Pada tanggal 13 hingga 16 Januari yang lalu saya berkesempatan untuk bersama2 dengan beberapa orang guru SMK sekitar Putrajaya menghadiri Seminar Peluang Pengajian Tinggi Negara Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Kuala Terengganu. Antara mereka, saya seorang sahaja merupakan guru daripada sekolah rendah dan pemergian saya adalah atas kapasiti mewakili seorang pegawai jabatan yang tidak dapat hadir memandangkan terdapat urusan lain yang tidak dapat dielakkan oleh beliau. Kesempatan yang ada tidak saya lepaskan tambahan pula saya akan bersama dengan En. Saiful Effendi iaitu seorang GBK SMK dan merupakan YDP MGK Putrajaya dan merangkap SU Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan. Seramai empat orang guru termasuk saya dan dua orang pegawai jabatan menjadikan kami kesemuanya seramai enam orang mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya. Bertolak ke Kuala Terengganu pada malam hari dengan menaiki bas dua tingkat menjadikan ia pengalaman terbaru buat saya ditambah dengan faktor jalan dan perjalanan yang panjang. Syukur kerana tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada kami sepanjang perjalanan tersebut.
'
Setibanya di sana kami mengnap di Hotel Permai Inn Kuala Terengganu. Boleh dikatakan acara yang disusun oleh pihak penganjur amat padat dan ia seakan menjadi lumrah bagi acara besar sebegini. Berdasarkan pemerhatian sepanjang program berlangsung, hampir kesemua IPTA tanahair mengambil bahagian dalam sesi taklimat yang diadakan. Cuma menariknya pada seminar kali ini IPTA tersebut telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu menjadikan sesi taklimat lebih berfokus dan mudah difahami. Tidak cukup dengan taklimat dari wakil IPTA pada sebelah malamnya pula diadakan bengkel untuk memasukkan data dan mengenalpasti bidang yang layak dipohon oleh pelejar bagi kemasukkan ke IPTA tertentu. Pengenalan kaedah pemohonan melalui atas talian dan semakan kelayakan melalui portal I-MAS-CU menjadikan seminar ini lebih interaktif dan berguna kepada kami para peserta dan sebagai input baru untuk disampaikan kepada pelajar di sekolah.
'
Selain acara di dalam dewan seminar para peserta juga dibawa untuk melawati gerai2 IPTA dan IPTS yang terdapat di Terengganu Trade Centre (TTC) iaitu tempat berlangsungnya acara perasmian bagi karnival ini. Memandangkan saya merupakan seorang yang lambat mesra dengan orang yang baru dikenali maka bersama En. Saiful Effendi saya banyak mempelajari cara bagaimana untuk berkomunikasi atau membina hubungan dalam masa yang singkat. Ternyata beliau merupakan seorang yang pakar dalam proses membina hubungan. Terima kasih atas tunjuk ajar yang diberikan kepada saya dalam menanggani perkara ini dan akan saya praktekkan ilmu ini kelak.
'
Ruang waktu yang ada di Kuala Terengganu saya manfaatkan untuk bertemu dengan sahabat yang pernah saya ceritakan dahulu iaitu saudara Tengku Azelam. Alhamdulillah beliau sudi meluangkan masa membawa saya dan En. Saiful bersiar2 sekitar bandar Kuala Terengganu. Antara tempat yang sempat kami lawati bersamanya ialah Pasar Payang, kilang membuat kain batik, perusahaan menbuat barangan tembaga, perusahaan membuat dan menjual keropok lekor dan gerai minuman gelas besar Kuala Terengganu. Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana sudi melayani kami sebagai tetamu di bumi Terengganu.
'
Pengalaman ke seminar ini sebenarnya telah membuka mata dan minda saya untuk memberikan pendedahan kepada anak murid di sekolah rendah berkaitan peluang2 pengajian dan institusi pengajian tinggi yang terdapat di dalan negara. Insya'Allah bertitik tolak dari kehadiran saya ke seminar ini, akan saya rangka satu program khas untuk memberikan pendedahan kepada mereka kelak.
'
MutiaraMinda2u:
"Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang."
'
'