil oleh kementerian berkaitan dan kerajaan dalam menyambut hari kemerdekaan negara pada kali ini.
Kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita terlepas dari belenggu penjajahan yang bersifat fizikal semata2 tetapi kita juga perlu memerdekakan seluruh aspek dalam diri kita termasuk dari segi pemikiran. Tidak ada gunanya kemerdekaan yang dikecapi hari ini sekiranya kita masih lagi dijajah dari segi minda dan fikiran yang berpaksikan barat. Sedih melihat muda-mudi sekarang berpelesiran ke sana ke mari tanpa arah tujuan apatah lagi untuk mempertahankan negara dari ancaman luar sedangkan datuk nenek kita dahulu ramai yang terkorban lantaran sibuk untuk menentang penjajah bagi mendapatkan kemerdekaan negara.
Pada hemat saya, kita boleh belajar sesuatu daripada negara jiran dalam menonjolkan pejuang2 yang membela negara. Penonjolan pejuang ini amat perlu di kalangan muda mudi ini agar mereka benar2 insaf bahawa bukan mudah untuk mendapat kemerdekaan. Sekiranya anda perhatikan di Indonesia anda akan dapati bahawa mereka benar2 menghargai tokoh2 negara mereka baik pemimpin mahu pun ulama. Terdapat banyak buku di toko dan pustaka yang menceritakan perjuangan tokoh mereka dari segenap segi dan uniknya mereka membaca dan menghayatinya. Kebanggaan mereka terhadap tokoh ini juga dapat dilihat dengan terdapatnya makam2 yang masih dipulihara sehingga kini. Selain itu pada wang kertas mereka juga, untuk setiap nilai akan terdapat gambar2 tokoh mereka yang berbeza. Ia sedikit sebanyak membuatkan mereka kenal dan bangga akan perjuangan tokoh ini. Berbeza dengan kita di mana boleh dikatakan tiada tempat dan daerah yang betul2 menonjolkan pejuang tempatan sepenuhnya melainkan Melaka dengan laksamana Hang Tuah lima bersaudara. Bayangkan sekiranya semua daerah menonjolkan tokoh masing2 seperti Dato’ Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato Maharaja Lela, Mat Kilau, Panglima Mat Salleh, Rosli Dhoby, Tok Janggut, Tok Kenali dan ramai lagi yang menentang penjajah yang saya sendiri sudah lupa lantaran mereka kini sudah tidak lagi disebut di dalam buku teks dan media massa. Alhamdulillah terdapat sedikit perubahan pada wang kertas 50 yang baru kerana sudah ada gambar Bapa Kemerdekaan kita iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Adalah diharapkan banyak lagi tokoh yang menentang penjajahan dan pejuang kemerdekaan akan ditonjolkan selepas ini. Semoga dengan penonjolan tersebut anak muda masa kini akan menjadikan mereka ikon seterusnya turut diresapi semangat perjuangan mereka menentang penjajahan dan mempertahankan kemerdekaan.
Mendapat kemerdekaan adalah sesuatu yang sukar tetapi hendak menjaga kemerdekaan itu adalah jauh lebih sukar. Berapa banyak negara di dunia ini yang sudah lama merdeka tetapi masih lagi terjajah dan tidak mendapat kebebasan sepenuhnya. Sebagai warga pendidik saya menyeru bersamalah kita menyemai semangat kecintaan kepada negara ke dalam dada anak didik kita kerana cintakan negara adalah sebahagian daripada iman. Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara yang ke-52 buat semua.
'
'
'

No comments: