29 March 2010

Kompilasi 4 Tahun Pendidik Kini Dimiliki


Teruja rasanya hati hari ini apabila memiliki kompilasi majalah Pendidik bermula dari tahun 2006 hingga tahun 2009. Satu koleksi yang tidak pernah saya bayangkan akan memilikinya suatu ketika dahulu kini dalam genggaman. Perkiraan awal saya hanya mahu mendapatkan kompilasi majalah ini dari tahun 2008 hingga 2009 sahaja kerana pada tahun tersebut saya baru memulakan profesion sebagai seorang guru. Tetapi apabila berbincang dengan pegawai yang mengendalikan majalah tersebut dia mencadangkan saya bermula dari tahun 2006 kerana banyak info berkaitan perguruan dan pendidikan dimuatkan dalam tahun tersebut. Satu cadangan yang rasional dan baik bagi saya yang sememangnya seorang "ulat buku" dan berkebetulan pula dimurahkan rezeki untuk mendapatkannya.
Kesedaran memiliki sesuatu bacaan berkaitan pendidikan sebenarnya telah lama bermain di fikiran. Apabila menyorot kembali bahan bacaan santai saya selama ini tidak dinafikan ia lebih kepada politik semasa tanah air. Walaupun ada kebaikannya iaitu dapat mengasah minda dengan isu2 semasa dunia politik dan undang2 tetapi terasa seakan ada kekurangan apabila sudah memasuki alam perguruan apabila isu berkaitan pendidikan tidak saya ketahui. Bermula dari titik persoalan tersebut saya mencari bahan bacaan santai berkaitan pendidikan maka ditemui majalah Pendidik yang sememangnya diakui penulisannya memartabatkan profesion perguruan dengan info2 terkini alam pendidikan sesuai dengan namanya iaitu 'Pendidik'.
Membaca kisah2 guru yang cemerlang dan cabaran yang mereka tempuhi serta maklumat terkini dunia pendidikan membuatkan saya teruja untuk memilikinya tambahan pula di belakang majalah tersebut terpampang iklan mengatakan kompilasi tahun2 sebelum ini boleh dimiliki. Satu peluang yang tidak akan dilepaskan. Sebenarnya banyak kali juga saya menghubungi pihak majalah sebelum inni untuk bertanyakan perihal kompilasi tetapi malangnya panggilan tidak diangkat. Hari ini saya mencuba lagi dan Alhamdulillah diangkat oleh pegawai pemasarannya dan dengan bantuan beliau saya mendapatkannya di Ampang.
Bagi yang tidak memahami tujuan sebenar memilikinya mungkin akan mengatakan saya membazir wang membeli majalah yang sudah tamat tempohnya tetapi pada saya dengan memiliki kompilasi ini saya boleh memahami isu2 pendidikan sebelumnya dan mutakhir agar lebih bersemangat untuk menggalas beban sebagai pendidik. Berdasarkan pemahaman tersebut diharapkan agar saya tidak mudah melatah dengan sekelumit cubaan dan dugaan kerana pendidik terdahulu lebih besar dugaannya jika hendak dibandingkan dengan pendidik sekarang. Mudah2an di samping niat untuk terus menuntut ilmu dan mendidik menjadikan saya seorang pendidik atau sebagai ‘Sang Murabbi’ yang disegani bukan sahaja kerana keperibadian dirinya
tetapi juga kerana ilmunya. Bersama kita memartabatkan profesion perguruan.
'
MutiaraMinda2u:
"Akal mempertahankan barang yang pahit tapi manis akibatnya,
nafsu mempertahankan barang yang manis tapi pahit akibatnya."
'
'

01 February 2010

Pengalaman Ceramah Kemahiran Keibubapaan (MUAFAKAT ‘10)


Satu program yang dinamakan sebagai Permuafakatan Ibu Bapa Murid Tahun Enam dan Guru 2010 atau singkatannya (MUAFAKAT ‘10) telah diadakan pada tanggal 28 Januari 2010 di Dewan Kompleks Sekolah Presint 9 Putrajaya. Program yang objektifnya untuk menjalinkan kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa ini adalah program tahunan khas untuk murid2 tahun enam yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Tahun ini saya diberikan amanah oleh Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR untuk menjadi pengurus program bagi melaksanakannya. Selain tugas tersebut terdapat satu lagi tugas mencabar yang menanti saya.
Untuk pengetahuan, pada tahun lepas program yang sama juga telah dianjurkan dan penceramah jemputan untuk mengisi slot kemahiran keibubapaan adalah Dr Ridhuan Tee Abdullah iaitu seorang penceramah bebas yang tidak asing lagi di Malaysia. Berdasarkan mesyuarat dan persetujuan semua guru yang menjadi jawatankuasa, tahun ini sedikit pembaharuan akan dilakukan iaitu dengan menggunakan tenaga dalaman sahaja sebagai penceramah. Justeru itu, saya secara tidak langsung telah diberi kepercayaan untuk menyampaikan ceramah kemahiran keibubapaan kepada ibu bapa yang hadir pada program ini. Satu tugas yang berat tetapi atas kehendak dan kepercayaan rakan guru terutamanya pentadbir saya akur dan menerima tanggungjawab ini. Bermula dari mesyuarat tersebut saya mula membuat persiapan kerana telah menjadi prinsip saya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang saya lakukan.
Hari yang dinantikan telah pun tiba dan segalanya berjalan dengan lancar sebagaimana dirancang. Majlis dimulakan dengan aluan pengerusi kemudiannya ucapan wakil Guru Besar dari GPK Akademik Pn. Nik Sabariah dan disusuli ucapan YDP PIBG En. Jamaludin Bin Nawi. Seterusnya majlis penyerahan mentor mentee di hadapan ibu bapa dan sesi ramah mesra. Tepat pukul 3:30 petang slot saya bermula dan di permulaan ceramah saya menyentuh beberapa kesilapan lazim yang dilakukan ibu bapa berdasarkan pembacaan dan pemerhatian. Seterusnya saya memberi fokus kepada kemahiran komunikasi PAC. Satu kemahiran yang saya rasakan cukup penting untuk difahami dan digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar dapat mewujudkan satu suasana kekeluargaan yang harmoni. Secara tidak langsung ia dapat membantu melonjakkan pencapaian akademik anak2. Masa selebihnya saya tayangkan beberapa video yang boleh memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang peranan dan kasih sayang terhadap anak. Alhamdulillah walaupun berceramah pada waktu petang dan sebagai seorang yang baru dalam arena pendidikan ini, ibu bapa tetap tidak berganjak mendengarnya. Setelah selesai ceramah, majlis diteruskan dengan taklimat UPSR oleh penyelaras kecemerlangan iaitu Pn. Rozilah Md. Khir dan diakhiri dengan testimonial dari dua ibu bapa murid cemerlang UPSR 2009.
Terima kasih kepada tuan puan kerana memberikan perhatian kepada isi penyampaian saya. Selamat beramal dengan kemahiran tersebut dan harapan saya semoga anak tuan puan berjaya dalam akademik dan menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tuanya. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada sifu saya iaitu En. Ab. Aziz Mohd Yatim kerana memberikan modul ini kepada saya walaupun saya bukanlah anak didik rasmi beliau. Tunjuk ajar beliau selama ini membuatkan saya berani untuk tampil ke hadapan mengekplorasi diri untuk menjadi seorang kaunselor yang unggul. Semoga kelak, ia akan menjadi ilmu yang bermanfaat buat Tuan dan buat saya juga sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang masyhur apabila kita sudah meninggalkan dunia.
Pengalaman ini tidak akan saya lupakan kerana ia merupakan pengalaman baru saya berdepan dengan ibu bapa. Banyak yang saya dapat pelajari sepanjang menyampaikan ceramah kepada ibu bapa ini. Selaku pengurus majlis saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang terlibat dan rakan guru yang membantu menjayakan program (MUAFAKAT ’10) kali ini. Saya sedar atas usaha gigih kalian jugalah program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih semua.. Uilove!
'
MutiaraMinda2u:
“Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya”.
(HR. Muslim)
'
'
'

31 January 2010

Memori Ceramah Personaliti Pengawas Dan Pengurusan Masa Di SKPP16(1)


Bulan Januari merupakan bulan yang agak padat buat saya kerana setiap minggu ada saja aktiviti menyampaikan ceramah motivasi baik di sekolah sendiri mahupun sekolah sekitar. Tanggal 22 Januari 2010 yang lalu saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Personaliti Pengawas dan Pengurusan Masa” di SK Putrajaya Presint 16 (1). Jemputan datangnya dari sahabat seperjuangan iaitu En. Zulkiple yang merupakan seorang kaunselor di sekolah berkenaan. Peluang mengasah bakat yang tersedia di depan mata ini tidak saya lepaskan kerana ia adalah sekolah kedua yang menjemput saya berceramah selepas SMK Presint 9 (1) pada tahun lepas. Program diadakan sempena Kursus Kepimpinan Pengawas anjuran Unit HEM sekolah berkenaan.
Menyampaikan ceramah yang mempunyai dua tajuk asas dalam masa sejam benar2 membuatkan saya tidak senang duduk mencari bahan kerana mengikut kebiasaannya untuk satu slot pengurusan masa sahaja, saya memerlukan masa sekitar 2 jam untuk memastikan peserta menguasai apa yang hendak disampaikan. Untuk penerangan personaliti pengawas pula tiada masalah kerana ia tidak melibatkan aktiviti dan pemahaman yang detail. Perbincangan dengan En. Zulkiple memberikan saya sedikit gambaran bahawa objektif kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada pengawas mengenai personaliti dan pengurusan masa secara umum. Selepas ceramah saya mereka akan bersama dengan beberapa orang guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk slot LDK bagi memantapkan lagi isi ceramah dan program kepimpinan susulan turut akan diadakan selepas ini.
Masa yang diberikan kepada saya ialah antara pukul 3:00 hingga pukul 4:00 petang. Sememangnya diakui waktu petang adalah waktu yang kurang terapeutik untuk mendengar ceramah tetapi ia tidak melunturkan semangat saya untuk memberikan yang terbaik bagi program tersebut tambahan pula saya membawa nama sekolah, profesion dan nama sendiri. Bermula dengan cerita “yang hitam ke yang putih” sebagai set induksi ia telah berjaya mencuit hati peserta dan mewujudkan rappo antara mereka dengan saya. Seterusnya saya menyentuh personaliti pengawas melalui akronim PENGAWAS itu sendiri dan masa selebihnya saya memberi fokus kepada pengurusan masa melalui diagram penting, tidak penting, segera dan tidak segera dengan menggunakan teknik kad berwarna. Melalui pemerhatian, walaupun dalam masa yang singkat peserta nampaknya memahami akan teknik yang saya terangkan kepada mereka dan akan mengaplikasikannya selepas ini. Selesai menyampaikan ceramah, saya terasa bagaikan seorang yang begitu dihargai kerana sambutan yang diberikan oleh mereka melalui senyuman, sapaan dan tepukan membuatkan saya terkesima sejenak. Tidak pernah rasanya di mana2 ceramah sebelum ini saya berperasaan sedemikian. Terima kasih semua peserta dan selamat beramal.
Terima kasih juga diucapkan kepada pihak pentadbiran SKPP16(1) terutamanya kepada En. Zulkiple kerana sudi menjemput saya dan memberikan pengalaman yang cukup bermakna ini. Semoga di masa akan datang kita boleh berkolaborasi demi untuk perkembangan sahsiah dan peningkatan akademik murid2 kita. Jika tidak keberatan, suka saya mendengar output dari program ini dan komen mengenai ceramah yang disampaikan untuk tujuan penambahbaikan.
'
MutiaraMinda2u:
"Kita tidak perlu membandingkan pencapaian kita dengan pencapaian orang lain. Kita hanya perlu membandingkan pencapaian kita dengan matlamat yang kita sendiri telah tetapkan."
'
'

Apabila Teknologi Mempengaruhi Tindakan


Tidak pernah difikirkan sebelum ini bahawa teknologi juga sebenarnya memainkan peranan dalam menjayakan dan menggagalkan segala perancangan yang telah dirancang. Tetapi kejadian baru2 ini membuatkan saya akur bahawa sebagai manusia yang bergantung harap kepada kecanggihan teknologi saya tidak boleh lari dari menerima tempiasnya jikalau teknologi itu menghadapi masalah atau musibah. Kalau diikutkan sememangnya di awal tahun saya sudah berazam untuk lebih banyak menulis pada tahun ini tambahan pula saya sudah mengeluarkan artikel dalam blog ini mengatakan yang saya mahu melalukan perubahan.
Beberapa minggu lepas saya mengalami masalah dengan printer yang sudah tidak boleh digunakan lagi dan sudah ditukar dengan yang baru. Minggu berikutnya timbul masalah dari segi akses internet pula dan apabila masalah tersebut dapat diselesaikan dengan pihak pengendali kini timbul pula masalah baru iaitu motherboard komputer saya telah rosak dan perlu diganti semula untuk memastikan ianya terus beroperasi. Sampai sekarang masih belum boleh diganti kerana harganya agak mahal iaitu sekitar RM300-500 seunit. Kejadian ini benar2 membuatkan tindakan saya terbantut disebabkan banyak kerja buat saya menggunakan PC di rumah yang telah dimasukkan beberapa perisian bagi memudahkan lagi kerja saya.
Walaupun mempunyai laptop sebagai pengganti tetapi entah kenapa saya lebih suka menggunakan PC. Alhamdulillah dengan bantuan sahabat dapat juga saya simpan bahan yang terdapat dalam hard disk PC ke dalam laptop saya. Kalau tidak, mahu saya termangu tidak boleh melakukan sebarang kerja kerana banyak data terdapat di dalam PC. Itulah perlunya untuk kita melakukan backup file di dalam external hard disk ataupun DVD supaya tidak masih dapat melakukan kerja walau komputer mangalami masalah.
Banyak kisah dan kejadian menarik yang berlaku dalam bulan ini masih belum dapat saya siarkan untuk dikongsi bersama. Insya'Allah buat sementara waktu laptop saya akan menggantikan PC bagi memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar. Sesungguhnya kejadian ini mengajar saya untuk lebih berhati2 dan bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana kini saya sedar bahawa teknologi juga boleh membuatkan seseorang itu berjaya mencapai matlamat dan boleh membuatkan seseorang itu kecewa kerana tidak tercapai matlamat. MutiaraMinda untuk dikongsi bersama:
'
"Memulakan sesuatu itu adalah HEBAT, tetapi menyelesaikannya adalah LEBIH HEBAT."
'
'

06 January 2010

Pembantu Rumah Membakar Rumah

Kebiasaannya tujuan sebenar majikan mempunyai pembantu rumah ialah untuk membantu meringankan beban diri dan pasangannya setelah seharian penat bekerja. Antara tugas yang biasa dilakukan oleh seorang pembantu rumah ialah menyelenggarakan rumah sewaktu ketiadaan majikan, menyediakan makanan, membasuh pinggan mangkuk dan pakaian, menjaga anak2, mengemas rumah dan perkara2 lain yang difikirkan perlu serta bersesuaian dengan bidang tugas sebagai pembantu rumah. Tetapi lain pula jadinya di Taman Murni Indah, Telaga Daing, Kuala Terengganu pada hari ini iaitu apabila pembantu rumah sanggup membakar rumah majikannya dan melarikan wang tunai RM500 beserta dua buah komputer dalam satu kejadian.
Amah muda yang baru berusia 14 tahun dari Palembang, Indonesia itu dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah tersebut sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. Dia walau bagaimanapun telah berjaya ditahan oleh adik majikannya di Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) ketika cuba melarikan diri dengan membeli tiket bas ke Kuala Lumpur.
Menariknya, reaksi pertama majikan yang baik ini apabila diberitahu rumahnya terbakar ialah meminta orang ramai memecah pintu rumah kerana menyangka pembantu rumahnya berada di dalam sedangkan pembantu rumah itu awal2 lagi sudah angkat kaki kerana dia sendiri yang membakar rumah tersebut. Kejadian itu menyebabkan semuanya hangus termasuk barang-barang dalam bilik tidur anaknya termasuk sijil persekolahan habis terbakar dan jumlah kerugian dianggar bernilai RM115,000.
Apabila berlaku sebegini hati saya tertanya2 apakah masih majikan juga yang perlu disalahkan sebagaimana sebelum ini kecoh bahawa majikan selalu mendera pembantu rumah dengan berbagai alasan diberikan sedangkan hakikatnya penderaan anak2 majikan lebih hebat dilakukan oleh mereka ini dalam tidak kita sedari. Kini muncul pula tindakan nekad yang baru iaitu mereka sudah berani untuk membakar rumah majikan sendiri dan tidak mustahil suatu hari nanti kita akan mendengar berita berkaitan majikan dibakar oleh pembantu rumah gara2 tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan.
Semoga selepas ini kita lebih berhati2 memilih pembantu rumah atau berkorban untuk tidak memiliki pembantu rumah sama sekali. Pastikan yang kita tidak akan menangis di kemudian hari lantaran sikap kita yang acuh tidak acuh apabila berita sebegini di khabarkan. Mutiara minda untuk renungan bersama:
'
"Manis jangan disangka gula. Pahit pula jangan disangka hempedu. Pastikan yang manis itu benar-benar gula dan yang pahit itu benar-benar hempedu. Kadang-kadang kita mungkin akan terperangkap pada kemanisan dan kepahitan akibat dari kurangnya penyelidikan. Oleh itu sentiasalah berhati-hati sebelum mempercayai sesuatu kerana itu lebih baik dari beringat selepas kita menanggung akibat."
'
Keterangan lanjut: http://www.mstar.com.my'
'
'

05 January 2010

2010 : Perubahan Menuju Kecemerlangan


Entri ini adalah tulisan pertama saya untuk tahun ini. Setelah hampir sebulan lamanya menyepikan diri dari dunia blog lantaran asyik menukar template blog ini kepada beberapa template baharu kononnya untuk mengikut trend semasa. Hasilnya kini saya masih menggunakan template lama tetapi menambah bilangan column menjadi tiga kerana merasakan hanya ini yang sesuai dengan jiwa dan sejuk mata memandang. Walaupun sebenarnya dalam masa tersebut terdapat tulisan yang sudah siap saya karang tetapi tidak dapat dimasukkan di blog ini kerana sudah kurang bisanya lantaran ditelan masa kerana entri tersebut berkaitan dengan isu semasa. Tambahan pula baru2 ini saya mengalami sedikit masalah pada talian internet di rumah. Biarkanlah tulisan tersebut kerana yang berlalu, sudah berlalu dan kini yang pastinya kita sudah memasuki fasa baru dalam kehidupan iaitu tahun 2010.
Sebagaimana dengan individu lain, masuknya tahun baru masehi atau hijrah pasti akan ada yang berazam melakukan sesuatu. Tidak kurang pula yang asyik mengulang azam melakukan perkara yang sama saban tahun. Tidak ketinggalan pada tahun ini ingin saya juga turut berbuat demikian walaupun perkara ini boleh sahaja dilakukan pada bila2 masa tetapi permulaan tahun baru lebih mudah untuk menjadi kayu ukur pencapaian. Entah kenapa tahun 2010 ini saya merasakan diri lebih bersemangat dari sebelumnya. Ingin sahaja melakukan perubahan demi perubahan baik dalam diri mahupun kerjaya.
Sememangnya perasaan ini timbul mungkin dari persediaan saya serba sedikit berkaitan dengan kerjaya pada tahun ini telah dilakukan bermula akhir 2009. Pengalaman saya selama dua tahun di sekolah membuatkan saya lebih nampak apakah perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan pada tahun ini. kesimpulannya saya bertekad untuk menggunakan segala kemudahan yang ada untuk meningkatkan lagi pencapaian dan keberkesanan tugas saya di sekolah. Antara perubahan yang akan dilakukan ialah manfaatkan penggunaan ICT dalam perkhidmatan.
Banyak masa yang boleh dijimatkan sekiranya saya dapat memanfaatkan ruang dan peluang sedia terbentang di depan mata. Kerja juga akan menjadi lebih teratur dan terancang. Insya’Allah dengan kemahiran dan kemudahan yang ada ini akan saya pastikan 2010 ini menjadi titik tolak kepada saya untuk menjadi guru cemerlang sekurang2nya tiga tahun akan datang. 2010 pastinya akan merubah kehidupan saya menjadi seorang yang ‘work smart’ berbanding sebelum ini saya lebih terarah melakukan kerja secara ‘work hard’ tetapi hasilnya pada fikiran saya adalah setimpal antara keduanya. Natijah dari perubahan tersebut masa yang ada akan dimanfaatkan sebaiknya untuk peribadi, keluarga, kerjaya dan Pencipta. Sampai di sini, teringat saya akan kata2 masyhur Saidina Ali Karamallahu Wajhah berkaitan dengan perancangan dan kekalahan. Mari kita renung2kan bersama:
'
“Kebenaran yang tidak mempunyai perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang mempunyai perancangan yang rapi dan tersusun.”
'
'
''

07 December 2009

Orang Malaysia Kurang Senyum?


Sekiranya ditanya soalan ini kepada anda apakah jawapan yang akan diberikan. Sekiranya ditanya kepada saya pula semestinya saya akan memberikan jawapan Ya! orang Malaysia sememangnya kurang senyum. Tetapi bagaimana pula ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Malaysia adalah mesra dan peramah. Semua jawapan akan anda dapati apabila membaca akhbar hari ini kerana kerajaan sendiri berhasrat melancarkan Kempen Senyum-senyum Satu Malaysia tidak lama lagi. Terfikir juga saya kenapa kempen senyum ini perlu diadakan sekiranya orang Malaysia sudah dikenali sebagai rakyat yang mesra dan peramah oleh para pelancong yang datang ke Malaysia.
Hakikat sebenarnya rakyat negara ini sememangnya peramah namun apa yang dikesali sikap itu hanya ditonjolkan kepada pelancong asing tetapi tidak begitu di kalangan mereka sendiri. Anda sendiri mungkin pernah mengalami keadaan sedemikian. Baiklah, di sini saya ceritakan pengalaman terbaru berkaitan dengan situasi ini iaitu sewaktu saya sekeluarga ke Zoo Negara baru2 ini. Apabila sampai di sana dan bagi memberikan pendedahan kepada anak saya menganai haiwan2 yang terdapat di zoo saya membuat keputusan untuk menaiki tram yang mengangkut penumpang mengelilingi zoo. Menaiki tram pertama tiada masalah kerana kami duduk di bahagian belakang dan pemandunya membawa kami dengan perlahan. Dapat jugalah melihat aksi haiwan dan pemandangan sekitar zoo.
Setibanya di hentian untuk pertukaran tram kami membuat keputusan untuk duduk di bahagian hadapan pula iaitu di belakang pemandu. Berkebetulan pada waktu tersebut sepasang pasangan dari timur tengah mahu duduk di tempat yang sama tetapi apabila melihatkan kami terlebih dahulu duduk dan membawa anak kecil mereka mengalah dan duduk di belakang kami. Apa yang menjadi masalahnya ialah sikap pemandu tram yang menjeling dan terus bermasam muka atas tindakan kami seolah2 kami menganggu beliau untuk berinteraksi dengan pelancong terbabit. Bukan itu sahaja ia ditambah dengan tindakannya yang pantas meminta tiket selepas saya duduk untuk kepastian membuatkan saya kurang selesa. Memandangkan kami mempunyai tiket dia tidak dapat berkata apa2 tetapi lagak tidak puas hatinya terserlah apabila tram tersebut dibawa dengan laju sehinggakan anak kecil saya tidak dapat melihat apa2 dan saya sendiri tidak dapat merakam sesuatu walau membawa video kamera bersama.
Apa yang lebih menarik dan berkaitan dengan tajuk entri di atas ialah, setibanya di satu kawasan haiwan tram tersebut diberhentikan dan pemandu turun bertanya kepada pasangan timur tengah tadi sama ada mahu mengambil gambar atau tidak. Pasangan tersebut menolaknya kerana mungkin tidak mahu penumpang yang lain menunggu lama. Cuba anda bayangkan si pemandu sanggup berhenti dan ke tempat duduk pasangan terbabit tanpa sepatah pun bertanya kepada kami di belakangnya. Senyum atau tidak usah di tanya kalau muka sudah masam mencuka seolah2 kami ini bukan penting baginya. Entah mengapa sikap double standard sebegini berlaku di kalangan warga kita. Sanggup melebihkan pelancong asing tetapi mengabaikan warga negara sendiri. Perbuatan mereka sebenarnya tidak lebih dari berselindung di sebalik topeng sedangkan hakikat sebenarnya mereka ini tidaklah begitu peramah.
Kisah tersebut adalah sebahagian catatan saya mengenai sikap orang Malaysia yang kurang senyum. Banyak lagi cerita di luar sana dan saya yakin anda pernah melaluinya. Adalah diharapkan dengan adanya kempen ini kelak akan memberikan kesedaran kepada golongan ini untuk tidak bertindak seperti kata pepatah iaitu ‘Talam dua muka’ atau ‘Kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan’. Bertambah bagus lagi sekiranya kempen ini juga mengaitkan amalan senyum tersebut dengan sebuah hadis Nabi SAW. Secara tidak langsung ia memberikan gambaran kepada non muslim bahawa Islam menggalakkan umatnya bermanis muka kerana ‘Senyum itu adalah sedekah’.
'
'

03 December 2009

Apo Nak Dikato?

Menatap muka hadapan akhbar Kosmo! pagi ini membuatkan saya menyorot kembali artikel berkaitan perkara yang sama saya baca beberapa hari lepas di mana perihal seorang mak nyah warga Malaysia bernama Fatine @ Mohammed Fazdil Min Bahari yang sudah berkahwin dengan seorang lelaki warga Britain iaitu Ian Young dalam satu majlis sivil di London Mei lepas.
Sebenarnya pada hari tersebut lagi saya sudah mahu menulis berkaitan perkara ini tetapi tidak berkesempatan. Apabila sudah dua kali terpampang di dada akhbar rasanya saya juga tidak mahu terlepas dari memberikan pandangan saya terhadap situasi yang berlaku. Hari ini di akhbar yang sama, diceritakan pula tentang perihal kakaknya yang merayu agar adiknya pulang sahaja ke Malaysia tambahan pula ibunya kini sedang sakit. Membaca kata2 kakaknya yang begitu tabah menghadapi situasi sebegini (menyebabkan nama dan maruah keluarga tercemar) membuatkan saya bertambah yakin hanya akal dan fikiran yang rasional sahaja mampu menjadikan manusia itu menerima segala apa yang berlaku terhadap diri dan individu sekelilingnya.
Banyak persoalan yang ditanya wartawan kepadanya dan itulah persoalan yang bermain di fikiran saya apabila mengetahui perkara ini dahulu. Antara persoalan yang ditanya ialah berkaitan dengan status agama adiknya kini. Melalui perbualan dengan kakaknya, Fadil mengakui yang dia masih berpegang kepada ajaran Islam. Sememangnya sudah diketahui umum yang agama Islam melarang umatnya berkahwin sesama jenis dan ia dikategorikan sebagai haram di sisi agama bahkan undang2 Malaysia. Manusia memang pelik kerana sudah mengetahui tetapi mahu juga melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Kesalahan tetap satu kesalahan dan dikuatkan lagi dengan kata2 kakaknya iaitu;
'
“Berani buat berani tanggung. Agama sah2 menolak perkahwinan sebegitu dan kami juga tak menghalalkannya. Salah tetap salah. Tentang hal berpisah dia kena juga berpisah, minta petunjuk daripada Allah.”
'
Menariknya mereka sekeluarga tetap menerima dirinya seperti dahulu sebagai sebuah keluarga. Begitulah sebaiknya dilakukan oleh keluarga apabila terdapat anggota keluarga yang bermasalah janganlah dibuang tetapi dekatilah mereka kerana saat tersebut mereka amat memerlukan perhatian daripada keluarga.
Kisah ini merupakan sebahagian daripada kisah pelik dan unik di Malaysia kerana ia melibatkan soal pertukaran jantina dan kaitan perkahwinan dengan agama yang dianuti. Bertambah malang lagi kerana ia telah menjadi sensasi dan bualan orang ramai. Harus difikirkan juga di sini, bagaimana pula dengan ramai lagi anak gadis di luar sana yang bercinta dengan orang bukan Islam kemudiannya keluar daripada agama Islam akibat berkahwin dengan pasangannya. Mohon agar dijauhi kaum keluarga kita daripada ada yang mahu melakukan perkara tersebut. Sesungguhnya bala dan azab Allah SWT itu tidak mengenal ahli maksiat atau ahli ibadah.
Hal ini sekiranya difikirkan dengan lebih mendalam, ia merupakan jarum halus musuh2 Islam untuk memurtadkan umatnya melalui perkahwinan. Semoga terbuka pintu hati golongan ini untuk kembali semula ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah SWT Tuhan Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Mengetahui. Saya catatkan semula kata2 kakak lelaki ini sebagai renungan kepadanya dan panduan kita bersama;
'
“Kepada Fadil, kasih kami tak berbelah bagi. Jauh di sudut hati, kami kasihan dengan Fadil dan kami berjanji tak akan marah atau berkasar dengan Fadil. Istiqamah dan mohon pertolongan daripada Allah. Kalau betul perkahwinan tu ‘cinta sejati’ kena berkorban. Kami merindui Fadil dan kami tak mahu Fadil jadi pelarian.”
'
Ilmuwan Hati: Adakah sama menjadi pelarian di dunia dengan menjadi pelarian di akhirat. Renung2kan.
'
'

27 November 2009

Salam Aidil Adha Dari Putrajaya


Hari ini umat Islam menyambut sambutan Hari Raya Aidil Adha atau lebih sinonim dengan panggilan hari raya korban di kalangan penduduk kampung. Maka akan banyaklah terdapat lembu2 dan haiwan lain yang akan dikorbankan sempena menunaikan ibadah korban. Berbeza dengan perayaan Aidilfitri, perayaan Aidil Adha ini sebenarnya lebih bermakna bagi individu yang menunaikan ibadah haji di tanah suci dan individu yang melakukan ibadah korban kerana mereka beroleh sesuatu ganjaran daripada amalan tersebut. Kita yang tidak berkeupayaan melakukannya pula hanyalah menumpang tetapi tidak salah untuk turut meraikannya.
Bagi saya pula, tahun ini adalah tahun kedua selepas berumah tangga di mana saya dan isteri tidak pulang berhari raya bersama dengan kaum keluarga di kampung. Empat tahun sebelumnya begitu juga, di mana kami hanya beraya di rumah sewa yang terletak di Puchong kerana masalah kewangan membuatkan kami tidak mampu untuk pulang. Kini bukannya masalah kewangan menjadi penyebab tetapi lantaran masih ada tugasan yang perlu diselesaikan dan memandangkan isteri saya sibuk menghadap nota2 kerana menduduki peperiksaan maka pengorbanan tidak pulang berhari raya di kampung dilakukan semata2 untuk memberi peluang kepadanya agar dapat melakukan yang terbaik.
Kepada individu yang pulang berhari raya di kampung halaman berhati2lah ketika memandu dan sekiranya berada di kawasan yang banjir pastikan anak2 tidak bermain air supaya tiada yang terkorban di hari raya korban. Ambillah peluang untuk merapatkan tali ikatan kekeluargaan dan silaturrahim sesama umat. Buat sahabat2 yang sedang menunaikan haji di tanah suci dan semua umat Islam di sana didoakan agar kalian beroleh ganjaran haji yang mabrur dan sentiasa di dalam lindungan Allah s.w.t. Kuatkan semangat menghadapi dugaan di sana dan doakan pula kami menyusul selepas ini. Semoga amalan yang dilakukan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Nya. Buat sanak saudara dan sahabat handai atau sesiapa yang mengenali diri ini, mohon ribuan keampunan dan kemaafan dari kami sekeluarga di Putrajaya. Kullu 'am wa antum bi alfin khoir.
'
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, t
etapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya.
dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya"
(Surah Al-Hajj : 37)
'
'

02 November 2009

Bengkel Mengenal Minat Kerjaya


Hari ini di sekolah saya berkesempatan bersama dengan murid tahun enam mengadakan Bengkel Mengenal Minat Kerjaya. Satu program yang dirancang untuk memenuhi takwim program pasca UPSR dan sebagai pendedahan kerjaya untuk mereka. Perancangan awal adalah dengan menjemput seorang kaunselor cemerlang dari sekolah menengah berhampiran tetapi disebabkan beliau tidak dapat menghadirinya maka program tersebut hanya menjadi program peringkat dalaman sahaja. Menggantikan beliau tidak lain tidak bukan iaitu saya sendiri sebagai penceramah undangan.
Sebenarnya sudah agak lama saya tidak memberikan ceramah baik motivasi atau tazkirah pada khalayak umum. Rasa seakan diri ini kosong apabila agak lama tidak berkongsi ilmu dan berbincang secara ilmiah. Kesempatan dari kesempitan yang ada ini tidak saya lepaskan. Semalaman saya menyediakan bahan termasuk inventori dan video untuk paparan sewaktu ceramah kelak dan disesuaikan untuk aras murid tahun enam. Saya mengambil keputusan untuk menggunakan modul yang saya dapat dari En. Ab. Aziz Mohd Yatim iaitu personaliti VPI. Sudah dua kali saya mengikutinya dan kali ini saya yakin mampu untuk mengendalikannya sendiri.
Bengkel bermula pada pukul 11.30 dan berakhir sekitar jam 1.15 tengah hari. Permulaan murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam personaliti VPI iaitu RIASEC. Kemudiannya mereka dikehendaki menjawab inventori berkaitan dan disusuli dengan penafsiran personaliti tersebut satu persatu. Melalui pengamatan, mungkin kaedah ini satu pengalaman baru bagi murid2 kerana apabila saya memberitahu bahawa personaliti yang mereka wakili ada kaitannya dengan kerjaya, didapati mereka seolah2 teruja dan sebahagiannya kebingungan. Terdapat juga beberapa persoalan yang ditanya kepada saya sepanjang bengkel ini dan ia menjurus kepada minat dan personaliti kerjaya yang akan diceburi. Setelah melaluinya hingga akhir saya membuat kesimpulan bahawa mereka memahami minat dan personaliti dapat membantu mereka untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang sekiranya memilih dengan tepat bidang pengajian dan mendapat pengetahuan sepenuhnya mengenai kerjaya yang akan diceburi.
Bengkel ini merupakan pengalaman pertama saya berkaitan dengan kerjaya. Alhamdulillah saya dapat mengendalikannya dengan baik walaupun saya sedar agak terlalu tinggi aras penyampaian yang digunakan memandangkan ini adalah inventori tetapi dari riak wajah murid2 saya tahu mereka mendapat satu ilmu baru. Ilmu yang akan membantu mereka untuk menjadi seorang yang lebih mengenali diri, berupaya untuk menerjah, meneroka, mengeluarkan dan memanfaatkan potensi diri secara optimum.
'
'

31 October 2009

Taubat Seorang Hamba


Hati hiba mengenangkan
Dosa2 yg ku lakukan,
Oh Tuhan Maha Kuasa,
Terima taubat hamba berdosa...
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x.....
Taubatku ini.....
'
Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan,
Kerana hilang dari jalan
menuju redhaMu ya Tuhan.
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x...
Taubatku ini...
'
Di hamparan ini ku meminta
moga taubatku diterima...
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x....
Taubatku ini...
'
Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x..
Taubatku ini...
'
'
Ilmuwan Hati: Sebuah lagu nyanyian kumpulan Irsyadee bersama Hafiz Hamidun yang mempunyai auranya yang tersendiri apabila benar2 dihayati. Dapat menyentuh hati2 yang lalai daripada mengingati Pencipta dan sedar akan kelemahan serta kekurangan diri. Paling menyentuh jiwa apabila ia dapat menyedarkan diri bahawa semakin hari kita semakin jauh dengan Allah s.w.t. Dahulu semasa berada dalam keadaan susah kepadaNyalah tempat kita mengadu nasib tetapi kini apabila sudah beroleh kesenangan tikar sembahyang sering kali kita lupakan. Mengabaikan yang fardhu dan jauh sekali melakukan yang sunat. Selalu solat di akhir waktu. Tiada lagi linangan air mata yang membasahi pipi. Tiada lagi rengekkan memohon keampunan di kala orang lain sedang nyenyak tidur. Tiada lagi zikrullah dan perkataan taubat yang terpacul di mulut. Tiada keinsafan apabila melakukan kesalahan. Jiwa bagaikan mati walaupun jasad kesana kemari. Semoga bait2 lagu ini dapat mengembalikan kembali ingatan kita kepada Allah Rabbul Jalil. Menghidupkan kembali jiwa yang mati. Memberikan sinar kebahagiaan sebagai makhluk ciptaanNya. Menjadikan kita insan yang dipandang olehNya berbanding dengan insan2 yang lain di muka bumi ini. Semoga kita dijemput kembali kepadanya dalam keadaan yang tenang bersama keredhaanNya. Matikan daku dalam kalimahMu dan kesudahan yang baik. Terimalah taubat hambamu ini Ya Allah..
'
'

Sekitar Program Kem 1 Malaysia Putrajaya


Sebenarnya saya mempunyai tugas lain di sekolah untuk diselesaikan iaitu forum dan ceramah awal remaja tetapi memandangkan kekurangan guru untuk menjadi pengiring perkhemahan 1 Malaysia untuk murid2 tahun enam Putrajaya membuatkan saya mengalah dan bersetuju untuk mengikuti mereka. Persetujuan saya juga bersyarat iaitu sekiranya program anjuran unit bimbingan dan kaunseling ditunda. Lain dirancang lain pulak jadinya apabila hasil perbincangan dengan rakan kaunselor kami memutuskan untuk meneruskan juga forum dan ceramah awal remaja di sekolah memandangkan panel dan penceramah sudah dijemput dan persiapan rapi telah dilakukan. Walau terpaksa mengambil murid tahun 5 sebagai pesertanya kerana kekurangan murid tahun enam program tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Atas nasihat pentadbir saya ke perkhemahan tersebut setelah semua urusan saya di sekolah selesai dan untuk tujuan tersebut seorang guru perlu menggantikan tempat saya semalaman di tapak perkhemahan. Terima kasih kepada cikgu Ahmad Khairi kerana sudi menggantikan tempat saya di sana. Jasamu akan dikenang selamanya.
Perkhemahan yang berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 19-22 Oktober 2009 adalah anjuran Pusat Kokurikulum Negeri. Diadakan di Taman Wetlands Putrajaya dan seramai 238 peserta mewakili setiap sekolah rendah di Putrajaya. Sekolah saya sahaja diwakili oleh 40 orang peserta semuanya terdiri dari murid tahun enam dan empat orang guru pengiring. Saya tiba pada malam kedua tetapi pada waktu tersebut hujan amat lebat menyukarkan saya untuk masuk ke dalam kawasan perkhemahan. Apabila hujan renyai saya bersama seorang lagi guru iaitu cikgu Azian Nuddin ke tapak perkhemahan dan di sana saya dibekalkan dengan pakaian kem dan diberikan taklimat untuk keesokan harinya. Sedikit penerangan ringkas daripada kem komandan telah membantu saya mengetahui apakah tujuan sebenarnya kem ini dianjurkan. Pada malam itu juga saya berkesempatan bertemu dengan beberapa rakan kaunselor yang juga ditugaskan oleh sekolah sebagai guru pengiring. Ada juga di sana rakan semaktab saya yang sebelum ini berkhidmat di Johor tetapi kini sudah bertukar ke Putrajaya iaitu Cikgu Shaiful Shahrizam Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shah di sini. Pro-aktif dan ligat orangnya semenjak berada di sini.
Keesokan harinya selepas senaman dan sarapan peserta menaiki bas dan menuju ke Tugu Negara dan Memorial Tun Abdul Razak yang terletak di Kuala Lumpur. Banyak juga peserta yang mendapat hadiah sewaktu menjawab soalan kuiz semasa di memorial tersebut. Pulang dari lawatan peserta diajar bermain permainan rakyat pada waktu petang dan sebelah malamnya diadakan persembahan kebudayaan. Tidak banyak yang sempat saya bersama mereka memandangkan saya masuk pada hari kedua tetapi sedikit sebanyak saya dapat memerhatikan ragam anak didik Putrajaya yang melakukan perkhemahan juga di Putrajaya. Bersyukur sepanjang perkhemahan tiada berlaku apa2 kejadian yang tidak diingini seperti yang berlaku pada perkhemahan yang sama di perak. Sesungguhnya kejadian tersebut membuka mata saya agar lebih berhati-hati menerima tugas sebagai guru pengiring.

'
'

Sekitar Mesyuarat Pengurusan E-Pelaporan Kebangsaan Dan Kursus Pemantapan Disiplin PPWP Di Melaka.



Alhamdulillah sempat juga kali ini saya memasukkan entri berkaitan dua kursus yang telah saya hadiri di Melaka pada minggu2 sebelumnya. Lantaran kesibukan di sekolah dengan program2 akhir tahun membuatkan blog ini seakan tidak berfungsi begitulah juga dengan blog UBK sekolah yang sepi dari entri walau program2 mega rancak dijalankan. Uniknya entri kali ini saya akan ceritakan pengalaman saya menghadiri dua kursus sekali gus di negeri yang sama tetapi tempat yang berbeza. Kursus pertama yang dihadiri ialah Mesyuarat Pengurusan E-Pelaporan Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM. Ia bermula pada 5-7 Oktober 2009 dan bertempat di Hotel MITC Ayer Keroh Melaka. Kursus kedua pula adalah Kursus Pemantapan Disiplin Murid Dalam Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya bertempat di Hotel Seri Costa Melaka bermula 6-8 Oktober 2009.
Saya ke Melaka bersama dengan rakan kaunselor iaitu En. Saiful Effandi juga merupakan Jurulatih Utama untuk pelaporan L8 SMK Putrajaya manakala saya adalah Jurulatih Utama SK Putrajaya. Sepanjang masa bersama beliau banyak perkara dan ilmu yang saya dapat kutip terutamanya dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Semasa di MITC Melaka kami didedahkan bagaimana untuk mendapatkan data L4 dari guru2 sekolah sekitar Putrajaya melalui FTP (file transfer protokol). Tiada kesukaran yang timbul kerana Putrajaya tidak mempunyai banyak sekolah berbanding dengan negeri2 lain. Segala-galanya disiapkan dengan sempurna dengan bantuan rakan JU Kebangsaan.
Malam berikutnya kami ke Hotel Seri Costa pula untuk mengikuti satu lagi kursus anjuran PPWP iaitu pemantapan disiplin dan b&k untuk tahun hadapan. Semua guru bimbingan dan kaunseling terpilih Putrajaya ada di sini dan telah dibahagikan tugas mengikut bidang masing2. Saya ditugaskan untuk mengajar berkaitan pelaporan L4 dan mengumpulkannya menjadikan L8 untuk dihantar ke jabatan. Taklimat disampaikan oleh super administrator kebangsaan En. Norhisham Omar memudahkan lagi kerja saya di sana.
Menarik pada perjumpaan ini ialah kami warga guru bimbingan dan kaunseling sepakat ke medan ikan bakar yang terletak di Pengkalan Pernu, Umbai. Perjumpaan ini adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan kami sepanjang tahun ini mengendalikan program2 bagi peringkat wilayah dan kebangsaan selain untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Memang meriah apabila semua guru bimbingan dan kaunseling makan bersama dan boleh dikatakan gamat bot yang dijadikan meja santapan khas untuk kami. Melalui dua pengalaman ini saya semakin berkobar2 untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk warga sekolah dan wilayah. Bersama kita membitarakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.
'
'

07 October 2009

Lebaran: Menyatukan Dan Merapatkan Ikatan Kekeluargaan


Kejayaan mengumpulkan keluarga besar sebelah emak saya untuk bergambar bersama dengan Wan dan Tok adalah sesuatu yang menggembirakan. Sebenarnya perancangan menganjurkan majlis sebegini telah lama berlaku sekitar empat tahun dahulu tetapi disebabkan kekangan dari segi pengumpulan ahli keluarga dan kamera yang sesuai untuk tujuan ini membuatkan segalanya terhenti setakat perbincangan sahaja.
Pada awal tahun ini keluarga besar ini diuji dengan Tok (opah) mengalami masalah kesihatan iaitu muntah darah berlebihan dan kekurangan air dalam badan sehinggakan kami semua merasakan ketika itu seakan saat perpisahan dengannya terlalu hampir. Berkat doa dan bacaan surah yaasin beramai2 dari anak2 dan cucu2nya, Alhamdulillah tok dibenarkan keluar dari wad di saat orang sekelilingnya telah pun dijemput oleh Illahi kembali ke Rahmatullah. Syukur dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Esa kerana memanjangkan lagi usia Tok untuk bersama dengan kami di dunia fana ini. Kami semua begitu menyayangi dirinya.
Bertitik tolak dari peristiwa itu perasaan untuk menyatukan keluarga besar ini semakin membuak2. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berbincang semula dengan ibu saudara (Mak Teh) bagi menyusun program yang telah lama tergendala itu. Kali ini lebih mudah kerana saya sendiri memiliki kamera DSLR Nikon D80 untuk tujuan penggambaran. Segala perbincangan diatur lebih awal dan lebih menarik apabila program ini juga mendapat sokongan padu dari ahli keluarga saya sendiri seperti isteri tersayang, kakak ieja, Baim, Abang Don, Adik Siti, Emak Dan Ayah yang banyak membantu sehingga program ini berjalan lancar.
Pada tanggal 21 September 2009 bersamaan 02 Syawal 1430H maka program yang dirancangkan menjadi kenyataan. Majlis berlangsung di rumah Wan dan Tok di kampung Lahar Minyak, Kepala Batas Pulau Pinang. Semua lapan adik-beradik Mak hadir dan membawa keluarga masing2. Terdapat beberapa orang sahaja yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan urusan lain. Majlis pada hari tersebut bermula dengan semua ahli keluarga berkumpul kemudiannya memasak untuk hidangan tengah hari. Selepas selesai memasak maka semua menjamu selera dengan masakan ala kampung yang disediakan oleh chef kampung juga. Sedap dan berkhasiat makanan yang disediakan secara gotong-royong ini. Kemudian semua terus ke sesi bergambar dan ia dimulai dengan bergambar sesama ahli keluarga kecil dahulu sehinggalah keluarga besar. Acara memberikan duit raya kepada anak saudara tidak ketinggalan dan agak mencuit hati apabila melihat mereka berbaris panjang untuk mendapatkannya. Terakhir adalah aktiviti bermaaf-maafan antara ahli keluarga.
Tidak dilupakan pengambilan salasilah keluarga juga dilakukan bertujuan untuk merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan sebagai rujukan kepada generasi pelapis. Terima kasih kepada Mak Teh yang bertindak sebagai penyelaras program dan semua ahli keluarga atas kerjasama yang diberikan. Semoga program ini dapat diadakan lagi dengan lebih meriah pada tahun2 mendatang dan selaku penganjur bersama yang mencadangkan majlis ini mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga dengan adanya majlis ini ikatan kekeluargaan kita semakin rapat dan kembali bertaut. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.