21 April 2009

Mesyuarat Pengurusan Modul B&K Kebangsaan Di MITC Melaka.

Minggu lepas merupakan minggu yang membuatkan saya agak keletihan. Keletihan yang saya maksudkan bukanlah keletihan fizikal tetapi keletihan minda. Akibat daripada keletihan minda tersebut maka sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada fizikal saya pada hari-hari berikutnya. Untuk makluman pada minggu lepas selama 4 hari 3 malam saya berada di Hotel Ancasa MITC Melaka dalam rangka menyiapkan modul bimbingan dan kaunseling sekolah rendah. Keberadaan saya di sana adalah dalam rangka kerja memenuhi tuntutan Mesyuarat Pengurusan Modul Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Rendah Bil 2/2009. Mesyuarat kali ini adalah kesinambungan daripada mesyuarat kali pertama yang telah dianjurkan di Kuala Lumpur dahulu.
Mesyuarat anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia ini bermula pada 13 hingga 16 April 2009. Walaupun nama yang tertera pada surat panggilan adalah mesyuarat tetapi saya lebih suka memanggil mesyuarat ini sebagai bengkel disebabkan pengisian di dalamnya yang memerlukan kami Guru Bimbingan Dan Kaunseling yang terpilih dari seluruh Malaysia menggempur otak masing-masing untuk menghasilkan modul bimbingan untuk murid sekolah rendah. Modul yang dihasilkan ini kelak akan dibukukan dan diguna pakai oleh semua Guru Bimbingan Dan Kaunseling di sekolah sewaktu masuk ke kelas untuk aktiviti bimbingan kelompok.
Agenda mesyuarat kali ini agak padat disebabkan kami dikehendaki menyiapkan semua modul yang telah ditetapkan mengikut kumpulan sebelum hari terakhir mesyuarat. Tugasan pertama yang diterima ialah menilai modul mengikut kumpulan yang telah dibahagikan kepada enam sub topik iaitu akademik, kerjaya, psikososial dan kesejahteraan mental, keibubapaan, perkembangan diri murid, dan pendidikan pencegahan dadah. Seterusnya disusuli dengan pembentangan modul setiap tahun dan penggabungan modul mengikut bidang. Apabila sudah selesai maka modul tersebut akan dinilai semula oleh ahli kumpulan dan menyediakan isi kandungan mengikut tahun. Di sini juga kami dikehendaki menyediakan ujian pra dan pos kemudian menyediakan senarai semak pelaksanaan. Selain aktiviti yang melibatkan kumpulan terdapat aktiviti yang diberikan kepada individu untuk melaksanakannya seperti menyediakan kulit modul dan menyediakan kata aluan. Walaupun kurang berpengalaman saya mengambil tanggungjawab untuk menghasilkan kulit modul dengan harapan adalah sedikit jasa yang saya curahkan dan dapat ditatap dengan mata kasar. Sedikit mendukacitakan sebenarnya kerana laptop saya tidak mempunyai perisian Adobe Photoshop untuk membuat grafik bagi kulit modul tersebut. Berdasarkan perbincangan dengan pegawai maka saya meminta izin untuk melakukannya di rumah dan menghantarnya melalui email. Alhamdulillah permohonan saya diterima.
Secara ringkas di sini dapatlah saya simpulkan bahawa untuk menghasilkan sebuah buku bukanlah satu kerja yang amat mudah. Walaupun bilangan kami ramai dan semuanya berkemahiran tetapi ia masih memerlukan penelitian dan kesabaran yang tinggi. Kepada semua guru yang terlibat syabas dan tahniah diucapkan. Bertemu lagi kita pada perjumpaan yang akan datang. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini dapat menjadi ilmu yang bermanfaat untuk diamalkan dan terus diamalkan.
'
'
'

No comments: